14 January 2014

Hidup

Hidup manusia ni bukan setakat untuk makan,minum,membiak lepas tu mati tak berhisab. Wujudnya manusia ni memang ada tujuan. Sedangkan haiwan yang tak berakal tu pun ada sebab untuk diwujudkan. Kambing,sotong - jadi makanan manusia. Harimau wujud untuk kawal bilangan haiwan macam babi hutan yang merosakkan tanaman manusia. Babi hutan tu wujud supaya harimau tak perlu berebut dengan manusia untuk cari sumber daging. Harimau makan babi hutan, manusia makan la kijang ke,napuh ke. Tapi ada jugak manusia bahan jugak babi hutan tu.

Kalau haiwan tu pun ada sebab dan hikmah dijadikan, apa lagi manusia. Tentulah fungsi kewujudan manusia, hidupnya manusia ni lebih besar tujuannya.

Bagi aku yang lahir dalam kelompok bangsa melayu, Islam, Sunnah Wal Jamaah (aku sendiri tak tau berapa peratus Sunnah yang aku ikut sebenarnya),kalau korang tanya kat aku apa sebab manusia ni diwujudkan, sebenarnya aku tak mampu nak bagi jawapan tu kalau aku ni bukan Islam. Aku ni bukannya pandai sangat. Maka untuk menjawab soalan tu, korang boleh baca apa yang dah difirmankan oleh Allah dalam ayat 30 Surah Al Baqarah:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Itulah jawapan dia. Sebagai khalifah di muka bumi. Khalifah ni sebagai pentadbir,ketua yang menguruskan sesuatu, dalam kes kejadian manusia ni, menguruskan bumi. 

Bila jadi ketua kita akan dinilai pulak, adakah kepemimpinan kita tu bagus? Adakah kita ketua yang menjaga anak buah, harta dan kurniaan Tuhan kita dengan sebaik-baiknya atau pun kita buat seperti yang dikatakan oleh malaikat dalam ayat atas tu, orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah. Akhirnya kita akan bertanggungjawab ke atas apa yang kita dah buat. Sama ada kat bumi ni, dan jugak masa hari penghitungan nanti.

Aku rasa sepanjang hidup aku setakat ni, dalam kebanyakan masa aku banyak kejar benda-benda material. Sepatutnya aku buat lebih dari tu. Hidup kita ni sepatutnya lebih daripada setakat berkira-kira untuk kerja makan gaji dan dapat pencen penuh, kumpul rumah, kumpul pangkat dan kedudukan, berkeluarga dan akhirnya mati. Dalam ayat 110 surah Ali Imran pulak,

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.

Senang je rupanya nak jadi sebaik-baik manusia. Berdakwah, dan percaya pada Allah. Kalau macam tu aku harap kita semua yang hidup lagi ni, gunakanlah peluang yang ada untuk jadi orang baik. Hidup ni bukanlah sekadar satu gurauan besar.

1 comment:

Wadi AR said...

matang isi blog kali ni. nampak kau dah sedar. teruskan perjuangan kau karl.