07 October 2010

Kes bunuh Mona Fendi (Part 25)

Berikut merupakan testimoni seorang wartawan yang pernah mengikuti secara langsung kes pembunuhan yang pernah menggemparkan negara kira-kira 17 tahun lalu.

Sumber: forum www.cakap.net sebagaimana yang diceritakan oleh username WebZone-_-Attack

 
PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama
dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi
Husin, menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada
1995 :

Di dalam kes yang berada di depan kita ada dua isu yang perlu
penjelasan dan keterangan lanjut.

Isu pertama dalam kes ini adalah sama ada Orang Kena
Tuduh (OKT) pertama (Juraimi) mempunyai niat bersama seperti
yang diterangkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk
melakukan pembunuhan ke atas bekas Adun Batu Talam,

Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris bersama-sama dengan OKT
kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan OKT ketiga (Maznah
Ismail atau Mona Fandey).

Isu kedua ialah adakah pembunuhan itu yang dilakukan oleh
Juraimi menyebabkan OKT pertama dijatuhi hukuman di bawah
Seksyen 302 kanun yang sama jika sabit kesalahan.

Kata kunci di sini adalah niat yang membawa maksud hajat
atau tujuan.

Apabila kita mengatakan hajat atau tujuan ianya membawa
erti pula kepada sesuatu yang akan diperolehi atau didapati
sebagai imbuhan niat itu.

Ia mestilah mempunyai rantaian penyebab atau 'chain of
causationer'.

Sebagai contoh, dalam kes ini niat membunuh Mazlan
mempunyai rantaian iaitu untuk membolot harta serta wang
ringgitnya.

1. Persoalannya apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

2. Adakah Juraimi mendapat keuntungan daripada pembunuhan
itu?

3. Apakah natijah pembunuhan itu terhadap Juraimi?

Persoalan ini telah pun dijawab oleh saksi pendakwa dan
pembela.

Juraimi tidak mempunyai sebarang
niat jahat untuk membunuh
Mazlan. Niat jahat hanya ada pada
Affandi dan Mona saja.

Ini jelas kerana daripada keterangan
saksi pendakwa ke-20,
Azmi Abdul Rahman yang mengatakan
dia diminta menubuhkan
syarikat dan memindahkan geran
tanah milik Mazlan. Segala transaksi
itu langsung tidak membabitkan Juraimi.

Saksi pendakwa ke-21, Mohd Nashir
Hussein dan saksi ke-22,
Kong Foo Mun serta saksi ke-33, Abdul
Latiff Ahmad mengesahkan nama
Juraimi tiada dalam apa-apa transaksi
yang diuruskan oleh mereka.

Saksi pendakwa ke-24, pakar bedah plastik, Dr Wong Kang
Seng mengatakan Mona ada menjalankan pembedahan plastik
untuk kecantikan.

Perbelanjaan ini adalah hasil dari wang yang diperolehi
daripada Mazlan, sedangkan OKT pertama ditinggalkan di
(Kampung Peruas) Ulu Dong, dalam keadaan yang serba
kekurangan dan daif.

Saksi ke-28, Tengku Yahya Tengku Abdullah juga mendapat
nikmat daripada Affandi dan Mona.

Di sini jelas menunjukkan individu yang tidak ada kena
mengena mendapat keuntungan seperti Azmi dan Tengku Yahya.

Jika OKT pertama mempunyai kepentingan bersama OKT kedua
dan ketiga, sudah tentu Juraimi tidak ditinggalkan dalam serba
kekurangan.

Ini jelas bahawa Juraimi telah digunakan oleh OKT kedua dan
ketiga.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng, seorang pemandu yang baru
dikenali juga mendapat nikmat. Dia
telah dijemput untuk menjadi rakan
kongsi untuk perniagaan kereta
terpakai oleh Affandi, sedangkan OKT
pertama langsung tidak dipedulikan.

Demikian juga dengan saksi
pendakwa lain yang mengatakan
bahawa Affandi dan Mona
membelanjakan banyak wang ringgit
untuk kepentingan mereka berdua
serta bermewah-mewah.

Sedangkan Juraimi hanya diberi
pada mula RM180 dan kemudian
RM1,500, yang mana RM1,000 untuk
beli makanan itik dan RM500 untuk
makannya.

Di sini jelas dilihat taraf permakanan itik adalah lebih tinggi dan
baik daripada taraf Juraimi sendiri.

Oleh yang demikian apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

Saya berhujah OKT pertama membunuh Mazlan tanpa sebarang
niat kerana Maxim `Actus non facit reum nisi men sit rea' tidak
ada pada OKT pertama.

`Men rea, guilty mind' atau suatu pemikiran jahat adalah
penting dalam kes jenayah, tetapi ini tiada pada Juraimi.

Walaupun dalam kes bunuh, motif tidak penting, tetapi motif
adalah penting untuk menentukan sama ada OKT pertama
bersalah mengikut Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu berada dalam
keadaan yang dia sendiri tidak dapat mengawal perbuatannya.

Juraimi telah mengatakan dia tidak sedar apa yang dilakukannya
sebelum kejadian (malam pembunuhan pada 2 Julai 1993) dan
hanya sedar semula setelah Affandi berjumpa dan menyentuhnya
dia di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993.

Di mana OKT pertama secara spontan dan sukarela memberi
kerjasamasepenuhnya kepada polis seperti keterangan saksi
ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar.

Keterangan yang mengatakan Affandi menyentuh Juraimi
disokong oleh saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir
Ahmad Nazir Mohd.

Keterangan ini nampak mudah, tetapi penting untuk menunjukkan
bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua kerana
ini dibuktikan sendiri oleh Affandi dalam keterangannya.

Affandi dengan bangga mengatakan bahawa dia telah memberi
air jampi kepada OKT pertama, lalu Juraimi boleh bersilat.

OKT kedua berkata lagi, dengan minum air jampi seseorang itu
tidak boleh membuka langkahnya sendiri ikut sesuka hati.

Affandi juga berkata bahawa dengan sekali sentuh OKT pertama
boleh menidurkan ayam.

Apabila ditanya dalam pemeriksaan balas, adakah untuk
memulihkan semula ayam ini juga perlu disentuh Affandi
menjawab, ya.

Untuk itu, mahkamah mestilah melihat perkara ini dalam skop
yang lebih luas iaitu adalah dipercayai sebelum kejadian OKT
kedua telah memberi air jampi kepada OKT pertama, supaya
Juraimi menurut saja apa yang diarahkan kepadanya.




Affandi turut menyentuhnya supaya lupa apa yang berlaku
sehinggalah disentuh sekali lagi
pada 22 Julai 1993, yang mana
OKT pertama sedar semula.

Menurut Mahpop, pada 19 Julai 1993,
dia ke tempat kejadian bersama OKT
pertama, tetapi Juraimi sendiri tidak
tahu apa tujuan dibawa ke sana.

Pada hari itu, Mahpop mengambil
pita video dan sijil-sijil saham yang
disimpan dalam laci almari besi
kepunyaan Affandi, tanpa ditunjuk
Juraimi.

Mahpop apabila ditanya Gulam,
berkata Juraimi tidak memberi
kerjasama seperti 22 Julai 1993.

Apabila saya menyoal balas Mahpop
sama ada OKT pertama patuh kepada OKT kedua, saksi ke-56
itu bersetuju.

Ini membuktikan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa
OKT kedua.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng juga mengatakan Juraimi patuh
kepada Affandi.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku
dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT
kedua.

No comments: