08 October 2010

Kes bunuh Mona Fendi (Part 27)

Berikut merupakan testimoni seorang wartawan yang pernah mengikuti secara langsung kes pembunuhan yang pernah menggemparkan negara kira-kira 17 tahun lalu.

Sumber: forum www.cakap.net sebagaimana yang diceritakan oleh username WebZone-_-Attack


HANYA orang tidak siuman akan melakukan pembunuhan ngeri
ke atas Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris yang dipotong kepada
18 bahagian.

Peguambela Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan berkata, mengikut
keterangan Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu, dia tiada
perasaan, hilang akal dan seperti sesuatu masuk ke dalam
badannya.

Katanya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau
Mona Fandey dalam keterangan mereka pula menyatakan Juraimi
seperti orang hilang pedoman dengan giginya terkancing ketika
pembunuhan itu.





"Adakah di sini hendak dinyatakan
kemungkinan Juraimi tidak
siuman ketika itu?

"Di sini, saya meminta pihak juri
memberi perhatian terhadap
perkara ini," katanya ketika
menggulung hujahnya di Mahkamah
Tinggi Temerloh pada 1995.

Menurutnya, hanya pakar atau
psiktrik yang dapat menentukan
keadaan Juraimi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada
keterangan menyokong
bahawa Juraimi tidak siuman atau
tidak sedar seperti dalam
keterangannya.

Peguambela Affandi dan Mona itu juga mempersoalkan
mengapa peguambela Juraimi tidak mengemukakan laporan
mengenai keadaan tertuduh pertama yang diarah menjalani
rawatan sakit jiwa di Hospital Kuantan, Oktober 1994.

Pada soalan ini, peguambela Karam Singh Bhal bangun
membantah dan berkata, perkara itu telah diberitahu kerana
Hospital Kuantan tiada kemudahan untuk menjalankan rawatan
itu.

Ikmal Hisam Idris kemudian menambah, tujuan Juraimi dihantar
ke hospital itu bukan untuk menentukan sama ada dia siuman
atau tidak, tetapi bagi menguji tahap IQnya.

Gulam yang tidak puas hati dengan jawapan itu kemudian
menyoal, mengapa tiada laporan mengenainya.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Mokhtar Sidin berkata, perkara
itu telah diperjelaskan kepada semua peguambela dan timbalan
pendakwaraya di kamarnya.

Gulam kemudian berkata tiada laporan mengenainya.

Hakim kemudian menjawab dengan nada marah: "Encik Gulam
jangan berlagak, berlakon. Saya panggil semua orang dalam
kamar saya dan jelaskan perkara itu.

"Saya kurang senang dengan kenyataan Encik Gulam, seolah-olah
Encik Gulam diabaikan, tidak diberitahu langsung mengenainya."

Gulam kemudian berkata: "Maksud saya, mengapa tiada ada
susulan pemeriksaan itu."

Ikmal kemudian bangun dan berkata: "Kami meminta mahkamah
supaya pemeriksaan itu tidak diteruskan."

Peguambela Affandi dan Mona seterusnya berhujah.





Yang Arif dan juri, seperti yang telah saya katakan sebelum ini,
sejauh mana kita hendak mempercayai keterangan Juraimi Husin.

Ini terletak kepada keterangannya di mahkamah dan rakaman
percakapan beramarannya yang menjadi barang kes.

Untuk menentukan kewibawaan Juraimi, saya membawa juri
kepada beberapa perkara mengikut keterangannya di mahkamah
dan rakaman percakapannya.

Dalam percakapan beramarannya, Juraimi ada memberitahu:
"Lebih kurang seminggu sebelum pembunuhan, Haji Fendi (Affandi)
telah beritahu saya supaya siap buat Datuk."

Dalam keterangannya, Juraimi berkata cadangan itu datang
daripada Mona dan Affandi yang suruh buat persiapan.

Apabila disoal balas oleh saya, Juraimi berkata, bukan Mona
tetapi Affandi yang arahkan.

Di sini, menimbulkan satu keraguan yang mana kita hendak
pakai bagi membuat keputusan. Versi yang mana satu yang
betul.

Juraimi telah bercakap bohong. Di sini, dia tidak bercakap
betul dan ini menimbulkan keraguan terhadap Affandi dan Mona.

Dalam keterangan di mahkamah, Juraimi berkata: "Saya tidak
ada apa-apa rancangan dibuat olehnya. Affandi dan Mona tidak
berbincang dengan saya dan saya sendiri tidak tahu."

Dalam percakapan beramaran, Juraimi kata: "Semuanya telah
dirancang."

Ini adalah satu perancangan yang hebat dan saya minta juri
mengambil kira perkara ini sedalam-dalamnya.

Pihak juri perlu memberi penilaian terhadap perkara ini dengan

membandingkan percakapan beramaran dan keterangan Juraimi
di mahkamah.

Bolehkah kita korbankan dua nyawa (Affandi dan Mona) dengan
hanya mendengar keterangan daripada Juraimi?


Dalam keterangan mahkamah, pihak pendakwa bergantung
semata-mata kepada keterangan Juraimi (pengakuan pembunuhan
Mazlan dan rancangan membabitkan Mona dan Affandi).

Saya berani berkata tanpa keterangan Juraimi, tiada keterangan
kuat atau prima facie bagi pihak pendakwa.

Dalam keterangan Juraimi ada berkata Affandi mengambil selimut
dan bantal ke bilik air.

Dalam percakapan beramarannya pula, Juraimi kata Mona ambil
selimut dan bantal ke bilik belakang.

Lihatlah juri, percanggahan ini. Ini adalah satu lagi untuk kita
menguji sejauh mana kewibawaan keterangan Juraimi. Hendakkah
kita percaya keterangan Juraimi untuk korbankan dua nyawa.

HAKIM: Encik Gulam, jangan cakap untuk korbankan nyawa.
Kita belum buat sebarang keputusan lagi.

(Gulam kemudian mengemukakan beberapa fakta dalam
keterangan dan percakapan Juraimi yang bercanggah).

Affandi dan Mona telah menafikan bahawa mereka memberi
arahan kepada Juraimi (untuk melakukan pembunuhan itu).

Yang Arif dan juri, saya ingin membawa kembali kepada perkara
tidak sedar yang dibangkitkan oleh Juraimi ketika saya menyoal
balasnya.

Juri, jika Juraimi tidak sedar bagaimana dia sedar ketika
menerima arahan.

Di sini tiada niat bersama. Di mana kedudukan niat bersama.

Di sini, sukar untuk dinilai keadaan tidak sedar, hanya pakar
dan psiktrik yang dapat membantu kita di sini (untuk menentukan
keadaan Juraimi).

Tapi, kita tidak mendapat perkhidmatan mereka untuk
menolong kita.

Juraimi kata dia tidak sedar dua minggu sehingga disentuh oleh
Affandi pada 22 Julai 1993.

Mengapa Juraimi tidak disentuh sekarang supaya Juraimi tidak
boleh berkata apa-apa mengenai pembunuhan itu.

Kalaulah Affandi dan Mona mempunyai kuasa seperti itu sudah
itu mereka menggunakan kuasa itu pada bila-bila masa.

Di sini, saya meminta juri berfikir, ini adalah sesuatu perkara
yang pelik sekali.


Adakah pengakuan Juraimi itu
benar. Itu yang juri perlu fikirkan
dengan teltiti tanpa keterangan
pakar dan psiktrik.

Peguambela Juraimi yang
bijaksana telah mencadangkan,
Juraimi diberi minum segelas
air jampi sebelum pembunuhan
supaya Juraimi menurut
arahannya. Affandi berkata tidak.

Ini satu tuduhan yang
dilemparkan kepada Affandi,
yang mana
tidak berasas sama sekali.

Jika Juraimi tidak sedar ketika melakukan pembunuhan,
bagaimana dia boleh sedar ketika Affandi menyentuh badannya?

Ini semua cerita dongeng dan karut, alasan yang tidak berasas
dan tidak boleh diterima sama sekali.

Perkara tidak sedar dan diberi air jampi tidak timbul langsung
dalam percakapan beramaran Juraimi. Ini fakta, bukan saya
merepek di sini.

Mengapa tidak sebut kerana perkara ini tidak berlaku langsung. Ini

adalah rekaan yang datang daripada pembelaan Juraimi.

Apabila saya soal balas mengapa tidak sebut, Juraimi berkata
dia terlupa, tak ingat.

Saya katakan perkara tidak sedar dan disentuh ini, sengaja
diada-adakan untuk menyelamatkan dirinya.

Dalam keadaan tidak sedar, Juraimi boleh menetak tepat
ke leher Mazlan.

Jika dalam keadaan tidak sedar Juraimi menetak leher Mazlan,
tentu Affandi dan Mona sudah habis.

Juraimi hentam saja, tetak di mana-mana tubuh Mazlan, tak
perlu tumpu pada leher.

Di sini saya mahu juri membuat pertimbangan kerana keterangan
Juraimi bahawa dia tidak sedar datang dari dirinya sendiri. Tiada
keterangan sokongan seperti daripada pakar atau psiktrik.

Sudah tentu jika dia tidak sedar, Juraimi akan tetak
di mana-mana. Ini tidak, jasad dipotong kepada 18 bahagian,
lebih bijak dari pakar bedah atau tukang potong daging.

Affandi ada berkata: "Kita semua habis." Affandi berkata
demikian dengan secara spontan kerana perbuatan Juraimi, kami
semua terbabit.

Dalam keterangan Affandi, dia ada berkata Juraimi berkata
kepadanya: "Bapa dan ibu hanya ada, tapi saya yang buat."

Ini bermakna kejadian pembunuhan itu telah berlaku tanpa niat
bersama oleh Affandi dan Mona.

Percakapan beramaran Affandi telah diambil pada 23 Julai 1993,
sehari selepas ditahan polis.

Affandi tidak mempunyai masa
untuk mereka-reka cerita ketika
memberi percakapan beramaran
itu.

Jadi apa yang berlaku ke atas
Affandi dan Mona seperti yang
diceritakan dalam percakapan
beramaran itu adalah benar.

Tiap-tiap alasan pihak pembela
ialah Juraimi tidak sedar, tanpa

keterangan menyokong.

Alasan yang diberikan Juraimi
adalah sesuatu untuk
membebaskan dirinya sendiri.

Kalaulah dengan menggunakan
taktik ini dan telah menerima
arahan dia tidak bersalah dan
dibebaskan, tidak selamat kita
semua. Juraimi boleh

melakukannya lagi dan menggunakan taktik yang sama.

IKMAL: Yang Arif, tuduhan itu tidak adil.

HAKIM: Encik Gulam, berlaku adil.

GULAM: Dalam keadaan sama ada Juraimi sedar atau tidak,
sama ada dia siuman atau tidak, mahukah juri sama sekali
percaya dengan keterangannya, mahukah mengorbankan
kedua-dua nyawa (Mona dan Affandi).

HAKIM: Bagaimana dengan nyawa tertuduh pertama?

GULAM: Mahukah juri korbankan ketiga-tiga nyawa, jika betul
Juraimi tidak sedar.

Oleh sebab tiada keterangan sokongan atau bukti dari pakar
dan psiktrik, kita tidak boleh terima keterangan Juraimi.

Pihak pendakwa gagal membuktikan satu kes pembunuhan
terhadap Affandi dan Mona tanpa sebarang keraguan.

Sekarang saya pergi kepada motif pembunuhan. Kita tidak ada
satu pun keterangan bahawa Affandi dan Mona telah mengambil
wang milik Mazlan yang ditunaikan pada 2 Julai 1993.

Pihak pendakwa cuba mengaitkan pembelian barang kemas,
perabot dan kereta oleh Affandi dan Mona dengan
wang RM298,850 yang ditunaikan oleh Mazlan pada hari itu.

Kita tidak ada bukti sama ada wang yang dibayar oleh Affandi
dan Mona untuk pembelian barang itu diambil dari Mazlan.

Di sini kita tidak boleh kata motif Affandi dan Mona beri
arahan kepada Juraimi supaya membunuh Mazlan kerana wang.

Sebaliknya Affandi dan Mona memang mempunyai wang
RM400,000 sejak tinggal di Petaling Jaya (pada 1992)
dan RM500,000 lagi cengkeram penjual tongkat, songkok dan
azimat kepada Mazlan.

Keterangan ini tidak dipatahkan oleh mana-mana pihak

Berkaitan dengan RM298,850, wang itu telah diagih-agihkan
kepada ahli Umno ketika mesyuarat oleh Mazlan secara sulit
pada malam kejadian terbabit.

Pendakwa tidak ada keterangan yang mereka menggunakan
duit Mazlan.

Angka-angka itu diberikan oleh pegawai-pegawai bank yang
memberi keterangan di mahkamah.

Kita juga mempunyai cukup keterangan Affandi dan Mona hidup
mewah. Ini berdasarkan keterangan Mona dan Affand sendiri,
serta abang Mona, Tengku Yahya Tengku Abdullah dan abang
Affandi, Azmi.

Mengenai mengapa Affandi dan Mona tinggal di rumah buruk
di Tanjung Lumpur, Kuantan, itu tidak menjadi persoalan.

Itu terpulang kepada budi bicara seseorang, ada orang tidak
suka menunjuk-nunjuk. Orang kampung pun tidak
menunjuk-nunjuk, tapi ada banyak harta.

Begitu juga dengan mengapa mereka ada kereta kecil. Itu juga
terpulang kepada budi bicara.

Bagi mereka cukup hidup mewah dengan tinggal dan makan
di hotel-hotel.
Affandi dan Mona tidak rancang untuk membunuh Mazlan, jika
mereka rancang sudah tentu Affandi tidak mahu mendedahkan
dirinya pada hari pembunuhan itu.

Affandi mengikuti Mazlan ke Kuala Lumpur, jumpa adik Mazlan,
jumpa anak bekas Menteri Besar, pergi mesyuarat Umno dan
jumpa ahli-ahli Umno.

Jika mereka merancang untuk bunuh Mazlan sudah tentu
Affandi tidak mendedahkan dirinya kepada orang ramai.

Tiada keterangan menyatakan Juraimi dipaksa atau diugut
supaya membunuh Mazlan.

Tiada keterangan Affandi dan Mona mengambil bahagian dalam
pembunuhan itu, mereka berada di situ cuma untuk menjalankan
upacara mandi bunga.

Saya katakan bagi pihak pembela Affandi dan Mona telah
menimbulkan keraguan. Mereka tidak berniat bersama untuk
membunuh Mazlan.

Mereka tidak harus didapati bersalah mengikut Seksyen 302.
Mereka harus dilepas dan dibebaskan.

Sekian hujah saya.

Lepas ni hujah pendakwa.

No comments: