07 October 2010

Kes bunuh Mona Fendi (Part 26)

Berikut merupakan testimoni seorang wartawan yang pernah mengikuti secara langsung kes pembunuhan yang pernah menggemparkan negara kira-kira 17 tahun lalu.

Sumber: forum www.cakap.net sebagaimana yang diceritakan oleh username WebZone-_-Attack



PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama
dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi
Husin, meneruskan hujah penggulungan di Mahkamah Tinggi
Temerloh pada 1995.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku
dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT
kedua, Mohd Afandi Abdul rahman.

OKT kedua mempunyai trend yang bahaya dan perlu penapisan
yang cukup teliti kerana sentiasa cuba mengelak serta menangkis
kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya, dengan
melemparkan beban kepada OKT ketiga dan pertama. Malah
beban itu juga dilemparkan kepada peguamnya sendiri.

Hampir keseluruhan keterangan Affandi adalah satu
pembohongan dan OKT kedua mahu mahkamah mempercayai
keterangannya.

OKT kedua juga mengakui mahu menjual kereta milik Mazlan
bernombor pendaftaran CAA 5115, tetapi berkenaan songkok,
tongkat dan azimat tidak dijual kerana bukan haknya, tapi hak
mangsa (Mazlan). Keterangan ini bercanggah di antara satu
sama lain.

OKT kedua juga berkata, pada 6 atau 7 Julai 1993, dia bersama
OKT ketiga, anak mereka (Mazdiana Affendy), Tengku Yahya dan
Simon (Tan Teck Seng) ke tempat kejadian semula untuk
mengambil dokumen Mona.

Pemergian sebenar OKT kedua dan ketiga ke sana untuk
memastikan semua arahan Affandi dan Mona kepada Juraimi
telah dipatuhi sepenuhnya.

Ini kerana telah menjadi satu trend kepada semua penjenayah
untuk melawat kembali tempat kejadian bagi memastikan semua
bukti yang boleh mengaitkan si penjenayah itu dihilangkan atau
dikenali sebagai `Doctrine of Lapse'.

Ini dapat dilihat pada barang kes P22 (rakaman percakapan
beramaran Mona) pada muka 31 para 50, di mana OKT ketiga
mengatakan "Kami berada di Ulu Dong kira-kira satu jam sahaja.
Sebenarnya tujuan kami balik untuk periksa keadaan rumah dan
Gondrong (Juraimi) tentang kematian Datuk Mazlan".

Pada muka 28, para 43 baris lima, OKT ketiga mengatakan
"Ketika itu saya nampak Affandi berpaling kepada Gondrong
sambil memberi isyarat kepadanya dengan mengarahkan
matanya supaya Gondrong jalankan kerjanya. Saya nampak

Gondrong memegang kapak dan terus `dum' ke leher Datuk
Mazlan."

Keterangan OKT ketiga dari kandang orang kena tuduh juga
tidak patut diambil kira oleh mahkamah, sebaliknya rakaman
percakapan beramaran Mona mestilah diterima.

Sebelum 22 Julai 1993, Juraimi adalah dalam keadaan tidak
boleh berfikir dengan waras dan tidak boleh mengetahui sebab
serta akibat daripada perbuatannya serta tidak boleh mengawal
pergerakan dirinya sendiri.

Dia telah menjadi seperti robot kepada OKT kedua dan ketiga.

OKT pertama juga dijadikan tempat untuk membuang segala
bebanan kerja jahat OKT kedua dan ketiga.

Perancangan ini dapat dilihat daripada mereka masih di Kuantan
lagi yang mana semua bil diletak atas nama Juraimi, setelah
dia tidak lagi diperlukan, OKT pertama ditinggalkan untuk
menghadapi apa-apa saja yang bakal menimpa dirinya.

Menurut keterangan saksi pembela ke-4, Sarjan Masara
Yuasuap keadaan OKT pertama ketika ditahan adalah seperti
seorang penagih dadah kerana berada dalam keadaan khayal,
mata merah berair, bercakap tak tentu arah, rambut

panjang paras bahu, muka cengkung, badan kurus dan pakaian
lusuh dan kotor.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam,
Masara mengatakan OKT pertama kurang normal dan ada masa
kita bercakap dengan dia, dia diam dan ada masa dia tak faham
apa kita cakap.

Masara juga memberi keterangan pada masa ini Juraimi nampak
gemuk, rambut pendek, muka dia cerah dan pakaian kemas.

Keterangan saksi pembela ke-6, Sarjan Mejar Mashood Yaacob
juga sama dengan keterangan saksi pembela ke-4, yang mana
saksi ke-6 berkata, OKT pertama bermata kuyu, badan kurus,
berambut panjang serta berpakaian lusuh dan kotor.

Mahpop juga berpuas hati OKT pertama ditangkap atas alasan
dadah kerana keadaan Juraimi ketika itu seperti penagih dadah.

Menurut keterangan Masara dan OKT pertama, OKT pertama ke
Balai Polis Dong sebanyak dua kali (pada 13 Julai 1993).

Juraimi berkata, pada kali pertama beliau dibawa ke Balai Polis
Dong dengan sebuah landrover polis dan kemudian dilepaskan
kerana OKT pertama hendak beri makan burung dan itik, serta
pegawai juga tiada.

OKT pertama disuruh datang pada jam 7 malam. Juraimi agak
terlewat dan menelefon Balai Polis Dong dari Kampung Pamah
Kulat mengatakan dia terlewat sedikit.

Kedatangan kali kedua ini bolehlah dikatakan sebagai serah diri
dan OKT pertama tidak gentar atau takut ke Balai Polis Dong
kerana ini jelas menunjukkan dia tidak tahu apa sebenarnya
berlaku.

Sekiranya OKT pertama tahu apa yang telah dilakukannya itu
menyalahi undang-undang, ketika dilepaskan kali pertama itulah
peluang yang sehabis baik untuk dia melarikan diri.

Jelas bahawa Juraimi, tidak mempunyai sebarang motif, niat
dan tujuan berkaitan dengan tragedi kejadian itu.

Memandangkan kepada keterangan yang ada, OKT pertama
tidak boleh disabitkan kesalahan membunuh dengan niat
bersama yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan, tetapi Juraimi mestilah dihukum mengikut
Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dari segi perlakuan, OKT pertama adalah seorang pendiam,
sabar, tidak pernah menyakiti hati orang, tidak pernah didakwa
di mana-mana mahkamah sebelum ini dan orang kampung tidak
pernah mengadu apa-apa hal yang tidakbaik terhadapnya.
Demikian yang diterangkan oleh saksi ke-3 pembela, Husin

Jamaluddin.

Saksi pendakwa ke-58, Noraini Abdul Rahman juga menyokong
pandangan ini dengan mengatakan Juraimi adalah seorang yang
baik dan pendiam.

Kebenaran ini juga disokong oleh Affandi sendiri yang berkata,
OKT pertama tidak banyak cakap, rajin serta tekun dan taat
kepadanya.

Dengan keadaan inilah OKT kedua mengambil kesempatan
untuk mempergunakan OKT pertama.

OKT pertama juga mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa
dendam terhadap Mazlan. Dia juga tidak pernah bergaduh,
bermasam muka atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Malah, hubungan OKT pertama dengan Mazlan macam biasa
saja.

Juraimi juga tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Mazlan,
baik dari segi perbadi mahupun perniagaan.

OKT kedua juga mengatakan setahunya OKT pertama tidak ada
apa-apa perselisihan faham dengan Mazlan.

Oleh demikian dengan bukti serta autoriti yang telah dijelaskan,
adalah dengan ini dihujahkan bahawa OKT pertama tidak ada
langsung niat bersama untuk membunuh Mazlan dan ketika
Juraimi menetak leher Mazlan, dia melakukannya dalam keadaan
tidak sedar yang menyebabkannya tidak tahu akibat serta
natijah daripada perbuatannya dan oleh itu dia patut

dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Sekian
Kita akan baca hujah penggulungan Affandi dan Mona selepas ini.  

No comments: