05 December 2010

Legenda penjenayah Malaysia: Bentong Kali

Malam 14 Jun 1993. Sambutan hari jadi di sebuah rumah di Taman Tanming Jaya, Balakong dihadiri oleh kira-kira 40 orang tetamu, rata-rata sahabat dan jiran kepada tuan rumah tersebut. Majlis kelihatan meriah dan ceria sehinggalah kedatangan 2 orang lelaki yang tidak diundang, memasuki ruang tamu rumah tersebut. Tanpa sebarang amaran, 9 das tembakan dilepaskan oleh kedua-dua lelaki tersebut. Suasana bertukar gempar dan kecoh. Selesai melepaskan tembakan, kedua-dua lelaki tersebut beredar, meninggalkan tetamu rumah yang terbaring ajal, cedera dan ketakutan.

3 orang meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. Seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, manakala 2 lagi cedera parah. Pihak polis yang sampai ke tempat kejadian kemudiannya menemui 9 kelongsong peluru 9mm di sekitar tempat kejadian. Kira-kira enam hari sebelumnya, seorang penduduk taman tersebut menemui ajal, juga akibat ditembak mati dengan pistol. Kedua-dua kejadian tersebut dikaitkan dengan keganasan seorang samseng dan bekas ahli kongsi gelap yang bernama P. Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali. Bentong merujuk kepada tempat asal P. Kalimuthu, manakala Kali merupakan singkatan namanya. Lahir pada tahun 1961, dan merupakan anak kelapan daripada 11 adik beradik.

Penglibatan Bentong Kali dalam dunia kongsi gelap dan samseng bermula semenjak dia berumur 14 tahun, dengan menyertai kumpulan kongsi gelap Cina yang bergelar 04. Pada umur 19 tahun dia ditangkap dan dipenjarakan, sebelum dibebaskan tidak lama selepas itu. 4 tahun selepas dibebaskan, Bentong Kali kembali terjebak dalam dunia samseng melalui penyertaannya ke dalam kumpulan kongsi gelap 08, yang dianggotai oleh penjenayah-penjenayah lain yang juga berbangsa India. Pada 1985, Bentong Kali ditahan dibawah Ordinan Darurat dan dihantar ke Pulau Jerejak (Pulau Jerejak turut dikenali sebagai The Alcatraz of Malaysia, kerana pulau tersebut memiliki penjara kawalan ketat sebagaimana Penjara Alcatraz, yang turut terletak di sebuah pulau yang bernama Pulau Alcatraz di Amerika Syarikat). Pada 1987, dia dibebaskan dengan arahan kediaman terhad di Kuantan, Pahang.

Pembebasannya dimanfaatkan dengan menubuhkan sebuah lagi kumpulan jenayah yang dikenali sebagai Geng 4. Geng 4 merupakan kumpulan yang aktif dalam pengedaran dadah dan bergiat aktif di sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Pada 1990 Bentong Kali ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi terlepas daripada didakwa kerana bukti yang tidak kukuh. 

Bermula pada tahun 1991, Bentong Kali bersama beberapa pengikutnya memulakan beberapa siri serangan dan pembunuhan terhadap beberapa individu. Modus operandi yang dijalankan oleh mereka ialah, mendekat mangsa dengan motosikal sebelum melepaskan tembakan dengan pistol. Dalam satu kes, dia telah menggunakan kereta untuk melanggar dua orang anggota polis yang menaiki motosikal. Walaubagaimanapun kedua-dua anggota polis tersebut hanya cedera, malah sempat melepaskan tembakan ke arah kereta tersebut. Selepas kejadian tersebut, Benong Kali menjadi lebih berani sehinggakan berani menelefon dan mengancam pegawai polis, termasuklah Pengarah Bahagian Jabatan Penyiasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada ketika itu iaitu Dato' Zaman Khan. Ancaman tersebut dipandang serius sehingga menyebabkan Dato' Zaman terpaksa dilindungi oleh anggota Unit Tindakan Khas berikutan ancaman tersebut.

Pembunuhan demi pembunuhan yang berleluasa menyebabkan pihak polis menjalankan Operasi Buncit pada Jun 1993, membabitkan seramai hampir 200 anggota polis daripada kontinjen Pahang, Selangor, Kuala Lumpur bagi menamatkan keganasan yang dicetuskan oleh Bentong Kali dan konco-konconya.
Semasa operasi tersebut berjalan, posteryang memaparkan gambar Bentong Kali dan kegiatan jenayahnya mula ditampal di tempat awam. Ganjaran RM100,000 ditawarkan kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga dia tertangkap membuatkan kes tersebut menjadi berita hangat (pada tahun 1993, selain kes Bentong Kali, Malaysia juga digemparkan dengan pembunuhan kejam Dato Mazlan Idris oleh Mona Fendi, Juraimi Husin dan Nor Affandi).

Riwayat Bentong Kali dan dua konconya berakhir selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka di Medan Damansara, Kuala Lumpur diserbu oleh anggota Unit Tindakan Khas pada 29 Jun 1993. 


Unit Tindakan Khas PDRM
Operasi yang turut disertai oleh Unit Pemusnah Bom PDRM bermula pada awal subuh, melibatkan pengepungan rumah sebelum Unit Tindakan Khas menyerbu masuk ke dalam rumah tersebut. Selepas saling berbalas tembakan di antara kedua belah pihak, anggota Unit Tindakan Khas berjaya menembak mati ketiga-tiga mereka. Kematian tiga anggota Geng 4 tersebut menamatkan kegelisahan dan ketakutan orang ramai terhadap Bentong Kali, yang sehingga kini memegang rekod jumlah kes pembunuhan yang terbanyak di Malaysia (lebih 16 kes pembunuhan dikaitkan dengannya).

No comments: