25 April 2011

Anjing

Sebuah masjid. Cantik, besar. Tangga diperbuat daripada marmar hitam. Di dalamnya berhawa dingin, lengkap dengan karpet lembut, hiasan dalaman saduran seni Andalusia dan Turki. Ramai orang yang suka singgah dan solat di dalam masjid tu.

Maka datanglah seekor anjing. Kehausan. Dahaga selepas penat berjalan tak menentu arah sepanjang hari. Si anjing terus berkelintar di dalam kawasan luar masjid, mencari-cari sekiranya ada barang setompok air untuk menghilangkan dahaga. 

Anjing itu dulu pernah dijaga seorang tuan yang bukan Islam, di sebuah pondok kecil di pinggir bandar. Hidup tuan anjing tu daif - makan dan minum bergantung pada jualan tin-tin aluminium yang dikutip di bawah teduhan bas, di kaki lima, di lorong gelap dan ada kalanya di tua tu perlu menyelongkar tong dan plastik sampah untuk mencari tin minuman yang terpakai. Usai menjual dan memperoleh hasil jualan, si tua pun pulang sambil disambut anjing yang juga tua, datang menjilat-jilat tapak tangan si tua itu. Si tua selalunya pulang membawa makanan, dan dia akan makan terlebih dahulu sambil diperhatikan oleh anjing miliknya. Dan sesudah tu, baki sisa makanan yang tinggal diberi kepada anjing miliknya. 

Dan setelah sekian lama umur tuan anjing pun meningkat, maka si tuan anjing pun meninggal dunia. Pada waktu pagi, selalunya si tuan akan bangun dari kerusi malasnya - tapi pagi tu si tua terus bersandar di kerusinya. Si anjing menjilat-jilat tangan tuannya, seakan cuba membangunkan tuannya. Begitulah sehari, dua hari, hinggalah hari ketiga ditakdirkan seorang lelaki yang menjadi kenalan si tua singgah di pondok usang itu. Maka atas rasa kemanusiaan, si kenalan menangis, dan menguruskan pengebumian si tua. Si anjing menyalak-nyalak memprotes ketika mayat si tua mahu dibawa pergi - tapi ia dihalau oleh mereka yang mahu menguruskan mayat si tua. Tinggallah si anjing sendirian di pondok itu.

Si anjing pun keluar meninggalkan pondok - mengembara dari satu lorong ke lorong yang lain, cuba mencari andai ada sisa makanan yang telah ditakdirkan menjadi rezeki buat menerjah tembolok. Kerap kali ia kelaparan, dan acap kali ia dihalau oleh manusia-manusia, malahan anjing-anjing jalanan yang lain. Langkah kakinya yang tak menentu membawanya ke sebuah bangunan yang tersergam indah. Kelihatan banyak kenderaan yang bercat metalik diletakkan di perkarangan masjid. Entah mengapa anjing itu tergerak untuk melangkah masuk ke perkarangan masjid.

Setelah berkelintar seketika, akhirnya si anjing terjumpa salur longkang yang berisi air. Dengan pantas ia meluru dan menjilat-jilat air dalam longkang bertatah jubin putih itu.

"Ayah, ada anjing," terdengar suara kecil.

"Cis, binatang haram. Syuhh..syuhh.." Seorang lelaki berserban, berjubah putih mengambil kayu lalu menghambat anjing tua yang cuba menghilangkan dahaga.

Si anjing tua terperanjat, lalu melompat ke arah aspal. Diperhatinya lelaki berpakaian putih yang menyergahnya tadi. Dahaganya belum hilang. Si anjing terus mengharap agar si lelaki tadi beredar, agar dapat ia menghilangkan hausnya, cukuplah barang sejilat dua lagi.

Lelaki berjubah putih kemudian membaling kayu ke arahnya, langsung terkena atas badan anjing tua itu. Perit, pedih dan sengal menyucuk vertebrae si anjing itu. Mengalah, si anjing berlari kecil keluar meluru pintu pagar masjid. Dengan tubuh ternyahhidrat dan haus yang belum hilang, si anjing tua akur akan hakikat kehinaannya dan kemuliaan lelaki berjubah putih yang menghalaunya.

4 comments:

Republic Aku said...

oleh itu jgn kita sangka yang berupa islam itu benar-benar berada di landasannya dan jgn kita pandang mereka yang tiada berupa islam itu hantu.

bujal X said...

putih diluar sahaja~~

Leeya said...

huhu..kesian anjing tu..

karl said...

Republic Aku: Yang Islam tetap Islam. Tapi Islam yang macam mana?

bujal X: putih, hitam, kuning, merah, biru, jingga, ungu. Kita penuh dengan warna yang pelbagai.

Leeya: Kesian juga pada laki berjubah putih tu