17 September 2014

wordless wednesday


Serbuan Subuh

Prakata

Sebenarnya dah lama aku plan nak menulis kisah benar thriller ni. Selepas bermacam buku aku beli, berpuluh pembacaan dari sumber internet akhirnya aku gagal jugak nak menulis pasal kisah tu - tentang macam mana Guthrie diambil alih dari tangan british oleh sekumpulan anak Melayu. Memang bukan level aku lagi. Jadi sempena kemerdekaan kali ke 57 ni, korang layan la cerita yang aku copy paste dari blog orang lain ni.

Sumber : Sejarah “Dawn Raid” — Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas Kota London pada 1981, dari blog JomJalan.

link: http://www.jomjalan.com.my/blog/2013/04/06/dawn-raid-guthrie-1981/

Kisah benar kejayaan sekumpulan anak Melayu mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun dengan serangan terancang ke atas ibu kota Britain

Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.

Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.

Latarbelakang – Kemiskinan Orang Melayu dan Kekayaan Orang Inggeris

 

sawah
Pemandangan yang lazim selepas merdeka –seorang pesawah wanita sedang menanam anak padi

Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, hampir 1 juta bangsa pendatang seperti Cina dan India diberi kerakyatan secara beransur-ansur. Sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menghormati hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan.

Setelah lebih 10 tahun merdeka, pegangan orang Melayu terhadap kekayaan bumi Malaya sangat kecil. Walaupun orang Melayu merupakan majoriti , bangsa ini memegang hanya 1.5% bahagian harta korporat (itupun melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa Cina sebanyak 22.8%. Walaupun tidak lagi menjajah, bangsa Inggeris pula memegang lebih 60 % dari kekayaan negara ini.

Pada masa yang sama, hampir separuh penduduk Malaya tinggal di bawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampung sebagai petani dan pesawah adalah bangsa paling ramai tinggal dalam kemiskinan (74%).

Ketidaksamarataan kekayaan dan sikap perkauman tebal menyebabkan beberapa insiden pergaduhan terjadi berulang-ulang diantara kaum pribumi yang miskin (Melayu) dengan kaum pendatang yang kaya (Cina). Ia berlaku di beberapa tempat seperti di Georgetown, Pangkor dan Bukit Mertajam — sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1969 di Kuala Lumpur.

Dalam keputusan pilihanraya tahun itu, parti-parti bangsa Cina dan parti Islam berjaya menafikan majoriti parlimen parti pemerintah, sekaligus menyebabkan orang Melayu gusar kehilangan bukan sahaja kuasa ekonomi malah kuasa politik mereka. Orang Cina pula merayakan kemenangan mereka dengan berarak membawa penyapu dan melemparkan laungan provokatif dalam perarakan besar di Kampung Baru , Kuala Lumpur – satu kawasan penempatan yang dihuni kaum Melayu.

Provokasi ini akhirnya mencetuskan insiden berdarah 13 Mei 1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.

Antara pihak yang lantang menyalahkan kerajaan pada waktu yang dianggap memberi muka kepada kaum pendatang ialah seorang ahli parti pemerintah bernama Mahathir Mohammad yang mengkritik Perdana Menteri pertama dengan satu surat terbuka.

Katanya sikap berlembut Tunku Abdul Rahman menyebabkan “… orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.”

Kerana kritikan ini, beliau dipecat dari parti itu.

Dasar Bagi Membantu Orang Melayu

 

Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2 (1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990. Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.

Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai 175,000 ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah kelapa sawit, getah dan teh pada tahun 1981.

Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari British sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah terbesar di negara ini.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang resolusi. Guthrie juga menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula getah untuk pekebun kecil Melayu dan penubuhan kesatuan sekerja yang dianggap menyusahkan British.

Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi kurang 17% dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini bertujuan agar orang tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur. Namun begitu, tembelang British akhirnya pecah apabila didapati bahawa kebanyakan tanah kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk pertanian dan lazimnya terletak di atas kawasan bukit.

Pemerintah Anti-Penjajah, Mahathir Menduduki Kerusi Penting

 

mahathir
Mahathir sewaktu sidang PBB

Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981.

Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf. Dan jika pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.

Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.

2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah.

Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.

Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.

Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.

Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.

Dato Ismail Ali Sebagai Pemimpin Serangan

 

wang malaysia
Tandatangan Ismail atas wang kertas 50 ringgit Malaysia sewaktu menjadi gabenor bank negara.

Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.

Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan PNB — satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.

Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan.

Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di Malaysia.

Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat. Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.

Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC.

Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.

Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.

Kerjasama Pelbagai Pihak

 

Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.

4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui oleh pengurus pelaburan bernama Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.

Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih. Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.

Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.

Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan (sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).

Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.

Mengapa Guthrie ?

 

Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan OCBC.

Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15% saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.

Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur kecil.

Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.

Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.

Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”

 

Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).

Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.

Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.

Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.

Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.

Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.

Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.

Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.

Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.

Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.

Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.

Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.

Mahathir Terus Menekan British

 

glasgow report
Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981

Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.

Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan kerajaan British malu besar.

Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga “licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai “nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara sama.

Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.

Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.

Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.

Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan anak tempatan.

Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.

Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit putih.

Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan dengan cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.

Hasil Besar dari Serangan

 

Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup singkat.

Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu rundingan.

Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di Malaysia kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain milik Inggeris di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.

Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.

Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.

Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan, Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.

Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”


Nota:
1. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.

2. Penulis memaparkan tulisan ini sebagai rencana ilmiah, dan tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana individu atau parti politik.

3. Penulis mendapati terdapat sumbangan penting tokoh-tokoh lain dalam Dawn Raid seperti Ananda Krishnan dan Tengku Razaleigh. Tidak disebut dlm artikel ini kerana kekurangan sumber maklumat.

4. Loophole/kelemahan bursa London pada waktu itu tidak diperincikan untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Rujukan:
  1. Shakila Yacob & Khadijah Md Khalid (2012): Adapt or Divest? The New Economic Policy and Foreign Businesses in Malaysia (1970-2000), The Journal of Imperial and Commonwealth History, 40:3, 459-482
  2. Shakila Yacob & Nicholas J. White (2010): The “Unfinished Business” of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie Dawn Raid, Cambridge University Press 2010
  3. Karminder Singh Dhillo (2009): Malaysia Foreign Policy in the Mahathir Era, 1981-2003: Dilemmas of Development
  4. Brian Ritchie (2005): Coalitional Politics, Economic Reform, and Technological Upgrading in Malaysia, Elsevier World Development Vol 33, pp 745-761
  5. Abdul Rahman Embong (1996): Social Transformation, the State and the Middle Classes in Post-Independence Malaysia, Southeast Asian Studies, V01. 34, No. 3, December 1996
  6. Boon Kheng Cheah (2002) : Malaysia: The Making of a Nation
  7. Tin Price Moves Jolt Market : Reuters (The New York Times); Financial Desk, November 28, 1981, Saturday
  8. Surat Terbuka Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman, Jun 1969
  9. PNB Wrests Control of Guthrie Corp : The Straits Times Singapore, September 9, 1981
  10. PNB Making Up For Lost Time: The Straits Times Singapore, September 16, 1981

21 July 2014

07 July 2014

Zun-Nun Al-Misri

Beberapa waktu yang lalu, di Mesir hidup seorang sufi yang masyhur bernama Zun-Nun. 

Seorang pemuda mendatanginya kepada Zun-Nun Al-Misri dan bertanya.

Tuan, saya belum faham mengapa orang seperti anda mesti berpakaian seperti ini, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman ini berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan namun juga untuk tujuan banyak hal lain. Zun-Nun Al-Misri hanya tersenyum, ia lalu melepaskan cincin dari salah satu jarinya, lalu berkata.

"Wahai Sahabat ku, akan kujawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar . , bolehkah kamu menjualnya seharga satu keping emas”.

Melihat cincin Zun-Nun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu dan berkata

Satu keping emas? Saya tidak yakin cincin ini boleh dijual dengan harga itu.

Cubalah dulu sahabat ku. Siapa tahu kamu berhasil, jawab Zun-Nun.

Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ialu menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tak seorang pun berani membeli seharga satu keping emas. Mereka menawarnya hanya satu keping perak.

Tentu saja, pemuda itu tak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia kembali kepada Zun-Nun dan memberitahunya ..

Tuan, tak seorang pun yang berani menawar lebih dari satu keping perak.

Sambil tersenyum arif Zun-Nun berkata.

Sekarang pergilah kamu ke kedai emas di belakang jalan ini. Cuba perlihatkan kepada pemilik kedai atau tukang emas di sana. Jangan buka harga. Dengarkan saja, bagaimana ia memberikan penilaian.

Pemuda itu pun pergi ke kedai emas yang dimaksud. Ia kembali kepada Zun-Nun dengan raut wajah yang lain. Ialu kemudian memberitahu.

Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu nilai sesungguhnya dari cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi daripada yang ditawar oleh para pedagang di pasar.

Zun-Nun tersenyum simpul sambil berkata.

Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat ku. Seseorang tak boleh dinilai dari pakaiannya. Hanya pada pedagang mata zahir.pedagang Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihat kedalaman jiwa. Diperlukan kearifan untuk meneroka di alam kebatinan. Dan itu perlu proses dan masa, wahai sahabat ku. Kita tak dapat menilainya hanya dengan tutur kata dan sikap yang kita dengar dan lihat sekilas pandang. Seringkali yang disangka emas ternyata loyang dan yang kita lihat sebagai loyang ternyata emas.

Kebaikan orang‐orang hasanah adalah kekejian bagi orang muqarrabin.

Dari kacamata zulmat tidak sama dengan kacamata Arifin

Cukup sekadar kita husnuzhon (bersangka baik)..kerana orang yang husnuzhon pada Ahlullah dapat makfirah Allah..dan mereka ini mendapat syafaat Rasulullah saw..

Banyak pada hari ini pandai bermadah-madah. bicara kan hal agama.
tapi sayang tidak ada perlaksanaan agama dalam diri nya..

Allah menganugerahkan ilmu agama terhadap kita supaya menilai keaiban diri sendiri..bukan suruh menilai keaiban orang lain..barulah mendapat rahmatul Alamin..inilah matlamat perjuangan orang2 soleh..

Semoga kita boleh mengambil manfaat dari membaca cerita ini insyaallah wahai sahabat ku yang diredhai Allah swt..

sumber: gambar dari facebook

29 June 2014

Salam Ramadhan

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang lepas-lepas,insya Allah.

22 June 2014

Nota Kecil XXI

1. Babi

- lepas terkeluar salinan makmal KKM pasal DNA babi dalam coklat Cadbury, nampaknya 6 tahun sebelum 2020 masyarakat Melayu masih lagi pekat dengan perasaan jijik pada babi.

- Malangnya kejijikan pada babi tu tak sama macam kejijikan pada seks haram, dadah, rasuah dan juga terhadap duit cukai judi, arak serta babi.

- Bencinya Melayu kepada babi,sampai tahap ada ustaz menempelak Dr Yusuf Al Qaradawi sebab mengharuskan produk dari babi yang dah bertukar sifat. Contohnya macam sabun, Creon, Clexane.

- Tak kisahlah kalau tak nak makan babi dan segala yang berkait dengan babi. Tapi jangan la ditempelak alim ulama yang lain.


2. Mazhab

- Beragama mengikut Mazhab ni jadi masalah bila fanatik. 

- Sebagai contoh bila bab berpuasa. Ulama luar negara cakap,kalau pakai inhaler untuk asma masa berpuasa,puasa tetap tak batal. Jakim pulak cakap batal.

- Padahal ulama luar negara ke,dalam negara ke tetap ulama. 

- Jangan paksa orang ikut jalan engkau je. Mana engkau tau jalan lain semua salah? 

3. Cukuplah!

- 82.22% dah. Sekarang baru nak habis bulan Jun.

- Ketua Unit Perundangan dah cuak. Cukuplah dulu, belum habis tahun lagi. Panjan lagi masa.

- Aku pun rasa aku dah cukup muak dah 3 tahun dekat unit sama. Cukuplah. Tahun depan bagi aku jaga stor & IP.

4. Rumah

- Bulan September siap,kata Kak Diana. Dalam brochure dulu kata bulan Jun.

- Duduk sorang-sorang dalam rumah dua tingkat. Rasa macam nak cari studio apartment pulak. Ceh, macam la besar sangat sampai nak rasa sunyi!

5. Jodoh

- masa di Makkah, aku dah berdoa - antara wanita-wanita yang dipertemukan dengan aku,kalau ada antara mereka bukan jodoh aku, Kau jauhkanlah mereka dari aku ya Allah.

- bila balik ke Malaysia, memang menjadi sungguh. Whatsapp dah jarang sangat berbunyi.

- sekarang bila doa dah makbul, bercampur baur pulak rasa. Kecewa + lega.

- tapi sebab aku yakin itu yang sebaik-baiknya, aku campakkan kecewa tu jauh-jauh ke dasar pantai kat Teluk Cempedak. 

- sekarang tunggu pulak la. Tunggu yang sebaik-baiknya untuk aku.

6. Masa

- Do something to occupy your mind, kata skrip Tim Robbin dalam Shawshank Redemption.

- Dulu aku bantai hisap rokok. Balik umrah baru rasa berakal sikit,baru berhenti buat benda bodoh tu.

- Dr Hidayah ajak jadi full time writer kat MMG. Aku takut aku jadi macam pakcik Pyanhabib je, sempat berapa bulan je menulis dekat Mstar lepas tu berhenti terus.

- Tapi bila fikir balik,menulis tu jela yang aku pandai sikit pun. Tak banyak kepandaian yang aku ada sebenarnya.

- Buat la ape patut.

7. Keroncong

- (N)ana yang aku kenal rupanya datang sekejap je.

- Macam yang aku dah kata tadi, kalau kau dan yang lain-lain tu bukan untuk aku, pergilah jauh-jauh. Itu lebih baik daripada kita bersama dan naik tinggi ke puncak awan biru berbulan madu di sana tapi akhirnya jatuh terhempas ke gaung di darat.

- Move on. Dont look back in anger, bak kata Noel Gallagher.




21 June 2014

Datang dan pergi

Sepanjang kehidupan manusia normal,kebiasaannya bermacam jenis orang yang Allah pertemukan dengan kita. 

Setiap orang yang dipertemukan dengan kita ada tujuannya. Setiap orang berbeza tujuan dan maksudnya.

Apa yang penting,kutip pengalaman yang baik-baik daripada setiap orang yang kita pernah jumpa. Belajar dan telan kepahitan yang ditinggalkan. 

Lepas datang sekejap,bila dah sampai masa Tuhan tentukan orang tu berlalu,orang tu pun berlalu. Kita siapa nak nafikan kehendak Tuhan?

Bila orang tu dah tak ada,ingatlah yang manis-manis je. 

Kemudian akan datang orang lain. Berulang-ulang proses tu.

Yang sudah,sudahlah. Esok hari baru pulak.

15 June 2014

Nota Kecil XX

1. Dah sampai 20

- Aku tulis entri Nota Kecil ni sebab aku suka menulis tapi kadang-kadang takde idea nak tulis ape. 

- Jadi bila tulis sikit-sikit camni pertama sekali banyak topik yang aku boleh bebelkan sebab aku tak payah nak fokus dan perah otak untuk satu tajuk spesifik. 

- nak sampai 20 ni ambik masa 3 tahun jugak rupanya. Tahun 2013 aku aktif dengan twitter.

- sekarang semua orang ada twitter. So aku pun balik semula ke blog. At least kalau ade orang baca tulisan aku yang merapu meraban ni tak la ramai sangat yang baca. 

2. Hikmah

- aku tulis Nota Kecil (i) malam aku sampai ke Sibu. Masa tu mak aku sakit dan aku pulak kerja kat Sibu.

- Masa tu aku tertanya-tanya kenapa dihijabkan hikmah di sebalik keadaan hidup aku masa tu.

- Sekarang aku dah jumpa dan sedar apa hikmah tu. Aku jadi lebih berani. Aku belajar banyak perkara. Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui.

3. Kawalan

- "Orang akan menangis bila mereka tak dapat kawal keadaan," kata Dr Lua Pei Lin.

- Ada perkara kita boleh kawal. Ada perkara tak. Sebab kita manusia, bukan Tuhan.

- Kalau perkara tu tak mampu kita kawal, serah jelah pada Tuhan. Kemudian doa semoga kita dikurniakan dengan sebaik-baik keputusan oleh Tuhan. Tak kira la sama ada apa yang kita dapat tu nanti kita suka ke tak. 

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. - Al Baqarah, ayat 216.
 4. Doa

- Doa ni, perkara paling penting sekali kita kena percaya pada doa tu. Bersangka baik dengan Allah.

5. Jahiliah

- Bila umur dah meningkat, benda-benda lagha kena bawak-bawak la berhenti.

- Benda-benda pandir pun sama jugak.

6. Tanggungjawab

- Tanggungjawab kita kat atas muka bumi ni lebih banyak daripada masa yang kita ada. Itu pesan As Syahid Imam Hassan Al Banna

- Jadi jangan buang masa.

7. Masa lepas

- Benda yang kita buat pada masa lepas kita tak boleh nak reverse dah.

- Kalau kita berdosa, kita kena bertaubat. Kalau kita buat silap,kita kena baiki kesilapan tu. Kalau kita aniaya orang, kita kena minta maaf pada orang tu.

- Dan kalau kita dianiaya, maafkanlah orang tu. Dendam ni merupakan beban yang menghalang kita dari hidup gembira.


11 June 2014

Rokok

"Aku mimpi semalam kau datang rumah aku mintak lighter. Lepas tu kau hisap rokok dalam rumah aku," kawan aku cerita kat aku pagi semalam masa kat office.

Aku tak nak jadi hamba dah.

08 June 2014

Exodus dalam mencari katarsis






Dalam umrah dan ziarah yang tak sampai 2 minggu di Makkah & Madinah aku berharap akan ada peristiwa berlaku dekat sana ke atas aku. Peristiwa yang akan menemukan aku dengan katarsis agung yang akan mengubah hidup aku selama-lamanya.

Tapi tak ada apa yang berlaku. Atau dah berlaku tapi aku tak sedar. Atau katarsis bukan untuk semua orang. Atau katarsis tu suatu perjalanan,bukan destinasi.

Sekarang bila dah balik semula ke rutin hidup yang Allah dah tetapkan untuk aku, mungkin sebenarnya apa yang Allah nak sampaikan pada aku, teruskan hidup dan baiki apa yang cacat dan salah selagi hawa nafsu belum mati,selagi nafas belum terhenti, selagi jasad belum tertinggal dan sebelum kesucian yang ada kembali kepada Pencipta, bak kata Gusti Adipati.


31 March 2014

Nota Kecil XIX

1. MH370

- bila berlaku kehilangan pesawat sekaligus merangkap sebagai musibah buat rakyat Malaysia, macam-macam hikmah keluar. Hikmah tu pula berbentuk dalam bentuk fakta yang wajib kita insafi dan renung dalam-dalam ke dalam cermin.

- antaranya hikmahnya, kita dapat tengok hasil silibus KBSR & KBSM yang digubal hasil kerja Tun Mahathir. Ramai rakyat Malaysia yang pandai membaca,menulis dan mengira. Tapi bangang bila bab berfikir.

- dari hari pertama pesawat tu hilang sampai la hari aku tulis entri tu berpuluh-puluh teori konspirasi, fitnah & berita bohong yang disebar melalui facebook,whatsapp,twitter,blog dan segala macam lagi la media sosial. Fikir dulu la sebelum sebar tu,kalau tak tau betul salah buat apa nak sebar.

- dan aku ingat generasi yang belajar silibus KBSR KBSM je yang bangang, yang tua pun sama juga rupanya. Kelam-kabut. Tapi mujur la dah lama sikit agaknya bila sedar diri tu tak berapa cerdik, dah mula perlahan-lahan sorokkan bodoh tu.Baguslah. 

- secara rasminya pesawat tu terhempas kat Lautan Hindi. Daripada hilang, kena rampas, lepas tu terhempas. Harap tak ade dah la cerita lain lepas ni.

- aku malas dah berpandir bab ni. Dah jumpa nanti aku beli suratkhabar.

2. Tukar tempat kerja

- Ahmad, kawan aku tanya pasal betul ke aku dah dapat tukar tempat kerja. Aku jawab aku baru minta tukar,setahu aku belum tahu lagi la lulus ke tidak.

- Pagi nanti tengok la kot-kot memang dah lulus permohonan tu.

- bekerja dengan orang yang tak berapa cerdik ni mula-mula akan buatkan kita jadi tak cerdik jugak. Dan kalau dibiarkan boleh jadi gila. Sebelum aku makan sertraline elok dah kalau keluar awal-awal.

3. Perancangan

- Aku dah cakap kat kawan-kawan aku, kalau tak dapat nikah, aku nak sambung belajar.

- Lepas tu dengan kuasa Allah maka turunlah perutusan dari HQ. Kalau nak sambung belajar kena kerja genap 4 tahun baru boleh mohon. Boleh mohon,dah mohon tak tentu lagi lulus.

- Aku tak tau borang permohonan sambung belajar aku dah jadi apa. Mungkin dah masuk dalam paper shredder,pastu dihantar ke kilang recycle paper dan dah pun selamat jadi tisu tandas. 

- Jenis main alih tiang gol ni aku lemah betul. Dah tu nak nikah calon takde lagi.

- Nganga jela tahun ni. Tengok la apa plan yang Allah dah atur, apa-apa hal pun aku redha jela. Perancangan Allah tu sentiasa lebih baik dari perancangan kita.


09 March 2014

Penantian

Insiden kehilangan pesawat MH 370 sejak jam 2:40 am 8 Mac lepas mengingatkan aku pada sebuah cerpen yang berjudul Rahsia. Cerpen tulisan Shazmee Rizal Agus Salim,seorang engineer MAS dan juga anak kepada penulis Mahaya Mohd Yassin.

Cerpen tu berkisarkan bagaimana Amar,seorang bekas juruterbang mengambil masa sepuluh tahun untuk menerima hakikat yang anak dia, Zulfakar dah meninggal dunia. Secara ringkasnya Amar dan Zulfakar sedang menaiki kapal terbang yang bermasalah, di mana Amar bertungkus lumus dengan pilot in charge ketika itu untuk mendaratkan pesawat dengan selamat. Pesawat tu berjaya mendarat,tetapi disebabkan berlakunya kebocoran minyak pesawat tersebut meletup dan Zulfakar terkorban dalam letupan tersebut. Berasa trauma dan tertekan kerana gagal menyelamatkan anak beliau,akibatnya Amar merayau dan berkeliaran di sebuah lapangan terbang yang telah ditinggalkan kerana beliau merasakan anaknya masih hidup. Setelah sepuluh tahun,akhirnya Amar "berjumpa" dengan Zulfakar semasa malam hujan lebat, di mana Zulfakar menjelaskan kepada Amar bahawa dia telah lama pergi; Amar harus terus meneruskan hidup dan memaafkan dirinya sendiri.

Sebagaimana Amar yang terseksa akibat penantiannya, aku rasa macam tu jugalah perasaan sanak saudara,keluarga bahkan seluruh rakyat Malaysia sekarang ni. Aku harap penantian semua orang pada waktu ni akan berakhir juga,tak kiralah apa pun penamatnya.


03 March 2014

titian perjalanan

Allahyarham Hassan Al Banna pernah cakap, masa hidup kita singkat tapi tanggungjawab yang kita pikul sepanjang hidup ni banyak.

Orang yang sedar pasal perkara ni akan berterusan berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dia dalam hidup. Dorang akan cuba selesaikan sebanyak mungkin tanggungjawab dorang,untuk pastikan dorang pergi nanti tanpa meninggalkan kerja yang tak selesai.

Tapi kalau dah Allah nak panggil balik, nak tak nak kita kena balik la. 

Dan Allahyarham Zul Adnan (JS Kevin) pulak cakap, selagi nafas terlekat di rongga, selagi hidup terus di perjalanan.

Macam tu lah. Buat sebaik mungkin selagi masa untuk berbuat perkara-perkara yang patut dibuat tu masih ada.

26 January 2014

Doa

Pattani
Myanmar
Kashmir
Afghanistan
Iraq
Chechnya
Syria
Palestine
Mesir

dan seluruh pelusuk dunia yang ada umat Islam yang tertindas.

Ada masa lepas solat,atau sebelum kita tidur lena,doakanlah saudara2 kita di sana. Yang selalunya tidur dengan perut lapar, badan yang luka, berteman dengan desiran peluru dan dentuman bom.

14 January 2014

Hidup

Hidup manusia ni bukan setakat untuk makan,minum,membiak lepas tu mati tak berhisab. Wujudnya manusia ni memang ada tujuan. Sedangkan haiwan yang tak berakal tu pun ada sebab untuk diwujudkan. Kambing,sotong - jadi makanan manusia. Harimau wujud untuk kawal bilangan haiwan macam babi hutan yang merosakkan tanaman manusia. Babi hutan tu wujud supaya harimau tak perlu berebut dengan manusia untuk cari sumber daging. Harimau makan babi hutan, manusia makan la kijang ke,napuh ke. Tapi ada jugak manusia bahan jugak babi hutan tu.

Kalau haiwan tu pun ada sebab dan hikmah dijadikan, apa lagi manusia. Tentulah fungsi kewujudan manusia, hidupnya manusia ni lebih besar tujuannya.

Bagi aku yang lahir dalam kelompok bangsa melayu, Islam, Sunnah Wal Jamaah (aku sendiri tak tau berapa peratus Sunnah yang aku ikut sebenarnya),kalau korang tanya kat aku apa sebab manusia ni diwujudkan, sebenarnya aku tak mampu nak bagi jawapan tu kalau aku ni bukan Islam. Aku ni bukannya pandai sangat. Maka untuk menjawab soalan tu, korang boleh baca apa yang dah difirmankan oleh Allah dalam ayat 30 Surah Al Baqarah:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Itulah jawapan dia. Sebagai khalifah di muka bumi. Khalifah ni sebagai pentadbir,ketua yang menguruskan sesuatu, dalam kes kejadian manusia ni, menguruskan bumi. 

Bila jadi ketua kita akan dinilai pulak, adakah kepemimpinan kita tu bagus? Adakah kita ketua yang menjaga anak buah, harta dan kurniaan Tuhan kita dengan sebaik-baiknya atau pun kita buat seperti yang dikatakan oleh malaikat dalam ayat atas tu, orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah. Akhirnya kita akan bertanggungjawab ke atas apa yang kita dah buat. Sama ada kat bumi ni, dan jugak masa hari penghitungan nanti.

Aku rasa sepanjang hidup aku setakat ni, dalam kebanyakan masa aku banyak kejar benda-benda material. Sepatutnya aku buat lebih dari tu. Hidup kita ni sepatutnya lebih daripada setakat berkira-kira untuk kerja makan gaji dan dapat pencen penuh, kumpul rumah, kumpul pangkat dan kedudukan, berkeluarga dan akhirnya mati. Dalam ayat 110 surah Ali Imran pulak,

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.

Senang je rupanya nak jadi sebaik-baik manusia. Berdakwah, dan percaya pada Allah. Kalau macam tu aku harap kita semua yang hidup lagi ni, gunakanlah peluang yang ada untuk jadi orang baik. Hidup ni bukanlah sekadar satu gurauan besar.

12 January 2014

Nota Kecil XVIII

1. Allah

-  Sesekali bila aku buka tv yang dah berusia 17 tahun, dan buka pulak channel media prima yang berjenama tv3suku, kesimpulannya isu kalimah Allah ni tak habis-habis lagi.

-  Aku rasa tak perlu la aku berlagak macam aku tau serba serbi & menambahkan lagi chaos dalam sistem yang dah terbukti tengah berkecamuk sekarang. Korang ambik la masa sikit dengar ape yang Ustaz Robby cakap dalam video kat bawah ni. Terpulang kalau korang nak setuju ke tak.


2. Sambung belajar


-  Kalau lepas ni tak jadi jugak,aku malas dah nak apply. Malu. Dah berapa kali call,jumpa Prof Mansor & Prof Yahya.

3.  Berani

-  masa ni sebenarnya cepat je berlalu. Kalau ada apa-apa yang kau nak buat, kau buat jela. Jangan tunggu-tunggu dah. Itu pesan kawan aku,merangkap kurang lebih macam abang aku jugak.

-  boleh,insya Allah.

4.  Nikotin

-  perangai bangang yang satu ni aku rasa aku dah dapat berhentikan dah.

-  harap-harap dapat la istiqamah sampai mati.

5.  Mencari diri

-  sebenarnya Khir Rahman dah bagitau dah dalam filem Anu Dalam Botol. Nak cari diri sendiri ni takkan terjumpa kalau ikut hawa nafsu.

- pergi balik kampung. Jumpa mak abah, berborak dengan dorang pasal kisah-kisah lama. Kisah-kisah sebelum,semasa dan selepas kau lahir. Jumpa orang-orang yang pernah bertandang dalam hidup kau. Insya Allah jumpa la balik.

-  tak payah nak poyo sangat nak jadi penganut existentialism, nihilism dan ism2 yang lain. Tak perlu menjelajah ke ruang dalam yang lagi jauh menyesatkan.

-  kalau nak pergi jugak, pastikan otak tu sentiasa berfikir. Kalau nak jumpa jalan balik.

02 January 2014

Bughah

Bughah ni bahasa Arab. Dalam bahasa Melayu kalau ikut terjemahan JAKIM maksud dia pemberontak.

Bila ekonomi tak dikawal selia dengan baik sampai harga barang melambung naik, sampaikan seorang ayah terpaksa merompak sebab nak beli susu anak, seorang penuntut terpaksa melacur untuk bayar yuran belajar, seorang anak kecil terpaksa mencuri sebab lapar dan kemudian secara kolektif rakyat menyuarakan bantahan di atas kepayahan yang ditanggung akibat kesilapan pemerintah (dan juga kesilapan sesetengah rakyat tu sendiri yang pilih pemerintah yang baghal) - itu bukan bughah. 

Memprotes kerajaan yang ditadbir oleh sekumpulan manusia yang bila jadi orang besar dengan angkuh dan tanpa hati perut menjawab keluhan rakyat dengan jawapan - harga daging naik,beli ayam atau kalau tak suka lalu jalan bertol, lalu jalan lain - itu pun bukan bughah.

Bughah tu kalau seorang pemimpin yang adil,warak,menjaga kemashalatan rakyat dan kemudian kamu himpunkan segala tenaga untuk menjatuhkan pemimpin tu. Itu yang aku faham la.

Kalau adalah darah yang tumpah akibat fatwa kamu, Harussani, maka aku doakan darah yang tumpah tu memberatkan timbangan amal mereka sampai mereka masuk syurga.

Some things you must always be unable to bear. Some things you must never stop refusing to bear. Injustice and outrage and dishonor and shame - William Faulkner