31 January 2011

Random

Jam 12:04 malam. Aku mengadap laptop lagi. Banyak benda nak ditulis, tapi tak terluah. Mata letih, badan pun sama kesan jet lag (flight 2 jam boleh jet lag ke, kah kah kah), tapi tak leh nak tido lagi. Esok masuk kerja pukul 8, subuh pukul 5:20 pagi. Oh ya, aku baru balik dari kampung. Mak aku dah masih lagi macam keadaan 2 minggu yang lepas, cuma sekarang tak lagi bergumpal dan bergelut dek rasukan. Flight pergi balik RM 1k, cuti tahunan dah tak boleh apply sebab aku dah guna in advance 10 hari masa bercuti selama 2 minggu dulu. Duit dalam bank ada lagi, nasib aku bujang. Kalau dah kahwin senak la nak hidup ngan total amount duit dalam bank sekarang.

Tadi masa kat boarding lounge aku sempat beli Gardenia Scotchbutter, Delicia + Twiggies. Untuk makluman kat Sarawak, maaf, kat Sibu, memang sangat susah dan hampir mustahil nak jumpa roti bercop halal Jakim. Jadi aku borong la, tak banyak pun, cukup la supply sampai roti2 tu expired. Lepas tu beli suratkhabar Mingguan Metro, Harian Metro versi Ahad. Tak style langsung baca Metro, kan? Pada aku Utusan, Berita Harian, Harian Metro masih relevan. Sebab dalam surat khabar ni aku boleh tau berita kemalangan, siapa yang kena rompak minggu lepas, kat mana negeri selalu keluar berita bayi kena buang, kat negeri mana banjir sekarang. Maklumat2 ni aku tak boleh dapat kat dalam Harakah atau Suara Keadilan. Cuma malangnya berita-berita tentang masyarakat marhaen macam tu sikit sangat isinya, selebihnya isi dalam surat-surat khabar tu tak boleh pakai. 

Kat DUN Tenang BN menang majoriti 3000+. Tahniah kepada BN. Ada blogger pro-Pakatan Pembangkang cakap dorang kalah sebab hujan - pengundi BN je dapat naik bot, pengundi PAS tak dapat naik bot pergi mengundi. Ada yang menyindir calon BN gemuk, nanti cepat mati, bila Adun mati banyak projek masuk kawasan sebab boleh ada pilihan raya balik. Kelakar melihatkan telatah orang politik ni. Dah kalah, kalah la. Kalau betul orang kat DUN Tenang dah meluat dengan BN, aku pasti PAS tetap akan menang jugak walaupun banjir. Dah kalah, kalah la. Baik tutup mulut kalau tak nanti orang baling batu. Walaupun digembar gemburkan calon BN kali ni tak disukai oleh geng2 UMNO kat Tenang, malah didakwa cuai semasa bertugas sebagai penjawat awam, orang kat Tenang tak ambik pot dan dengan rela memilih calon BN. Pada aku kalau orang Tenang sokong Pas pun, apa la sangat boleh dibuat Cikgu Mala tu dalam sidang DUN nanti, silap hari bulan langsung tak masuk projek langsung kat Tenang. Baiklah dorang sokong BN. Lain la kalau kat Selangor, Kedah ke, Pakatan Pembangkang jadi kerajaan, jadi baguslah sokong calon Pakatan Pembangkang sebab kalau sokong calon BN, nanti dorang tak dapat projek. Simple logic & precise calculation, aku tak rasa orang Tenang bodoh bila dorang pilih calon BN.

Aku yang terputus hubungan dengan berita-berita global bulan Januari ni dapat tau kerajaan pemerintah di Tunisia dah digulingkan melalui demonstrasi, begitu jugak dengan Mesir. Revolusi = kebaikan? Pada aku baik atau buruk tu, kena dilihat pada keseluruhan proses revolusi tu. Sebagai contoh, katakanlah kerajaan Malaysia sekarang berjaya digulingkan secara paksa melalui revolusi seluruh rakyat marhaen baik pelajar, petani, pekerja hospital, tentera dan polis (kepada Special Branch atau SKMM yang terbaca blog aku, ni contoh je, jangan bengap sangat)..maka kita boleh buat  perbandingan. Katakanlah harga Sos Cili Kimball sebelum revolusi berharga RM 2.90, lepas revolusi berlaku harga Sos Cili Kimball yang sama turun ke harga RM 1.10..maka revolusi yang berlaku tu sesuatu yang bagus, harga barang makanan turun. Tapi katakanlah lepas revolusi berlaku, harga sos cili yang sama naik harga sampai RM 29.00..maka celakalah revolusi itu dan akan ke nerakalah sekalian bajingan yang menganjurkan revolusi kepala tahi itu. Revolusi Iran sebagai contoh, berjaya menggulingkan Shah Iran yang kejam malah berjaya membangunkan Iran walaupun mengalami sekatan ekonomi antarabangsa, maka revolusi Iran boleh la dianggap berjaya. Reformasi 1998 akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasilnya 10 tahun kemudian parti-parti yang duk membangkang pemerintah berjaya berkuasa di 4 negeri, maka reformasi (boleh jugak dikatakan revolusi cuma pada skala yang lebih kecil) tu berjaya memecah monopoli sebuah pakatan parti yang dah memerintah sejak sekian lama. Bagusnya ialah rakyat dapat merasa style kepimpinan baru, dan monopoli pemerintahan dapat dipecahkan. Kalau dulu kerajaan BN kat Selangor contohnya, duk bagi makan kroni-kroni BN, bila PKR, PAS, DAP berkuasa pulak, maka kali ni kroni-kroni PKR, PAS dan DAP pulak yang dapat makan. Jadi secara langsung, kekayaan dapat dibahagi dengan sama rata kepada semua orang..maksud aku orang politik la, orang-orang yang kaki bodek pemimpin2 parti politik. Orang-orang biasa, rakyat marhaen, yang pergi kerja pukul 8 pagi balik 5 petang macam tu la jugak. Padanlah muka rakyat biasa, siapa suruh jadi orang rajin, orang yang beriman, orang yang tak makan rasuah, kan dah hidup susah. Nak jadi kaya kena la menipu, sama ada menipu orang untuk naik jadi pemimpin politik ataupun buat naya kat orang dengan jadi peniaga besar, taikun besar dan suka-suka hati naikkan harga barang. Itulah cara hidup demokrasi, semua orang bebas buat apa saja, bebas berbuat zalim. Kezaliman boleh dilindungi dengan mencipta undang-undang sendiri, undang2 manusia gerenti banyak loophole, boleh diadjust untuk menganiaya sesetengah kelompok dan memberi kelebihan pada sesetengah kelompok. Yang kuat yang pandai jadi durian, yang bodoh jadi timun. Maka jadilah manusia sekalian yang dijadikan sebaik-baik kejadian oleh Allah, tak lebih daripada monyet-monyet yang berjaya akibat survival of the fittest bak kata Charles Darwin. 

Merapu dah banyak. Nanti tak bangun subuh, tak pasal berdosa sebab update blog sampai bangun subuh pun lambat. Off.

28 January 2011

Scientology

Untuk kamu agama kamu dan untuk aku agama aku

Kebanyakan manusia menganut kepercayaan yang diturunkan daripada orang yang menjaga dorang sejak dari kecil. Aku sendiri dilahirkan dalam keluarga Muslim, kedua-dua mak dan abah aku orang Islam, maka aku pun jadi Islam. Orang yang beragama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan bermacam anutan lain selalunya mewarisi kepercayaan mereka daripada ibu bapa dorang, serupa macam aku la jugak. Aku cuba bayangkan kalaulah aku lahir dulu, mak abah aku Kristian, atau pun Buddha, kemungkinan besar iktikad dan akidah aku pun kuat menyokong ajaran Kristian atau pun apa-apa anutan lain. Kalau aku berasa beruntung sebab dilahirkan sebagai Muslim, mesti orang lain, yang dilahirkan sebagai penganut ajaran-ajaran lain pun berasa lebih kurang macam aku. Aku terbayangkan orang-orang sekitar negeri aku bekerja sekarang - yang jenis duduk dalam hutan, hidup nomad, tak pernah dengar atau kenal siapa Rasulullah, tak pernah tau adanya Al Quran, tak pernah dengar apatah lagi menyebut kalimah "La ila haillah", dari sejak lahir sampai la masuk dalam tanah, adakah dorang akan dilontar terus ke neraka, atau pun masa di padang Mahsyar nanti dorang akan menuntut daripada orang-orang Islam yang kenal Rasulullah, tahu isi kandungan Al Quran dan tahu ucapan "lailahaillah" tu penentu antara neraka atau syurga, bahawa orang-orang Islam ni tak pernah berusaha menjelajah segenap pelusuk bumi ni untuk mencari mereka dan mengkhabarkan tentang pentingnya mengenal Allah dan Islam. Aku percaya Allah Maha Adil, dan keadilan itulah yang akan menentukan nasib setiap manusia nanti, tanpa berlaku sedikit pun penganiayaan.

Mari bercerita pasal anak Tom Cruise, Suri. Suri dilahirkan oleh Katie Holmes, isteri Tom Cruise. Dorang laki bini menganut fahaman Scientology.



Suri dan ayah dia, Tom Cruise. Punya serabai rambut, dah jadi tak comey


Masa dah suntuk, dan aku nak tidur. Baiklah, kali ni aku update style Dr Mahathir

- Scientology merupakan suatu konsep kepercayaan/anutan yang diasaskan oleh L. Ron Hubbard, seorang penulis science fiction dari USA.

- Antara isi kandungan ajaran Scientology ialah

(a) Manusia merupakan makhluk yang hidup kekal abadi yang terlupa asal usul dorang

(b) Kalau dalam Islam solat itu tiang agama, dalam Scientology perkara asas dalam ajaran tersebut ialah auditing iaitu sesi kaunseling di mana para penganut Scientology akan cuba mengingat balik perkara-perkara lepas, yang mungkin menyakitkan dorang, atau yang membuatkan dorang rasa bersalah dengan tujuan untuk membebaskan diri dorang daripada ingatan-ingatan yang lampau.

(c) Roh manusia digelar dengan istilah 'thetan', iaitu merupakan makhluk asing yang terperangkap dalam badan manusia. Apabila manusia mati, itu bermaksud thetan tu dah bosan untuk duduk kat dalam badan manusia tu dan thetan tu semua akan balik ke landing station yang terletak di planet Zuhrah sebelum dihantar semula ke bumi di kawasan luar pesisir California, USA.

(d) Ajaran Scientology mempunyai beberapa peringkat yang digelar Operating Thetan (OT). Ada 15 level OT dalam Scientology, dan di setiap peringkat sedikit demi sedikit knowledge dalam Scientology diturunkan kepada pengikut-pengikut Scientology tuh.

(e) Penganut Scientology digesa supaya memutuskan hubungan dengan keluarga dan kawan2 yang menolak fahaman Scientology.

(f) Pusat ajaran Scientology digelar sebagai Church, menunjukkan adalah dicedok jugak ciri-ciri ajaran Kristian. Scientology jugak percaya kepada kelahiran semula, sama macam konsep Hindu.

(g) Para pemimpin tertinggi dalam Gereja Scientology kerap mengambil tindakan undang-undang ke atas individu dan pihak yang mengkritik ajaran Scientology.

Secara peribadi, pada aku Scientology ni lebih kurang macam kes Ayah Pin la, ajaran sesat. Kat USA ajaran ni diiktiraf sebagai agama, tapi kat France, UK dan Jerman, Scientology tak dapat status agama oleh pihak berkuasa di negara-negara tersebut.

24 January 2011

Apa itu F.L.O.M?


Link di sini



Mungkin berkait dengan keselamatan negara kot, tu yang Cik Nurul keberatan nak dedahkan apa maksud F.L.O.M?

Macam-macam la

23 January 2011

Wajibkan beg udara? Just back to basic laa

Tahun depan semua kenderaan kecuali pacuan 4 roda diwajibkan supaya memasang beg udara. Klik kat sini untuk baca.

Malas nak cakap banyak. Sebenarnya punca utama kemalangan jalan raya, tak lain tak bukan sebab sikap pengguna la. Tapi mungkin peel dan perangai pemandu & pengguna jalan raya kat Malaysia ni susah betul nak diubah, jadi kerajaan memilih untuk memperkenalkan undang2 yang bakal membebankan pengguna. Syarikat automotif mustahil akan tunduk pada arahan kerajaan, sebab memang ternyata kerajaan kita ni pro kapitalis. Sebab itu peniaga bebas naikkan harga barang,sebab akan rakyat disuruh berjimat cermat oleh kerajaan. Sebab itu jugak la GST bakal diperkenalkan, ada orang cakap GST dah pun dimulakan pun, aku tak sure jugak la betul ke tak. Sebelum ni, tali pinggang keledar diwajibkan dipasang kat belakang kereta, tapi apasal kat dalam bas ekspress tak diwajibkan? Jawapannya senang je - nak jaga hati taiko2 dan tauke syarikat bas la, apa lagi.

Kalau betul la nak kurangkan risiko kematian akibat kemalangan, aku nak cakap macam ni jela..back to basic. Sifat kenderaan-kenderaan buatan Malaysia ni, mematuhi standard keselamatan tak? Cuba tengok video kat bawah ni (video ni dah 4 tahun lebih dalam Youtube), pastu pikir sendiri la macam mana.

Liberalisme, agnostic, atheist

Dunia blogging ni merupakan satu rahmat pada aku. Melalui blog aku kenal macam-macam jenis orang, macam-macam ragam - ada yang mengulas isu politik, ada yang berkongsi isu semasa dengan orang lain, ada yang bercerita pasal dream wedding, ada yang saling berbalas menganjing team bola sepak sesama member2 lain, ada yang cerita pasal buat praktikal, ada yang cerita pasal kena dump dengan awek, ada yang suggest alternative aqidah. Bila kenal ramai orang, banyak la benda yang aku dapat - dapat knowledge & ilmu baru, kadang-kadang dapat dosa sebab baca gosip dan umpatan pasal orang lain.

Berbalik pada tajuk entri nih, tujuan aku nak tulis entri kali ni, sebab aku dah berjumpa beberapa individu, secara spesifiknya blogger yang  terang-terang berfahaman liberal, malah ada sesetengahnya mengaku dorang agnostic (agnostic - orang yang berasakan kewujudan Tuhan tu sukar untuk dibuktikan, mungkin ada mungkin takde, macam tu lah lebih kurang maksudnya). Ada yang mempersoalkan hukum Tuhan, mempersoalkan tentang rasionalnya hidup beragama. Bila tengok benda macam ni, dan sekarang aku pulak ada blog aku sendiri aku rasa ada baiknya aku kongsikan pendapat aku pulak pasal liberalisme, agnostic dan atheist ni, nak setuju atau tak, bab itu aku bukan kerja aku dah. Terpulang pada penilaian masing-masing.

Baiklah. Intro. Aku, dan juga boleh dikatakan semua rakyat Malaysia yang masih bernafas hari ni dibesarkan dengan pendidikan sekular. Sekular bermaksud pemisahan antara kepercayaan beragama dan urusan-urusan  kehidupan yang lain. Sebagai contoh, dalam subjek Biologi, aku belajar pasal benda-benda hidup, macam mana sesuatu organisma tu boleh dikategorikan sebagai benda hidup - Teori Sel (semua benda hidup terdiri daripada sel, sel baru dihasilkan melalui pembahagian sel lama, sel sebagai unit asas benda hidup), belajar pasal metabolisme dalam badan benda-benda hidup yang menghasilkan tenaga kimia melalui glycolysis, Kreb's Cycle, Electron-transport chain bla bla bla. Masa belajar biologi, takde pun mana-mana pensyarah yang mengajar aku bahawa Syaitan, Iblis, Jin itu benda hidup. Takde pun aku belajar konsep nyawa atau roh, macam mana nak tengok roh, kat mana terletaknya roh manusia, roh haiwan dalam badan - agak pelik jugak, kebanyakan orang yang berfahaman sekular mengiktiraf kewujudan nyawa manusia tapi bila ditanya kat mana letaknya nyawa, takde sape dapat jawab. Yang kita semua tau, bila sampai masa mati, badan pun sejuk dan mula perlahan-lahan mereput sebelum jadi bangkai, sebab itu mayat kena tanam dalam kubur. 

Kalau ada orang tanya aku, Allah tu wujud atau pun tak? Maka jawapan aku, Allah itu wujud, cuma kita tak boleh nampak dalam dimensi kehidupan kita sekarang sebagai manusia, terdapat hijab yang membataskan pancaindera kita daripada melihat Allah. Kita tak boleh nampak Allah sama seperti kita tak boleh nampak nyawa kita sendiri, atau pun akal fikiran kita sendiri. Mungkin orang akan argue, akal, nyawa tu sekadar konsep abstrak - dalam erti kata lain nyawa, akal tu sekadar istilah je. Baiklah, siapa percaya nyawa tu sekadar satu konsep abstrak, mungkin boleh bincangkan dengan orang lain yang lebih pakar sebab aku pun dah tak reti nak terang macam mana.

Berbalik kepada soal kewujudan agama ni - kebanyakan agama dinilai berdasarkan tingkah laku perbuatan penganut-penganut agama tersebut. Ambil contoh yang paling mudah - Islam. Kalau ada mesin masa yang boleh travel balik ke zaman Rasulullah S.A.W amalkan ajaran Islam masa Baginda kat Madinah, aku rasa memang banyak la beza dengan zaman sekarang. Confirm kita takkan jumpa kenduri tahlil, perarakan Maulidur Rasul, atau pun promosi besar-besaran jualan Aidilfitri pada zaman tu. Faham tak maksud aku? Amalan ajaran Islam pada zaman sekarang dah pasti tak mengikut 100% macam apa yang berlaku masa zaman Islam tu mula-mula datang - zaman sekarang umat Islam masih lagi solat berjemaah di masjid, masih lagi berpuasa masa bulan Ramadhan, masih lagi mengerjakan ibadah Haji tapi malangnya dalam masa yang sama umat Islam jugak yang ramai jadi suicide bomber, umat Islam jugak yang ramai kena tangkap basah, umat Islam jugak terpecah kepada 2 mazhab - Shiah dan Sunnah, dua-dua mengaku dorang betul, habis siapa yang betul? Jadi bila berlaku variasi dalam amalan agama Islam, ada perpecahan, ada orang Islam buat spoil, maka ternampaklah Islam dan umat Islam ni sebagai sesuatu yang bermasalah. Penjelasan kepada keadaan kucar lanar ni ialah 

1) Kena kaji sejarah la, tak boleh tidak. Melalui sejarah kita akan dapat tahu mengapa wujud fahaman Shiah dan Sunnah, kenapa umat Islam ramai kena tangkap khalwat padahal yang laki kadang2 geng Imam Muda dan yang pompuannya geng tudung labuh. 

2) Kena tengok dan kaji falsafah Islam bersumberkan Al Quran dan Sunnah, dan kemudian bandingkan dengan keadaan sekarang barulah nampak, sama ada masalah-masalah yang berlaku sekarang disebabkan oleh sikap sesetengah umat Islam atau pun disebabkan oleh ajaran Islam tu sendiri.

Agnostic dan atheist menolak kepercayaan tentang kewujudan Tuhan, liberal pulak menuntut hak sama rata antara semua orang. Baiklah, satu-satu la. Kita jom kita tengok balik sejarah Islam diturunkan. Ajaran Islam diturunkan untuk membawa kembali manusia ke arah tujuan hidup yang sepatutnya, ke arah kehidupan yang lebih baik, bertamadun dan beretika. Senang cerita untuk ajaran dalam Islam ni mengajar tentang moral yang sepatutnya, cara hidup yang sepatutnya. Mungkin orang yang berfahaman atheist dan agnostic akan cakap, tanpa agama pun manusia boleh tentukan moral dalam kehidupan mereka sendiri. Orang yang liberal akan cakap, orang Islam cakap Islam betul, orang Kristian cakap dorang betul, jadi senang cerita biarkan masing-masing hidup dengan cara dorang sendiri. Ikut suka hati masing-masing la nak buat apa pun. Jadi biar aku bagi contoh keadaan macam kat bawah ni.

Individu A: Aku kerja keras siang malam untuk perniagaan aku, aku bayar gaji pekerja aku untuk dorang kerja keras siang malam, buat apa aku nak sumbangkan kekayaan aku untuk orang lain, buat apa aku nak bayar zakat. Usaha aku, duit aku, jadi tak salah kan? (moral dari sudut pandangan kapitalis)

Individu B: Aku kerja siang malam cari rezeki, tapi duit sentiasa tak cukup, anak aku sakit kronik, perlukan bantuan tapi takde sape nak bantu. Aku perlukan duit, jadi cara senang ialah rompak duit orang yang banyak duit. Aku rompak untuk selamatkan anak aku, untuk bayaran wang perubatan dia, jadi tak salahkan kalau aku rompak orang? (moral dari sudut pandangan orang yang terdesak)

Jadi macam mana sekarang, setiap orang ada definisi sendiri pasal moral, yang kaya berasa tak salah mengumpul kekayaan, sebab dia berusaha keras. Yang terdesak rasa tak salah merompak, sebab dia merompak untuk anak dia. 

Islam ada penyelesaian dalam hal macam ni. Dalam sistem Islam, yang kaya kena bayar zakat. Zakat digunakan untuk membantu orang yang terdesak dan susah, supaya orang-orang yang terdesak dan susah tak merompak yang kaya untuk meringankan kesusahan dorang. 

Baiklah - manusia boleh cipta mekanisme sendiri, tak perlukan agama untuk selesaikan masalah kat atas. Ada sistem cukai, boleh buat bermacam-macam sistem, falsafah untuk atasi masalah. Di sinilah sebenarnya punca masalah - bila manusia menggunakan akal sendiri sampai mengenepikan shariah yang dah diturunkan oleh Pencipta dorang. Kalau tak percaya tengok balik sejarah - berapa banyak dah falsafah yang dicipta manusia - kapitalisme, sosialisme, materialisme - aman tenteram ke hidup manusia dengan falsafah2 tu? Boleh tengok sendiri la sejarah peradaban manusia berapa banyak peperangan dah tercetus, dan mungkin tak perlu pergi jauh, tengok keadaan masyarakat sekarang ni - makin ke arah kesempurnaan atau ke arah kebinasaan?

Disebabkan aku ni orang Islam, jadi entri ni bercerita macam, liberal, agnostic, atheist vs Islam. 3 lawan 1. Aku dah hilang bakat untuk menulis idea dengan baik, tapi inilah sedikit sebanyak yang aku rasa aku boleh kongsi setakat ni.

21 January 2011

Lagu-lagu untuk ibu dan ayah

Kebanyakan lagu-lagu zaman sekarang, kalau yang mainstream biasanya bertemakan cinta remaja, cuma kebelakangan ni bila muzik yang dikategorikan dalam genre indie dah mula masuk radio, barulah nampak perubahan sikit dalam gaya penulisan lirik lagu. Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussein contohnya dah mempelbagaikan tema-tema lirik lagu dorang. Tapi kalau nak masuk Juara Lagu, jarang sangat kalau nak dapat jumpa lagu-lagu yang bawak tema kemanusiaan, peperangan ataupun kekacauan politik. Kalau dalam konsert AF takyah cakap la.

Isu dan tema dalam sesuatu lagu sebenarnya penting dari aspek untuk mendidik pendengar. Penulis lirik yang matang, yang berkaliber biasanya akan cuba menyampaikan mesej-mesej yang lebih besar dan cuba membuatkan pendengar berfikir dan bukan sekadar berhibur semata-mata. Kopratasa, M Nasir, S Amin Shahab, Allahyarham Loloq, Tapai, Dr Wan Zawawi, Allahyarham Zubir antara penulis lirik yang pada aku berkaliber dan berbaloi nak dengar lagu-lagu yang ditulis lirik oleh dorang.

Okla, sebenarnya aku nak tonjolkan beberapa lagu yang bertemakan ibu bapa. Jarang sangat jumpa lagu-lagu Melayu yang bercerita pasal mak ayah, balik-balik jumpa lagu cinta. Jadi bila godek2 list mp3 aku jumpalah lagu-lagu yang bertemakan pasal ibu bapa. Ada baiknya lagu-lagu macam ni dimainkan selalu kat radio, biar generasi zaman sekarang appreciate sikit parents dorang, daripada asyik appreciate kekasih cinta monyet dorang.

Syurga Di Telapak Ibu - Aishah

Untuk Mu Ibu - Exist

Di Pondok Kecil - Aeman ft Bazli UNIC

Ibu Mithali - Rabbani

Ayah Aku Rindu Pada Mu - Mawi

1 2 3 4 - Aris Ariwatan

Lagu Untuk Seorang Ibu - Kembara

Pada aku, lagu yang betul-betul ada roh dan memang mengusik perasaan lagu Rabbani & Aeman ft Bazli UNIC tu. Memang kalau tengah depress, sedih, memang mau menangis dengar.

Menjawab semula soalan

Apa tujuan hidup kamu?

Soalan kedua daripada entri ini

Aku pernah beri jawapan pada diri sendiri, aku hidup untuk keluarga aku.

Bodohnya aku menjawab begitu.

Sekarang aku dah yakin dengan jawapan yang aku nak tulis sekarang.

Aku hidup dari saat ke saat, minit ke minit, dari satu hari ke hari yang lain sebab Pencipta aku masih membenarkan aku bernafas.

Kenapa Pencipta aku masih biarkan aku bernyawa masa aku masih bernyawa? Sebabnya mudah - untuk menentukan kat mana penamat terakhir aku nanti - adakah mungkin selamanya mendiami Huthamah, Jahannam, Sa'ir atau pun bakal mendiami Jannatul Firdaus, Jannatul Ma'wa atau Jannatul Na'im.

Dan sebagai ujiannya, semasa aku masih bernyawa, masa dulu, sekarang dan mungkin selama beberapa lama lagi yang aku tak tau berapa lama, aku ada tanggungjawab dan peranan yang perlu aku buat, perlu aku jalankan semasa aku bernyawa. Tanggungjawab sebagai Muslim, sebagai hamba kepada Pencipta, sebagai anak lelaki sulung, sebagai pekerja, sebagai jemaah dalam masyarakat sekitar aku, sebagai rakan sekerja, sebagai sepupu, sebagai cucu, sebagai bermacam lagi tanggungjawab yang korang boleh bagi apa saja nama.

Bila hidup aku berakhir, satu masa nanti aku akan disoal semula tentang semua tanggungjawab aku - adakah aku dah buat yang terbaik, adakah aku lalai daripada melaksanakan tanggungjawab, adakah aku buat tak tahu je dengan tanggungjawab-tanggungjawab yang dah diamanahkan lama kepada aku.

Banyak tanggungjawab aku yang aku tahu aku dah abaikan. Jadi tujuan hidup aku sekarang - hidup untuk melaksanakan tanggungjawab aku yang diamanahkan oleh Pencipta aku. Buat sebaik boleh dalam semua perkara yang perlu aku buat dan tanggung.

Lega rasanya bila dapat jumpa jawapan. Alhamdulillah.

17 January 2011

Kalaulah...

Kalaulah aku boleh gadaikan nyawa aku supaya

mak aku kembali sembuh, atau

dunia jadi aman damai tanpa peperangan, sengketa, kezaliman, penindasan, atau


dengan mengorbankan nyawa aku, semua manusia akan diampunkan dan dimasukkan ke dalam syurga kecuali aku sendiri

maka aku tak ralat sedikit pun mati sekarang jugak.

tapi perkara sebodoh tu takkan terjadi. sebabnya...nyawa aku sendiri pun bukan milik aku. Nyawa aku, Allah yang pinjamkan, sebagai ujian untuk penilaian keimanan aku.

bila difikirkan balik aku tak punya apa pun. aku tak ada mak, tak ada abah, tak ada adik-adik, tak ada harta, tak apa-apa. Semua yang aku perasan aku ada, boleh sekelip mata je hilang.


Apa perasaan bila hilang sesuatu? Spesifik sikit, contoh kalau korang tiba-tiba masih berjumpa, dapat bertemu secara fizikal dengan seseorang yang korang sayang sangat2, tapi orang tu dah tak jadi macam orang yang korang kenal dulu. Dia ada, tapi hakikatnya dia perlahan-lahan dirampas daripada korang - dia dah tak ingat siapa korang, atau perwatakan dia berbeza berbanding yang korang kenal dulu.

Aku sedang merasa keadaan macam tu. Sungguh, azab amat. Dan lebih dahsyat bila korang terkenang balik masa masa dulu, masa dia masih lagi dipinjamkan oleh Pencipta Nya kepada korang, korang cuma..take for granted. Jarang berbual dalam telefon, jarang berborak, buat dia macam ada tak ada. Sampai masa tempoh pinjaman tu dah expired, baru korang sedar anugerah paling besar dalam hidup korang beransur-ansur ditarik daripada korang.

Percayalah itulah hukuman paling berat, kalau lah itu bukan ujian.

Balik semula kepada asas - kita tak punya apa-apa pun. Sebab kita cuma hamba. Hamba ni merupakan orang yang zero. Kosong. Takde nilai, boleh dibuat macam mana pun oleh tuan, pemilik hamba tu. Tapi manusia dijadikan sebagai hamba Allah. Allah sifat Nya Maha Penyanyang, Maha Pengasih, Maha Pengampun..Allah merupakan seadil-adil dan seagung-agung pemilik hamba.

Aku dah ditunjukkan oleh Tuan aku, sebaik-baik rancangan adalah rancangan yang diatur oleh pemilik yang menjadikan aku. Sebaik-baik jawapan yang aku boleh bagi ialah - redha pada ketentuan Si Pemilik. Dan dalam masa yang sama aku, sebagai hamba, seboleh mungkin cuba merayu, merayu, berdoa, memohon kepada pemilik aku, supaya diringankan beban, dilapangkan dada, dipermudahkan urusan, dan tentu yang paling penting, mendoakan mereka yang dulu bersusah payah membesarkan aku yang kini diuji oleh kehidupan mereka oleh pemilik mereka, agar ujian itu dipermudahkan dan dipertemukan dengan titik pengakhiran yang sejahtera dan bahagia.

Maha Suci Allah, yan Maha Pengasih dan Maha Penyanyang. Ampunkanlah dosa aku, mak, abah, adik-adik, kaum kerabat aku dan seluruh hamba Mu atas segala dosa-dosa kami.

06 January 2011

Ya Allah, Berikan aku kekuatan

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan

Berikanlah aku kekuatan untuk berdepan dengan mereka yang ingin menghancurkan keluarga aku

Berikan aku kekuatan untuk menyanyangi mak, sebagaimana dia menyanyangi aku sejak aku dalam kandungan

Berikan aku kekuatan untuk terus berdoa dan berusaha menempuh dugaan yang Kau berikan

Berikan kekuatan juga kepada abah, adik-adik dan kesemua ahli keluarga aku