21 August 2011

10 Hari Sebelum Ulangtahun Merdeka

Entri khas hari kemerdekaan.

Sekarang ni Malaysia memiliki dua hari kebangsaan. Pertama, ulangtahun kemerdekaan, 31 Ogos. Kedua, hari penubuhan Malaysia, 16 September.

Secara peribadi pada aku 16 September merupakan tarikh kemerdekaan yang lebih sesuai bila mengambil kira kedudukan geopolitik Malaysia sekarang. Malaysia yang sekarang ni terbentuk daripada negeri-negeri Melayu bersultan dan dua bekas jajahan British di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah terbentuk pada tahun 16 September 1963. 31 Ogos sekadar mewakili tarikh rasmi kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

Sejarah pasal penubuhan Malaysia ni secara rasminya boleh didapati dalam buku teks sejarah penuntut sekolah menengah. Secara kasarnya memang macam yang tertulis dalam sejarah tu la, Lee Kuan Yew mintak Singapore digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu untuk menyelamatkan karier politik dia yang terancam dengan pengaruh parti pembangkang di Singapura pada waktu tu. Pada waktu tu jugak politician di Singapura berfikiran pesimis berkenaan masa depan Singapura yang kekurangan sumber asli dan bahan mentah berbanding dengan Semenanjung Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman pulak pada masa tu melihat kebangkitan sayap pro komunis di dalam parti politik di Singapura sebagai ancaman kepada Tanah Melayu, dan masalah keseimbangan populasi Bumiputera - Cina sekiranya penggabungan negara sekadar melibatkan Tanah Melayu - Singapura mendorong beliau untuk memasukkan Sarawak dan Sabah sekali ke dalam penubuhan Malaysia.

Jalan ke arah penubuhan Malaysia bukanlah mudah. Rakyat Sarawak dan Sabah yang dahulunya bernaung di bawah keluarga Brooke dan Syarikat British Borneo Utara tentulah tak setuju dengan cadangan penggabungan negeri dorang dengan Semenanjung Tanah Melayu serta Singapura, tambahan pulak cadangan tu datang daripada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Tanah Melayu. Siapa Tunku ni pandai-pandai nak gabungkan negara mereka (Sabah dan Sarawak) dengan Tanag Melayu? Baru je nak merdeka daripada British, tiba-tiba nak disuruh masuk bergabung dengan negara lain. Kalau aku sendiri jadi rakyat Sarawak atau Sabah masa tu, aku sendiri pun takkan setuju. Kenapa perlu gabungkan negara sendiri dengan negara asing yang dipisahkan dengan Laut China Selatan, yang tak dikenali hati budi dorang, entahkan jahat atau baik.

Tapi kerajaan British setuju dengan cadangan penggabungan ni. Suruhanjaya Cobbold kemudian dibentuk untuk meninjau pendapat masyarakat di Sabah dan Sarawak berkenaan penggabungan tu. Akhirnya dorang keluarkan keputusan, 70% rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju untuk bergabung dengan Tanah Melayu dan Singapura bagi membentuk entiti Malaysia. Sah atau tidak, betul atau palsu keputusan tinjauan tu mungkin jadi tanda tanya yang besar - tapi itu dah jadi tak penting sebab sekarang dah 48 tahun penggabungan tu terjadi, dan perjanjian dah dimeterai. Generasi X dan Y di segenap pelusuk wilayah Malaysia dah pun menerima kewujudan entiti Malaysia ni.

Kemerdekaan daripada pemerintahan dan terhapusnya naungan Ratu Elizabeth ke atas Malaysia memberikan peluang kepada rakyat Malaysia mentadbir sendiri tanah air mereka. Dalam proses pendewasaan dan pemodenan negara di atas tangan sendiri kesan daripada kemerdekaan dari aspek undang-undang, banyak pencapaian yang berjaya dicapai. Baik hasil komitmen pemerintah mahupun rakyat sendiri. Sepanjang tahun-tahun yang mengisi usia kemerdekaan Malaysia ni kita menyaksikan pasukan bolasepak negara pernah melayakkan diri ke peringkat Olimpik, penubuhan Petronas yang menjadi kebanggaan dan lubuk emas negara, tumbuhnya institusi - institusi pendidikan yang menyumbangkan penghasilan intelek dan tenaga mahir dalam negara, penciptaan simbol-simbol kebanggaan negara dan peningkatan tahap prasarana negara antara bukti fizikal yang dapat dilihat. Malangnya dari segi lahiriahnya banyak yang kita peroleh dan capai, dari segi hakikatnya banyak juga perkara yang kita hilang. Paling ketara sekali kita kehilangan sebuah masyarakat yang semakin tandus nilai akal budi yang menyanjung moraliti - baik di pihak massa ataupun pemerintah. Belum lagi mengambil kira economic loss dalam tragedi-tragedi seperti skandal Bumiputera Finance dan Bank Bumiputra, Perwaja Steel, MAS, Petronas, skandal spekulasi harga timah dan spekulasi matawang Sterling oleh Bank Negara.

Segregasi etnik masih membayangi masyarakat Malaysia. Pembinaan bangsa Malaysia yang pernah cuba diusahakan dulu akhirnya sekadar jadi retorik kerana bangsa Malaysia akan meningkatkan kewujudan suatu kuasa yang dinamakan integriti. Integriti yang kukuh akan membunuh mereka yang menjadi musuh integriti. Berapa ratus tahun lagi kehidupan dalam segregasi ni, itu Tuhan sajalah yang Maha Mengetahui. 

Cukup tentang keadaan semasa negara merdeka ni. Bila berbual berkenaan kemerdekaan, takkan dapat lari daripada berbicara soal perjuangan menuntut kemerdekaan.

Semasa negara ni masih dalam genggaman British, dah tentu pejuang kemerdekaan ialah mereka yang menentang British. Siapa yang menentang British? Kalau di Pahang, orang Pahang kenal Datuk Bahaman dan Tok Gajah. Orang Terengganu kenal Tokku Paloh, orang Kelantan kenal Tuk Janggut. Sarawak kenal Rosli Dhoby, Sabah kenal Mat Saleh. Selepas perang dunia kedua, perjuangan menentang British diteruskan oleh Parti Komunis Malaya, AMCJA, AWAS, API. Pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 membunuh objektif Parti Komunis Malaya yang berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu daripada British. PKM akhirnya berkeliaran bagai langsuir liar yang hilang tuan sampailah Perjanjian Hadyai dimeterai pada 2 November 1989.

Perbincangan berkenaan perjuangan menuntut kemerdekaan merupakan suatu perbincangan yang kompleks, yang perlu mengambil kira pandangan dan justifikasi daripada setiap watak yang terlibat. Kemerdekaan negara ni sendiri pun agak sukar nak dibincangkan, perbincangan mendalam memerlukan kita berbincang secara terbuka tanpa sekatan akta-akta hasutan ataupun akta rahsia rasmi. 

Kemerdekaan negara ni diisytiharkan ketika era Perang Dingin, iaitu konfrontasi blok Kapitalis dan blok Komunis berlangsung dalam keadaan di mana tiada konflik atau konfrantasi terbuka yang melibatkan antara negara-negara yang terlibat didedahkan kepada umum. Malaysia yang mencapai kemerdekaan, menjadi sekutu kapitalis dan menentang komunisme walaupun pada awal 1970-an Malaysia diisytiharkan sebagai negara berkecuali. Kemerdekaan Malaysia sebenarnya sekiranya dianalisis dari sudut konfrantasi senyap semasa Perang Dingin, merupakan salah satu proses yang dilakukan oleh blok Kapitalis untuk melenyapkan pelebaran kuasa oleh blok Komunis.

Penentangan pihak komunis di Malaysia yang pada awalnya merupakan penentangan menentang penjajah British akhirnya berubah kepada peperangan proksi kapitalis-komunis bila kemerdekaan diisytiharkan di Malaya, dan seterusnya Malaysia. Dari sudut pandangan intelektual, kapitalisme dan komunisme tak lebih daripada perbezaan fahaman ekonomi, tapi pihak pentadbiran kerajaan Malaysia memandang komunisme sebagai suatu ancaman besar terhadap kerajaan. Parti Komunis Malaya dinafikan hak untuk berpolitik sedangkan PKM sentiasa optimis untuk meletakkan senjata, dengan syarat diberi peluang untuk bergiat di dalam politik secara sah. Konfrontasi kerajaan dan komunis berlarutan, hahaha, sebenarnya sehingga sekarang. Kalau tak percaya, baca soalan-soalan dalam borang tapisan keselamatan kasar yang perlu diisi oleh setiap penjawat awam. Dalam erti kata lain, kemerdekaan daripada segi tanggapan dan persepsi berkenaan sesetengah perkara masih belum dicapai. Mungkin juga sebagai status quo, sebagaimana praktik di negara-negara kapitalis lain yang menolak dogma komunisme dalam doktrin pemerintahan mereka.

Semangat kemerdekaan. Merdeka kali ni diselubungi dengan kesuraman ekonomi dan suasana politik yang bolok. Merdeka dari aspek undang-undang dah lama dicapai - merdeka dari aspek mentaliti dan ekonomi, jalan yang perlu dilalui masih jauh. Kadang-kadang aku rasa ada betulnya ungkapan "sistem yang ada telah lama korup, ia perlu dipecahkan dan dibina semula untuk menjadi sempurna". Tapi bila pendapat macam diutarakan, orang akan sentiasa salah faham dan menganggap itu sebagai anarki. 

Kemerdekaan pada tahun ni disambut serentak dengan Aidilfitri. Aidilfitri merupakan simbolik ganjaran hasil daripada kemenangan perjuangan menentang nafsu. Sambutan kemerdekaan pula - simbolik kemenangan menentang apa? Aku tak dapat nak beri jawapan kepada soalan tu.

2 comments:

Pei Pan said...

Perpaduan kita di peringkat elitis saya kira baik berbanding perpaduan dalam kalangan golongan bawahan. Rakyat masih banyak yang belum sedar hakikat minda/fahaman/nilai mereka di herotkan oleh pihak-pihak yang berkuasa di atas sana.

Kita bukan sahaja kehilangan nilai akal budi tetapi krisis identiti generasi Y semakin bertambah celaru dan ada yang kata generasi muda kurang nasionalisme.

Jika tidak di ubah, sampai bila-bila pun kita tetap berpecah - Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, dan seribu macam etnik lagi.

Tidak wujud bangsa Malaysia.

karl said...

tak tahu lah.

tapi aku yakin sampai aku mati pun bangsa Malaysia takkan wujud.