25 July 2010

Jangan macam tu bro

Ingatan untuk semua kaum laki macam aku

Bro, ko ingat lagi baik daripada orang lain?
Jangan macam tu bro, Allah lagi tau isi perut orang

Bro, ko ingat muda-muda boleh buat dosa, tua baru tobat?
Jangan macam tu bro, hidup mati kita tak tau bila

Bro, ko ingat ko belajar tinggi-tinggi, ko sorang je pandai, orang lain bodo?
Jangan macam tu bro, ada lagi pandai daripada ko

Bro, ko ingat ko sorang je betul?
Jangan macam tu bro, ko manusia, ada masa buat betul ada masa buat silap

Bro, ko ingat ko lah yang paling merana atas muka bumi ni?
Jangan macam tu bro, itu dugaan Allah, ramai lagi orang dapat dugaan lagi dasyat dari ko

Bro, ko ingat ko buat jahat ko boleh lepas?
Jangan macam tu bro, Allah tu Maha Adil. Tak kena kat dunia, akhirat ko kena jawab jugak

Bro, ko ingat ko loser, tak berguna?
Jangan macam tu bro, semua manusia dijadikan ada tujuan.

Bro, ko ingat bunuh diri boleh selesai masalah?
Jangan macam tu bro, takde masalah tak leh selesai, tu dugaan, bunuh diri masuk neraka woo..

Bro, ko ingat ko sorang je kuat?
Jangan macam tu bro, ramai lagi orang lagi gagah daripada ko

Bro, ko ingat sound2, marah2 orang boleh selesai masalah?
Jangan macam tu bro, slow talk, cakap baik-baik. Main kasar tak selesai masalah.

Bro, ko ingat pompuan ni barang mainan, boleh usung sana sini, boleh henjut ikut suka?
Jangan macam tu bro, ko laki, laki kena protect kaum pompuan

Bro, ko ingat hisap dadah, jadi mat rempit, lawan mak bapak boleh hilangkan masalah?
Jangan macam tu bro, ko buat jahat, nanti dapat balasan jahat

Bro, ko ingat ko boleh hidup ikut suka ko?
Jangan macam tu bro, hidup ni dah ada panduan, Allah dah bagi. Ikut panduan, kalau tak haru hidup

Bro, ko ingat takpe ke tinggal solat?
Jangan macam tu bro, nanti dalam kubur kena libas dengan malaikat ko nanti

Bro, ko ingatlah, jangan buat benda yang Allah tak suka. Hidup kadang atas, kadang bawah, dua2 ujian Allah. Dunia ni sementara je, perjalanan akhirat lagi panjang.

24 July 2010

Betapa ignorance nya mereka

KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata isu pembuangan bayi yang semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam untuk mencari punca kenapa ia berlaku.(berita harian)

Buat YB Mashitah.

Anda tahu tak berapa banyak kelab malam yang beroperasi di Kuala Lumpur, Ipoh, Penang, JB, Kuantan, Seremban?

Anda tahu berapa ramai remaja merempit, jadi bohsia dan bohjan? Anda tau tak ramai yang jahanam macam tu semuanya orang Melayu?

Anda tahu tak ada lagu berunsur seks bebas bersiaran di radio?

Anda tahu tak berapa ramai anak muda yang beercouple sejak umur sekolah rendah?

Anda tahu tak beramai ramai perempuan yg pakai tudung tapi tonjolkan dada, punggung dan sanggul?

Anda tahu tak berapa ramai anak muda yang kerja kilang, kerja kat kedai, kerja kat hypermarket yg nak kahwin tapi sering terhimpit dek kesempitan duit, sebab perbelanjaan dan gaji seimbang sekadar cukup untuk menyumbat tembolok dorang?

Anda tahu tak berapa ramai anak muda yang tak tahu mandi hadas, tak tahu cara bersolat, tak tahu baca Al-Quran walaupun dah habis sekolah menengah?

Anda tahu tak lelaki & perempuan dari dulu lagi di Chow Kit, di Lorong haji Taib, tak ubah macam ayam panggang, boleh dibeli diratah?

Anda tahu tak?

Malangnya kalau anda tahu tapi buat2 tak tahu. Atau anda tidak tahu kerana anda selama ini tak cuba nak mengambil tahu.

Malang sungguh. Percayalah. Semoga Allah mengampunkan kita di hari pembalasan kelak.

22 July 2010

Re-publish from DrMaza.com: Pelacur, Anjing Dan Kehidupan

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w
Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)
HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.
Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

APAKAH SYURGA MURAH?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

BANYAK DAN SEDIKIT

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.

TIDAK SAMPAI AJARAN

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:
“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).
Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.

INSAFI DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

Sumber: Dr Maza

Sungguh, lepas ni aku pasti aku akan melihat diri aku di dalam cermin sebagai orang lain, bukan orang yang aku sangka selama ni. Semoga Allah mengampunkan aku. Amin..

Durian



"Apa nasihat awak sebagai ahli farmasi, kepada penduduk Raub yang suka makan durian?" tanya Mr Chan Ah Loon, panel penemuduga SPA masa sesi interview 3 bulan lepas.

Terpaksa la aku senyum. Aiseh, camne lak leh keluar soalan durian ni..memang la tempat asal aku famous pasal durian, tapi medical advice pasal durian? Goreng jela..

"Tentang durian, saya akan nasihatkan mereka, boleh kalau nak makan durian, tak ada masaah tapi jangan makan terlalu banyak sebab isi durian mengandungi lemak dan gula (damn, should use carbohydrate), jadi kalau dimakan berlebihan nanti kemungkinan dapat masalah kesihatan," jawab sambil senyum.

Rasanya dalam hidup aku, masa interview tu la aku paling banyak senyum.

Semalam masa makan durian, teringat pulak pasal soalan interview tu. Hehe.

Senyumlah...

Senyumlah, kerana orang perjuangan tak boleh patah gelegar semangat - Baharuddin C.D (cerpen Di Dunia Itu)

Raihan - Senyum

Manis wajahmu kulihat di sana
Apa rahsia yang tersirat
Tapi zahirnya dapat kulihat
Mesra wajahmu dengan senyuman

Senyuman... senyuman
Senyum tanda mesra
Senyum tanda sayang
Senyumlah sedekah yang paling mudah
Senyum di waktu susah
Tanda ketabahan
Senyuman itu tanda keimanan
Senyumlah senyumlah senyumlah senyumlah

Hati yang gundah terasa senang
Bila melihat senyum hatikan tenang
Tapi senyumlah seikhlas hati
Senyuman dari hati jatuh ke hati

Senyumlah senyumlah
Senyumlah seperti Rasulullah
Senyumnya bersinar dengan cahaya
Senyumlah kita hanya kerana Allah
Itulah senyuman bersedekah

Senyumlah senyumlah senyumlah senyumlah
Itulah sedekah yang paling mudah
Tiada terasa terhutang budi
Ikat persahabatan antara kita
Tapi senyum jangan disalah guna
Senyumlah senyumlah senyumlah senyumlah

21 July 2010

Satu

maaf, ini bukanlah terjemahan bahasa Melayu lirik lagu One - Metallica

Satu

1Malaysia

1Sudu teh gula

1batang rokok

1kilo beras

1liter minyak

1tong gas

1kapal selam

1istana

1koridor

1anak

1isteri

1cukai

1angkasawan

1bahasa

1basikal

1rumah

1imam

1mufti

1katak

1tin susu

1senyuman

1tangisan

1subsidi

1pusat serenti

1penjara pudu

1cameroon highland

1blok minyak

1...

rupanya bukanlah satu

Mengubah perangai dan sikap orang lain

Sebenarnya, aku dah banyak kali cuba nak mengubah perangai dan sikap orang lain, ke arah yang lebik baik. (Baik yang berdasarkan pengalaman dan pengetahuan aku eg hormat ibu bapa. rajin belajar, jangan ponteng sekolah, jangan cari gaduh, usaha rajin-rajin dsbnya).

Dan sepanjang pengalaman aku, aku tak pernah berjaya. Sekali pun.

Mungkin approach aku salah. Ye ke? Cara slow talk aku dah buat, cara hard talk aku dah buat, pakai kudrat pun pernah. Tunjuk contoh pun pernah. Tapi mungkin semua cara yang aku buat tu salah. Tak mustahil. Mana boleh aku je betul memanjang, kan?

Mungkin sebab memang dah takdir dari azali lagi, manusia tak mampu nak ubah perangai orang lain. Mungkin juga. Dalam banyak-banyak Rasul dan Nabi yang aku pernah belajar tentang mukjizat mereka, ada yang boleh hidupkan orang mati. Ada yang boleh belah laut, belah bulan. Ada tak terbakar dimakan dek api. Tapi seorang pun takde mukjizat (sila betulkan kalau betul ada) yang berkebolehan boleh ubah perangai manusia daripada jahat kepada baik, atau dari baik kepada jahat. Para Rasul jadi utusan untuk sampaikan kebenaran. Lepas tu ada orang yang ikut, dan ada orang yang tak ikut. Begitu jugak kalau kau kerja doktor. Kau boleh bagi ubat, bagi nasihat kat pesakit, tpi kalau pesakit ambik ubat kat hospital @ klinik pastu campak ubat sebungkus tu masuk tong sampah, apa kau boleh buat? Kau kerja cikgu, hari2 kau bagi nasihat yg sama kat anak murid, belajar rajin2, biar senang masuk univ, boleh pilih kursus yang senang dapat kerja, biar nanti bila berniaga orang susah nak tipu kau..tapi kalau anak murid tetap join pekida, double seven, tunjuk lagak jadi samseng kampung, ape kau boleh buat?

Aku rasa dah masa untuk aku berhenti untuk ubah perangai orang lain. Serius. Kalau nak tunjukkan jalan untuk jadi orang yang baik, itu aku boleh buat lagi. Tapi nak ubah perangai orang pada aku memang mustahil. Kalau nak jadi suami yang baik, kena ajar anak-anak dan isteri-isteri  pasal didikan agama, kena jadi orang yang beragama, kena jaga kebajikan ahli keluarga. kalau nak jadi cikgu yang baik, kena ikhlaskan hati mengajar anak muris, kena ingatkan diri mengajar, mendidik ni juga ibadah, begitu juga kerjaya2 lain. Aku boleh bagitau dan smapaikan jalan macam mana nak jadi baik, sekadar pengetahuan aku. Begitu jugak kalau kau nak jadi jahat. Aku boleh tunjukkan kat jalan mana kau nak jadi jahat. kalau nak jadi samseng, bukan kat kampung atau pekan kecik, pergi Petaling Street @ Lorong Hj Taib. Jadi drug pusher, atau perompak yang rompak sampai rm3-4 juta, kalau mati kena tembak atau gantung pun puas hati, berhasil jugak merasa harta haram berjuta-juta ringgit, sebelum kena balun dalam neraka nanti. Tapi nak mengubah perangai dan sikap orang lain, cara berfikir orang lain, aku rasa dah masa aku give up. Tolong doakan orang berubah? Yang tu pun aku boleh lagi nak buat. Makbul tak makbul tu lain cerita la kan.

Melampau ke kalau aku dah start berfikir macam ni? Sebab berdasarkan apa yang aku alami & ilmu yang aku ada masa menaip post ni, inilah kesimpulan aku.

20 July 2010

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. 

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui. 
 
Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/hujah
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi. 
Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram. 
Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja. 
Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

(i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan; 

(ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

(iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

(vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

(v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine. 

Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen. 

Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

Sumber:  e-Fatwa (Portal Rasmi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia)

Kisah dua ekor katak



* Credit kepada Kartunis Sireh, di atas kartun beliau dalam komik Apo yg mengingatkan aku balik pada cerita ni.

Pada satu masa dulu, ada dua ekor katak yang berkawan baik. Mereka selalu menghabiskan masa mencari makanan di kawasan kebun getah.

Satu hari, kedua-dua katak ni berlompat-lompatan di laluan yang selalu dilalui oleh penoreh getah. Sedang asyik berlompat, berlompat dan berlompat, mereka tak sedar bahaya di hadapan. Dengan secara tak sengaja, kedua-dua ekor katak tersebut terlompat lalu masuk ke dalam tong susu getah. Tong tersebut berisi susu getah yang dah separuh beku, tapi masih ada susu cair yang belum beku yang menenggelamkan separuh daripada badan katak-katak tersebut.

Sedang terperangkap dalam tong tersebut, salah seekor katak berterusan mengeluh dan menangis, "Matilah kita, tong ni besar, kita tak boleh nak melompat keluar," Katak tersebut terus menerus menangis, membiarkan badannya tenggelam dalam susu cair tersebut.

Rakannya pula berterusan mencuba melompat keluar daripada tong tersebut, tapi tak berjaya. Dia berkata, "Aku tak nak mati dalam tong ni, aku akan cuba juga lompat keluar," Katak tersebut berterusan cuba melompat keluar. Tak berhenti-henti.

Masa berlalu. Susu getah yang cair tu perlahan-lahan membeku. Katak yang sekadar duduk berdiam dan menangis tadi akhirnya perlahan-lahan mati.

Katak yang satu lagi, yang berterusan melompat tak berhenti-henti tadi, melihat bangkai kawannya terbenam di permukaan getah yang dah membeku. Akhirnya, dia mendapat satu idea. Katak yang masih hidup tersebut kemudian naik ke atas bangkai kawannya, lalu melompat keluar. Akhirnya katak yang berusaha untuk hidup tu berjaya meneruskan hidup.

(Ayat dalam perenggan kat bawah aku tiru bulat-bulat ayat kartunis Sireh, aku rasa ayat yang dia already well said)

Di dalam kehidupan kita sehari-hari... kadang-kadang kita tersilap langkah dan terperangkap di dalam satu keadaan yang sangat sukar. Mungkin disebabkan kita terleka akibat kesilapan, teraniaya, dianiaya, atau keadaan yang memaksa... Itu semua adalah hikmah Tuhan untuk menguji. Seseorang yang cekal akan berusaha lebih kuat untuk berjaya dalam ujian... menewaskan masalah. Yang lemah akan putus asa, sama ada hidup tak berdaya atau mati sia-sia...ada orang memilih untuk putus asa...ada orang tiada teraniaya...tapi selagi kita berusaha...pasti ada jalan untuk berjaya...

19 July 2010

Mazhab penyokong parti politik di atas muka bumi Malaysia

Aku dah berjanji kat Berita Harian Online yang aku takkan bagi sebarang komen pasal hal politik dah. Sepanjang pemerhatian aku semenjak aku kenal politik 12 tahun dulu (bermula sejak isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri), maka inilah kesimpulan aku pasal mazhab-mazhab penyokong parti politik yang wujud di atas muka bumi Malaysia ni.

Mazhab pertama. Golongan yang menyokong dengan sepenuh hati & membabi buta apa-apa je tindakan parti yang mereka sokong. Kalau pemimpin mereka kata negara akan bankrap akibat subsidi berlebihan dan subsidi perlu ditarik, mereka percaya, walaupun subsidi tu mungkin duit mereka sendiri daripada segala jenis cukai (cukai perkhidmatan, cukai jalan, cukai pintu, cukai tanah, cukai pendapatan) dan tujuan subsidi tu untuk meringankan beban mereka. Kalau Tok Guru mereka dikritik sebab melantik menantunya sebagai orang besar dalam perbadanan negeri, mereka berhujah, tak mengapa asalkan layak, dan bila pemimpin yang mereka tak suka melantik menantu mereka jadi ketua pemuda, mereka akan tuduh pemimpin yang mereka tak suka tu sebagai orang yang mengamalkan kronisme & nepotisme. Kalau pemimpin mereka ajak pergi berdemo, mereka akan turun berdemo walaupun mereka boleh berniaga/bekerja untuk cari nafkah semasa berdemo tu. Sanggup bergaduh sesama kawan, jiran dan keluarga kerana fahaman politik masing-masing sedangkan pemimpin politik mereka yang boleh duduk semeja bergurau senda walaupun berlainan fahaman parti.

Mazhab kedua. Golongan yang menyokong orang yang membawa keuntungan kepada mereka. Bila dijanjikan tanah, lesen, diberikan wang, mereka akan ambil, lalu mereka pun sokong orang yang memberi segala benda kepada mereka. Bila orang yang memberi mereka makan dah tak mampu bagi mereka apa yang mereka nak, mereka pun berpaling tadah.

Mazhab ketiga. Golongan yang pandai main tarik tali. Bila mereka rasa tak ada kemajuan di tempat mereka, mereka sokong parti lain. Kemudian bila ahli politik yang dah hilang sokongan menggunakan kuasa sogokan pembangunan, royalti dan sebagainya, mereka beri semula kuasa kepada ahli politik tersebut. Golongan ni pandai memanipulasi kuasa mengundi mereka untuk mendapatkan kesenangan.

Mazhab keempat. Golongan yang menyokong mereka yang sama warna kulit dengan mereka walaupun berlainan parti. Tak kisah lah apa pun lambang yang dipakai oleh ahli politik tersebut, asalkan sama warna kulit, yang tu la yang mereka sokong.

Mazhab kelima. Golongan yang menyokong calon berdasarkan kebolehan mereka melakukan kerja/mewakili kawasan mereka, bukan berdasarkan parti atau warna kulit. Golongan ni amatlah susah untuk didapati.

Jadi, itulah sedikit sebanyak yang aku dapat perhatikan berdasarkan akal politik aku yang mentah ni. Korang pulak macam mana?

UFO, makhluk asing dan extra-terrestial - wujud ke tak?



Dah banyak pengkaji UFO, makhluk asing dan sebagainya kat atas muka bumi ni.

Semua tertanya-tanya, adakah hidupan kat alam semesta ni, hanya wujud kat atas bumi? Ada lagi tak makhluk yang macam manusia, yang ada tamadun yang lebih hebat wujud jauh melangkau Bima Sakti

Lama jugak aku follow teori-teori kewujudan extra terrestial ni. Sampailah aku berjumpa dengan ayat Al-Quran ni.

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." - Surah az-Zariyat: ayat 56.

Jadi kesimpulan aku: Kebarangkalian wujudnya makhluk lain selain di Bumi, adalah amat tipis. Dan kalau mereka wujud pun, mungkin wujud sebagai makhluk tak berakal macam plankton, kuda laut ataupun sotong kurita.

Kenapa? Sebab jin dan manusia cuma wujud di atas muka bumi. Dua makhluk ni disyariatkan untuk mengabdikan diri kepada Allah, begitu juga malaikat. Rasulullah S.A.W diutus sebagai Rasul terakhir, jadi kalaulah wujud manusia/makhluk berakal yang lain di tempat lain selain di bumi, mesti Rasulullah dah diutus untuk berdakwah kepada dorang, kan?
 
Mungkin orang bukan Islam rasa kepercayaan aku ni rapuh, sebab bergantung kepada teologi, tapi sebagai Muslim inilah keyakinan aku.

Kalaupun UFO, makhluk asing dan segalanya tu tak wujud sekalipun, tak salah kita menerokai alam semesta ni. Sebab ilmu Allah tu luas, dan segala kejadian di alam semesta ni tak lain tak bukan untuk membuka minda kita kepada keajaiban ciptaan Allah. Malah saintis Barat mengkaji corak-corak bintang dan galaksi dengan tujuan untuk memahami penciptaan alam ni. Orang Islam pun patut belajar dan berebut mencari ilmu yang sama, kerana dengan ilmu lah kita akan mengetahui hakikat kekuasaan Allah dan kebenaran Islam.


 

Ringkasan sejarah: Farmasi




Farmasi merupakan salah satu cabang kerjaya dalam dunia moden hari ni. Kerjaya ni dikenali sebagai salah satu kerjaya profesional dalam bidang kesihatan selain daripada doktor, doktor gigi,doktor haiwan, jururawat, optometrist, fisioterapi dan sebagainya. Farmasi dari segi definisinya, bermaksud kajian mengenai ubatan-ubatan, yang merangkumi jenis, kesan, kegunaan dan sifat kimia ubat-ubatan.

Sejarah awal

Sejarah awal farmasi bermula seawal tamadun Sumeria (tamadun terawal di dunia), di mana masyarakat tamadun tersebut dah mula mengumpulkan maklumat preskripsi (arahan untuk mengeluarkan ubat-ubatan) ubat-ubatan dengan merekodkannya di atas tablet tanah liat. Dalam tamadun China pula, kitab perubatan tertua dalam tamadun China, Shennong Bencao Jing dah wujud sejak zaman Dinasti Han. Manakala semasa pemerintahan Era Asuka dan Era Nara di Jepun, ahli farmasi diletakkan pada hierarki lebih tinggi daripada tabib/doktor yang merawat Maharaja pada ketika tu. Pada zaman pemerintahan Abbasiyah pada tahun 754 Masihi, gedung ubat atau farmasi runcit pertama diwujudkan di Baghdad.

Perkembangan ilmu

Perkembangan ilmu farmasi sebenarnya seiring dengan perkembangan ilmu botani/tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan ubat-ubatan pada masa lampau diolah daripada pucuk, akar dan bahagian-bahagian lain daripada tumbuhan. Ilmuwan Islam seperti Al-Razi, Al-Biruni dan Ibnu Sina banyak menyumbang ke arah perkembangan dan pertambahan ilmu berkaitan dengan ubat-ubatan. Begitu juga dengan ilmuwan Greek seperti Pedanius Dioscorides yang mengarang kitab De Materia Medica pada abad pertama Masihi. Hingga sekarang, ilmu farmasi masih lagi berkembang dengan pelbagai kajian mengenai ubat-ubatan baru, yang diekstrak daripada tumbuhan ataupun diolah melalui proses kimia.

Pemisahan amalan perubatan dan farmasi

Secara ringkasnya, pada zaman dulu, doktor/tabib merupakan orang yang bertanggungjawab melakukan diagnosis (mengenalpasti jenis penyakit yang dihidapi pesakit) dan dalam masa yang sama menentukan ubat-ubatan yang perlu diberikan untuk merawat penyakit. Namun bila masa berlalu, tugas doktor/tabib bertambah dengan pertambahan pelbagai jenis penyakit dan ubat-ubatan, maka wujudlah satu profession yang dikenali sebagai ahli farmasi/pharmacist. Ahli farmasi bertanggungjawab mengenalpasti ubat-ubatan yang sesuai untuk sesuatu penyakit, mengetahui bahan kimia aktif di dalam sesuatu formulasi ubat-ubatan, mengenalpasti kesan-kesan sampingan yang mungkin timbul akibat penggunaan ubat-ubatan, dan pelbagai lagi tugas-tugas yang berkaitan dengan penggunaan ubat ke atas pesakit (Doktor pula menumpukan tugas terhadap diagnosis, menentukan jenis rawatan yang sesuai dan melakukan pembedahan jika perlu).

Berkenaan pemisahan tugas antara doktor dan ahli farmasi ni, sebenarnya dah berlaku lebih 800 tahun dulu, semasa Maharaja Rome, Frederic II mengeluarkan dikri yang memerintahkan supaya tugas antara ahli farmasi dan doktor dipisahkan. Begitu juga Ibnu Sina, yang menganjurkan perkara tersebut supaya bidang perubatan dan farmakologi (kajian mengenai kesan-kesan ubat) dipisahkan.

Farmasi dan akademik

Cukup pasal sejarah, sekarang kita cerita pasal akademik pulak. Dalam bidang farmasi, terdapat beberapa peringkat pembelajaran dalam bidang akademik untuk membolehkan seseorang berkecimpung dalam bidang ni. Peringkat pengajian paling rendah ialah Diploma Farmasi. Diploma Farmasi merupakan program pengajian selama 3 tahun, bila seseorang berjaya mendapatkan diploma tersebut beliau berhak untuk dilantik/bekerja sebagai Penolong Pegawai Farmasi/Juruteknologi Farmaseutikal di mana-mana premis farmasi atau hospital. Tugas Penolong Pegawai Farmasi ni, ialah membantu Pegawai Farmasi melakukan tugas-tugas seperti membancuh formulasi ubat-ubatan, melakukan proses packing ubat-ubatan dan tugas-tugas lain seperti melakukan dilution ubat-ubatan. Bagi peringkat pra-siswazah (peringkat pengajian sebelum pengajian lanjutan ke peringkat Master dan Doktor Falsafah), sehingga sekarang terdapat tiga jenis ijazah bagi melayakkan seseorang menjawat jawatan/bergelar ahli farmasi iaitu:

i. Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) / Bachelor of Pharmacy (Honours)

Sarjana Muda Farmasi merupakan program prasiswazah yang kebiasaannya mengambil masa selama minimum 4 tahun pengajian (terdapat universiti yang mensyaratkan sekadar minimum 3 tahun pengajian). Kebanyakan universiti di Malaysia dan di semua IPTA di Malaysia menawarkan program ni. Ada universiti meletakkan syarat supaya graduan melakukan projek tahun akhir/penulisan ilmiah/thesis sebagai syarat bergraduat, tetapi ada universiti yang tidak meletakkan syarat tersebut

ii. Master of Pharmacy

Master of Pharmacy juga merupakan program prasiswazah yang mengambil masa selama 4 tahun, dan semua program Master of Pharmacy mensyaratkan penulisan ilmiah/thesis sebagai syarat bergraduat. Sistem pengajian pada tahun akhir distruktur agar sama tahap dengan pengajian pada peringkat pasca siswazah bagi membolehkan pelajar dianugerahkan dengan ijazah Master. Terdapat perbezaan antara Master of Pharmacy dan program Master (program ijazah lanjutan selama 1.5 - 2 tahun yang boleh diikuti oleh pemegang ijazah sarjana muda), iaitu tempoh pengajian - Master of Pharmacy > 4 tahun belajar, kemudian dianugerahkan Master manakala Master of Science/Business/etc > 1.5 - 2 tahun belajar, selepas memperoleh ijazah sarjana muda pertama.

iii Doctor of Pharmacy

Doctor of Pharmacy merupakan program prasiswazah yang mengambil masa selama 6 tahun, dan program ini menekankan ke arah penghasilan ahli farmasi klinikal (ahli farmasi yang bertugas hampir kesemuanya di hospital). Graduan yang mempunyai kelayakan ini juga layak untuk dilantik sebagai ahli farmasi, walaupun begitu, title Dr tidak diberi pada pangkal nama sebagaimana lulusan doktor perubatan, pergigian atau veterinar.

17 July 2010

Globalisasi dan arena muzik tanah air

Macam mana keadaan industri muzik negara sekarang?

Boleh dikatakan suam-suam kuku la, tu la saya punya pendapat. Kita masih ada artis / band aktif yang berbakat macam Bunkface, Hujan, OAG, Anna Raffali, Yuna dan lain-lain.

Tapi aku gerenti, muzik scene (especially mainstream) kat Malaysia tak segempak zaman kemunculan Search, Wings, atau sewaktu Cromok diperkenalkan, atau semasa Butterfingers, The Pilgrims hatta semasa kebangkitan rock kapak seperti XPDC, Kamikaze mahupun ketika rock leleh macam Data, Lestari, Ukays, Spring dan sebagainya kerap berkumandang di corong radio.

Kenapa jadi suam-suam kuku? Kenapa tak sehangat dulu?

Ada banyak faktor sebenarnya. Cetak rompak merupakan salah satu faktor, dan web hosting untuk free download seperti 4shared, Mediafire dan Megaupload memburukkan keadaan, tapi kalau nak diikutkan cetak rompak merupakan masalah klasik yang dihadapi oleh penggiat seni. Dari zaman awal 80-an lagi benda ni dah jadi masalah, cuma tak sebesar zaman sekarang. Bila terpaksa bergelut dengan masalah orang nak benda free je, jadi karyawan pun mula demotivated dan rasa tak berbaloi untuk hasilkan karya yang berkualiti.

Walau macam manapun, pada aku perkara yang menjadi cabaran paling besar buat artis kat Malaysia ialah globalisasi. Globalisasi, global village juga bukan perkara baru, Alfin Toffler dah keluarkan teori sejak 60-an lagi, so? Memang lah, tapi fenomena globalization ni mula mendadak naik semenjak internet berkembang biak di Malaysia ni. Bermula dengan Jaring, kemudian TMNet Streamyx dan skang Broadband, rakyat Malaysia dan juga peminat muzik sekarang dah berjaya mendapatkan akses kepada pelbagai karya-karya berkualiti daripada serata dunia. Kalau dulu zaman ada radio RTM balik-balik lagu Melayu jela keluar, pastu Astro pun takde lagi, maka peminat merasakan artis yang dorang nampak kat depan mata dorang tu kira habis hebatlah. Huii hebatnya Search, hebatnya Wings, hebatnya Sudirman..jom ramai-ramai beli tiket konsert dorang. Itu dulu. Zaman sekarang, kita ada Faizal Tahir, kita ada Tomok..tapi dunia ada Maher Zain, dunia ada Justin Bieber (betul ke tak aku eja, lantak la ingat aku bapok ke nak follow@tau nama budak tu), ada Shakira yang terer goyang punggung cam Inul. Akses kepada pilihan hiburan tu dah meluas, jadi bila orang rasa menyampah dengan muzik@vokal@rambut@tudung@facebook seseorang artis tu, maka peminat boleh pilih artis lain. Lagipun sape boleh halang, orang nak dengar lagu indon ke, british ke, hatta lagu ciptaan orang Tibet sekalipun..sebab dunia makin terbuka.

Bila berlaku persaingan semacam ni, satu jela jawapannya - the best will win. Kalau lagu local artis best, peminat tetap akan follow. Dorang akan sanggup berhabis duit beli tiket, album hatta sabun cap muka artis tu kalau dorang terhibur. Kalau tak, nyanyi lah kau sorang-sorang atas stage. Sebab globalisasi tak dapat dihentikan, tapi kualiti karya tu boleh diubah.

p/s Aku layan rock kapak..hehe..bawah ni lagu kumpulan Wings, teringat lagi dengar lagu ni time tunggu bas masa nak balik kampung kat stesen bas Temerloh, 6-7 tahun lepas, time sekolah asrama dulu. Haha

16 July 2010

Forrest Gump dan falsafah kehidupan



Ada sesiapa tak pernah menonton filem ni?

Secara jujur first time aku tengok filem ni beberapa tahun lalu masa ditayangkan di TV3. Mula-mula aku menjangkakan filem ni sebuah filem-drama yang bosan. Tapi waktu tu tergerak nak tengok sampai habis, dan akhirnya, jangkaan aku meleset. Filem ni amat berbaloi ditonton.

Filem ni berkisar tentang Forrest Gump, seorang veteran Perang Vietnam yang bercerita tentang kisah hidupnya, bermula daripada kasut pertama yang dimilikinya, kemudian bagaimana dia kenal erti persahabatan dan percintaan, kerjaya yang diceburi secara accidental hinggalah kisah bagaimana akhirnya beliau berjaya menjadi usahawan yang berjaya.

Menariknya tentang filem ni adalah dua watak utamanya, Forrest Gump dan Jenny. Forrest Gump, seorang yang lurus bendul, mengikut saja arahan daripada orang lain tanpa berfikir terlalu banyak. Jenny, seorang kanak-kanak yang brilliant pada awal usia, menjadi mangsa penderaan seks ayahnya, membesar sebagai remaja yang punya cita-cita untuk mengejar populariti namun akhirnya terjebak dalam arus hippie. Lakon layar filem ini menggarap pertembungan antara dua spektrum yang bertentangan. Dari satu sudut, Forrest sebagai manusia yang lurus bendul, tak terlalu memikirkan akan cita-cita, setia pada janji dan tak berputus asa berjaya melakar kehidupan yang indah. Malah Forrest berjaya menukarkan manusia lain yang hampir putus harapan, iaitu Lt Dan Taylor berubah menjadi seorang yang optimis lalu berjaya dalam hidup. Manakala daripada spektrum yang berbeza, Jenny yang hilang punca dalam cita-cita yang dikejarnya, hidup tak keruan dan mengambil masa yang lama sebelum menemui pintu kebahagiaan.

Aku cukup tertarik masa babak Forrest bercerita kepada Jenny tentang bagaimana dia melihat keindahan bintang di langit saat bertarung di Vietnam dan tasik jernih berlatarkan gunung ketika beliau mengembara sekeliling Amerika. Bagaimana sebenarnya wujud keindahan dalam kehidupan ni, walaupun di mata kita cuma terbayang kepayahan. Dan aku sendiri cuba nak berbuat macam apa yang dilakukan oleh Forrest, tapi setakat ni belum berhasil.

Dan sememangnya, hidup ni taklah sukar kalau kita menghilir mengikut arus. Cara Forrest berfikir, yang jarang memikirkan sesuatu secara kompleks nampaknya berhasil untuk dia. Cuma aku terfikir, adakah cara yang sama boleh diaplikasi untuk kehidupan kita, kerana Forrest Gump memang ada kelemahan - kehidupannya dicipta manusia. Sedangkan kehidupan manusia diciptakan oleh Maha Esa. Atau pun mungkin benar cara dia berfikir boleh dipraktikkan siapa saja, cuma masalahnya, mungkin kita tak mempunyai keberanian untuk berfikir semudah tu.

Apa-apa pun, filem ni memang best. Banyak yang boleh dipelajari. Kalau tak pernah menonton lagi, try la cari.

15 July 2010

Diselaraskan? Hahaha

Petrol, diesel, gas, gula naik harga.

Naik RM0.05 je. Apa nak bising, kan? Bukan naik banyak pun.

Baiklah, aku nak tulis style Che Det  la.

1. Kerajaan patut mengumumkan berapa jumlah penjimatan subsidi hasil daripada kenaikan bahan api, gas dan gula kali ni.

2. Pihak kerajaan juga harus memantau kenaikan harga barang hasil tindak balas berantai akibat kenaikan harga komoditi-komoditi sensitif tersebut.

3. Umum telah mengetahui, kenaikan harga bahan api, gas dan gula akan dijadikan alasan oleh para peniaga untuk menaikkan harga barang seperti yang telah terjadi sebelum ini.

4. Tindakan tidak popular ini akan mendatangkan kesan ke atas populariti parti pemerintah sekarang.

5. Rakyat juga akan mempersoalkan mengapa gaji menteri tidak dipotong dan mengapa insentif masih diberi kepada pelabur asing sedangkan dalam masa yang sama, rakyat bakal bergelut dengan inflasi tidak lama lagi.

6. Slogan "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan" dilihat tidak selari dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

7. Penarikan subsidi dirasionalkan dengan tujuan untuk membangunkan negara. Walaubagaimanapun, masih banyak infrastruktur dan kemudahan negara masih lagi belum mengalami transformasi yang ketara seperti sistem pengangkutan awam yang tidak menyeluruh dan kurang cekap, malah akses kepada bekalan asas seperti air bersih dan elektrik masih lagi terbatas di kalangan rakyat marhaen.

8. Sekiranya pihak kerajaan berasakan dana kewangan dalam negara tidak mencukupi untuk menampung kos pembangunan negara, sepatutnya pembangunan dalam negara diperlahankan dan tenaga dikerahkan untuk mencari sumber-sumber kewangan/pelaburan alternatif, dan bukannya dengan cara meletakkan beban terhadap rakyat.

9. Kenaikan komoditi-komoditi tersebut pasti akan mendatangkan kesan terhadap PRU 13 yang khabarnya bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Sorry, this is my accent

Masa kecik-kecik dulu, aku beranggapan English ni susah sebab nak sebut perkataan2 dia payah. Kadang-kadang bunyi dah dekat2 tapi maksud lain bila ejaan lain.

Tak percaya? Tengok video ni. Hehe

14 July 2010

Mati

Takde sape pun tahu bila kita akan mati. Mati termaktub sebagai rahsia alam ghaib yg tak diketahui siapa-siapa pun.

Ada orang takut mati. Takut meninggalkan keluarga, orang yang tersayang, kawan-kawan, harta dan keseronokan dunia. mungkin jugak sebab kerana tahu mereka tak bersedia.

Ada yang tak gentar dengan kematian. Bagi mereka kematian sebahagian daripada proses yang bakal dilalui selepas hidup. Ada jugak sebab kematian merupakan sebahagian risiko kerjaya mereka.

Tak kiralah sama ada takut @ berani utk berdepan dengan kematian, setiap manusia akan merasai detik-detik tersebut. Manusia tak dijadikan dengan sia-sia, tempoh jangka masa antara kelahiran dan kematian merupakan satu anugerah dan dalam masa yg sama merupakan ujian yang diberikan Allah supaya kita berusaha mengumpul bekalan sebelum dipanggil menghadap-Nya.

Aku berharap sungguh, sebelum sampai ajal aku, biarlah waktu tu bekalan aku dah cukup, tanggungjawab dah terlaksana, dan biarlah mati tu dalam iman (bak kata P Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok). Dan, harap2 biarlah mati serta-merta tanpa nazak sampai berbulan-bulan.

Sesungguhnya mengingati mati tu akan menjadikan kita berhat-hati dengan perbuatan kita. Imam Al-Ghazali sendiri menyatakan,yang paling ringan adalah meninggalkan solat, yang paling berat adalah amanah, yang paling jauh adalah masa yang ditinggalkan dan yang paling dekat dengan manusia adalah kematian.

Kat bawah ni lagu Alam Barzakh daripada kumpulan Wings. Hayatilah lirik lagu tersebut, dan beringatlah dengan kematian untuk menginsafkan diri kita

13 July 2010

Peralihan hidup buat yang kesekian kali

Tengah hari tadi offer letter perlantikan sebagai Pegawai Farmasi U41 sampai ke tangan aku.

Sepanjang 4 tahun ni aku kerap bertanya pada diri aku sendiri, betul ke tidak pilihan aku dulu. Betul ke nak belajar dalam bidang ni, sedangkan aku tak tau apa2 langsung pasal bidang yang aku nak masuk ni. Tapi mengenangkan risiko takut kena lelong, takpe, pasrah jela, walaupun mengecewakan hati orang tua aku.

Sekarang aku akan beralih dari zaman belajar secara formal ke alam pekerjaan. Semasa tahun akhir dulu aku dah dapat gambaran macam mana suasana pekerjaaan yang mungkin dihadapi tak lama lagi, tapi gambaran tersebut tak semestinya coherent dengan apa yang aku akan alami nanti. Fikir balik, perkara ni nanti di luar kawalan kita : apa expectations subordinates & upper level management, penerimaan colleagues yang lain..jadi tak perlu la aku fikir sebab apa yang aku perlu buat, accept it as it comes.

Dalam apa-apa bidang kerjaya pun ada pro n cons, dan apa yang penting macam mana nak handle & adapt dengan keadaan. Harap-harap aku boleh suit dengan working environment secepat mungkin. Dan lebih penting lagi, aku kena buktikan pada mak terutama sekali, aku boleh berjaya jugak dengan jalan yang aku pilih ni. Aku tak dapat penuhi harapan emak tapi aku akan cuba sedaya upaya untuk prove myself.

Dalam keadaan ramai yang bergembira sebab dah tamat belajar, dah terima tawaran kerja, ada lagi kawan2 yang delay, belum terima surat tawaran sebab terpaksa ambil exam semula. Ethics n forensic (nama cam gempak, letak jela Pharmacy Law kan senang) subjek 1 jam kredit, tapi berpuluh orang kawan satu batch aku terpaksa re-seat paper tu. Alhamdulillah ramai dah lulus tapi aku masih terkilan sebab ada lagi yang masih digagalkan lepas ambik supp papers. Mungkin teknik menjawab soalan dorang salah, tapi dengan ambik semula paper tu pun dah jadi hukuman pada dorang. Mungkin dari segi empirical logik dorang patut digagalkan, tapi..tah la kenapa aku rasa macam strict sangat paper tu ditanda. Aku harap management berlembut hati la tuk lepaskan je dorang, repeat one year of study semata-mata sebab 1 cred hour paper tersangatlah lame, memang sangat tak boleh diterima lalu pada aku.

Walau apa pun status dan keadaan semua orang, aku berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk semua. Beralih kehidupan kepada suasana yang baru, cabaran baru bermaksud otak yang dah beku ni kena dicairkan balik.

12 July 2010

Hidup ni macam roda kejap turun kejap naik

Kesusahan, kesenangan, kesakitan, kegembiraan, kekayaan, kemiskinan..tu semua dugaan sementara hidup kat atas dunia. Ujian Allah kepada hamba-hamba ciptaan Nya

Teringat pesanan Ustaz Ismail Kamus, kita ni, kalau dah takdir mati, biar mati jela senang. Lebih baik menderita daripada syirik kepada Allah. Biar sakit menderita 50-60 tahun kat atas dunia, daripada syirik kepada Allah sebab balasan syirik kepada Allah kekal selamanya dalam neraka. Nauzubillah.

Bulan Julai ni kurang sangat update blog. Cam biasa, banyak faktor - tapi kebiasaannya sebab malas, dan takde bahan nak diulas.

Tadi baru je terima surat tawaran perlantikan kerja. Alhamdulillah. Cuma tak tau posting kat mana lagi, sebab kementerian kesihatan belum hantar surat posting/arahan lapor diri.

Doakan yang terbaik untuk aku dan kita semua, amin..

08 July 2010

uhh..

Dua ekor arnab aku jadi bangkai hari ni.

And it was my fault.

Deeply depressed right now.

~sigh~

Sajak buat Paul



Buat Paul (Makhluk Kecil Tak Bertulang)

asal mu dari lembah dataran biru
lahir mu tak bertulang
kau dikerumun mereka
yang menanti kononnya firasat mu
sedang engkau sedar
engkau bukan wali
engkau tak punya mukjizat
bukan kasyaf kurnia Maha Esa

sudah tertulis takdir mu
mereka berkata engkau menjangka
sedang engkau tau
itu Tuhan punya kuasa

kalahlah akhirnya progeni sang tukang besi
pada penakluk Al-Andalus
di medan piala dunia
bagaimanakah nasib mu Paul
tercincangkah tentakel mu nanti
adakah bakal bertemu kicap
atau bersalut tepung
akan berendamkah jasad mu dalam minyak panas
oh Paul
nasib mu kini
di tangan yang Maha Kuasa

06 July 2010

Selain Palestin...

Alhamdulillah, umat Islam kat Malaysia ni boleh dikatakan setiap tahun teringatkan nasib rakyat Palestin, terutamanya umat Islam di sana yang setiap hari ditindas rejim Zionis.

Aku rasa kagum dengan keimanan sesetengah umat Islam Palestin. Pernah tersiar dalam tv, dokumentari berkenaaan Palestin. Sekelompok pemuda duduk mengelilingi api, memanaskan badan di sebalik latar bangunan yang musnah akibat serangan tentera israel. Lelaki2 yg memanaskan badan tersebut berbual sesama mereka, antara perkataan yang terkeluar daripada mulut salah sorang dari mereka,

"Tak mengapa, Allah akan menggantikan semua yang hilang dan musnah,"

Dalam keadaan payah diserang tentera rejim zionis mereka masih meletakkan keyakinan kepada Allah.

Selain mengingati umat Islam yg saban hari ditindas di Palestin, sama-sama lah kita doakan kesejahteraan umat-umat Islam yang lain di

Afghanistan & Iraq - yang masih dicengkam oleh USA dan sekutu laknatullahnya
Selatan Thai
Chechnya
Selatan Filipina
Bosnia-Herzegovina
dan jugak Malaysia - sebab ramai antara kita dah semakin jauh tersasar daripada landasan Islam.

Insya Allah.

04 July 2010

Review video: Jamming Project

Lantaran ketiadaan demo,LP,album terkini maka aku memilih untuk review video jamming oleh sekumpulan pemuzik (mungkin lebih tepat jamming band kot) yang mengupload video mereka ke dalam Youtube - Jamming Project.

Jamming Project - sebenarnya aku pun tak pasti sama ada ni nama rasmi band ni @ tak, tapi brader yg upload video-video jamming mereka turut menamakan channel youtube miliknya sebagai Jamming Project. Dianggotai oleh:

Pel-bass,
Saiful-drum,
Muzam-lead guitar,
Zam-guitar & vocal
Zahir - vocal (tapi brader ni nyanyi dalam masa session cover song Meniti Titian Usang, so tak sure anggota tetap @ penyanyi jemputan je)

Berlatar belakang lokasi jamming di studio milik penyanyi Sheila Majid, Akarkarya Studio, PJ, terdapat lima buah video jamming cover song dimuatkan dalam channel youtube mereka -Ranggi Metropolis , Alam Barzakh, Tiada Lagi Aku, Penunggu & Meniti Titian Usang. Permainan muzik mereka pada pendapat aku memang mantap dan setaraf dengan band-band profesional di Malaysia ni. Sound mix & control yang well balanced dan berkualiti, bassist dan drummer ngam. Walaupun tak terlalu mengimprovisasi dan kadang kala macam agak meniru sound recording asal, tapi permainan gitar Muzam harus diberi pujian - jarang sangat terkucil atau terbelakang. Vocal Zam unik, mungkin tak merdu tapi sesuai dengan lagu-lagu yang dibawakan oleh mereka.

Agak mengecewakan sebab video terakhir yang diupload ialah pada 10 bulan yang lalu, tapi komen kat channel yg terakhir 2 bulan lepas. Mungkin dorang ade alasan tersendiri kot, yang menyebabkan sesi jamming dorang terhenti. Apa-apa pun bagi aku, persembahan jamming dorang merupakan antara yang terbaik pernah aku jumpa kat youtube. Hopefully bila aku check balik channel dorang, ada video-video terbaru bakal diupload oleh mereka..hehe..