04 October 2010

Kes bunuh Mona Fendi (Part 20)





AJAL dan maut semuanya ketentuan-Nya. Hal ini tiadasiapa yang boleh melawannya. Betapa kuat atau kebalnya kita di dunia ini, Allah lebih daripada segala-galanya. Kalau Allah katakan jadi, maka jadilah seperti kehendak-Nya. Intro semacam aje. Bukan apa, ada kaitan dengan cerita seterusnya. Bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris memiliki tongkat, songkok dan azimat yang dikatakan dapat menjadikannya kebal,kalis kaca dan peluru, tapi dia mati kerana hanya ditetak dengan kapak.

Mengapa boleh jadi begitu. Ketentuan Illahi.

Tapi, bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman ada jawapannya ketika disoal mengenai perkara itu di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Dia mengakui bahawa Mazlan yang memiliki tongkat, songkok dan azimat mempunyai kekuatan itu. Tapi, dia mati selepas lehernya ditetak oleh Juraimi Husin kerana barang-barang berkenaan tidakada padanya (Mazlan) ketika itu.

Menurutnya, pada malam pembunuhan 2 Julai 1993, Mazlan hilang kekebalannya kerana tidak memegang tongkat serta tidak memakai songkok dan azimat.

"Songkok, tongkat dan azimiat itu perlu dipakai bersama setiap masa untuk memastikan kesaktiannya," katanya ketika menjawab soalan balas Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam.

Selain itu, Affandi berkata, hikmat lain barang itu ialah dapat membuatkan pemiliknya makan kaca dan menundukkan seorang. Katanya, jika tongkat itu dihalakan kepada wanita hamil sambil membacakan perkataan tertentu, kandungannya akan gugur. Menurutnya, Mazlan tahu segala hikmat tongkat, songkok dan azimat yang dikatakan dibeli dengan harga RM2.5 juta. Menjawab soalan Zakaria bahawa Mazlan tidak perlu ilmu itu kerana dia bukan hendak berperang ke Somalia, Affandi menjawab: "Soal perang atau tidak itu soal orang yang memilikinya. Dia hendak pergi berperang itu hak dia. Ini kerana tongkat ini ibarat ikhtiar, bagaimana Nabi Musa menggunakan tongkat untuk membelah laut."

ZAKARIA: Itu nabi.

AFFANDI: Ya, tapi melalui doa.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian berkata, apa yang ada pada Nabi Musa adalah mukjizat dan bukan doa saja. Ini adalah perkara yang berbeza.

Affandi juga berkata, Mazlan memerlukan tongkat, songkok dan azimat itu untuk keselamatannya dalam bidang politik.

Memanglah sukar nak percaya benda macam ini. Tapi, ia memang tidak dinafikan berlaku. Kalau tidak, takkan timbul perkara macam ni.

Entah betul ke tidak, hanya Allah dan tuan punya diri yang tahu.






EMPAT keris yang ditemui di rumah Affandi.

Bercerita pasal benda ini, ramai yang bertanya betul ke Affandi tu bomoh hebat. Kalau pandai main bomoh kenapa kena tangkap. Kenapa tak pukau aje semua orang supaya ikut cakap dia. Nak tahu apa dia cakap ketika soalan itu ditanya dalam mahkamah.

Affandi berkata dia sudah tentu memukau peguambela Ikmal Hisam Idris di mahkamah jika mempunyai pengetahuan mengenai ilmu hitam itu.

Menurutnya, dia tidak mengetahui ilmu pukau seperti yang dikatakan oleh peguambela Juraimi Husin itu.
Katanya, kenyataan Ikmal bahawa dia (Affandi) telah memukau Juraimi sehingga tertuduh pertama tidak boleh berbuat apa-apa dan mengikut sajaarahannya, adalah tidak benar.

"Saya tidak pukau Juraimi dan saya tak tahu ilmu pukau. Kalau saya ada ilmu pukau, sudah tentu Encik Ikmal saya pukau," katanya disambut gelak mereka yang berada di mahkamah, termasuk Juraimi dan Maznah Ismail atau Mona Fandey.

Affandi, Mona dan Juraimi menghadapi tuduhan dengan niat bersama membunuh Datuk Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada Julai 1993.

Affandi juga menolak kenyataan Ikmal bahawa dia memberi air jampi kepada Juraimi sehingga tertuduh pertama hilang pendoman dan menurut saja arahannya.

Menurutnya, air jampi itu diberikan kepada sesiapa saja yang belajar silat dengannya. Katanya, dia juga pada bila-bila masa tidak mempunyai rancangan untuk menganiaya Juraimi yang dianggapnya sebagai anak sendiri. Dalam keterangan lain pula. Mazlan mengakui ada menyimpan patung Cina, India dan Siam di setiap rumah yang dia tinggal kerana keunikan dan seni ukirnya.





Affandi berkata patung-patung itu ditinggalkan oleh orang

yang berubat dengannya.

Menurutnya, pertanyaan mengenai patung itu pernah
dikemukakan oleh Juraimi Husin, ketika mereka tinggal
di Teluk Gong pada 1991.

"Saya beritahu Juraimi, saya selalu mengubat orang.
Kadangkala ada orang India, Cina dan Siam datang.

"Mereka (orang yang datang berubat) mempercayai jika patung
itu ada di rumah, mereka akan sakit dan tidak boleh tidur.

"Mereka bawa patung itu untuk saya melihat dan menawari jika
ada sesuatu yang ada pada patung itu," katanya ketika disoal
peguambelanya, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan.
Affandi berkata, mereka meninggalkan patung itu di rumahnya
dan ada yang tidak mengambilnya semula.

Katanya, dia bimbang untuk membuang patung itu kerana
mungkin pemiliknya mahu patung itu semula.

"Saya juga beritahu Juraimi, saya tidak anggap patung itu
sebagai patung. Jika patung itu dibuat daripada besi, saya
anggap besi. Kalau tanah, tanahlah dan kalau kaca, kacalah.
Bukan istilah patung kepada saya," katanya.

Affandi juga mengakui dia mempunyai bilik memuja di setiap
rumah yang mereka tinggal, tapi menurutnya, bilik itu adalah
bilik untuk memuja kalimah Allah.

No comments: