01 September 2010

Rejimen Gerak Khas: Ops Gubir 2 - 18 vs 300

 Diolah daripada blog Jottings of an xnuri pilot  (blog milik Mej (B) Nor Ibrahim Bin Sulaiman) dan forum panggilan pertiwi (thread Kenangan Mengusik Jiwa)

Kalau ada sesiapa yang berminat menonton Zero Hour (Discovery channel) ataupun Situation Critical (Nat Geo), mesti korang pernah tengok episod macam mana beraninya anggota-anggota komando menjalankan misi mereka contohnya dalam Operation Barras (juga dikenali sebagai Operation Certain Death - operasi menyelamat tawanan oleh SAS dan Paratroopers di Sierra Leone), ataupun GIGN semasa operasi meyelamat tebusan dalam pesawat di Marseilles, Perancis. Kali ni aku nak tulis sedikit sebanyak tentang keberanian pasukan komando dalam Angkatan Tentera Malaysia, Regimen Gerak Khas bersama-sama Markas 2 Divisyen Infantri, Markas 6 Briged Infantri, Markas Jurutera 2 Divisyen, 3 Skuadron Jurutera dan TUDM dalam menjayakan Operasi Gubir 2 kira-kira 34 tahun lalu.

Operasi Gubir 2 dijalankan bertujuan untuk menggempur dan menawan pengganas komunis di pangkalan mereka. Lokasi operasi terletak di Gubir, Kedah hingga ke sempadan Malaysia-Thailand. Operasi berlangsung bermula pada 20 April 1976 dan berakhir pada 3 Mei 1976 (3 Mei merupakan kemuncak di mana kesemua 18 anggota komando berjaya menyusup keluar daripada kawasan pangkalan musuh).

Penurunan komando daripada helikopter



Anggota komando Regimen Gerak Khas (RGK) diturunkan ke kem musuh pada 20 April. 3 buah helikopter Nuri (dilabel sebagai A, B dan C) membawa bersama-sama 15 anggota komando dalam setiap helikopter terlibat dalam fasa serangan ini. Nuri B mula-mula sekali menurunkan anggota komando, walaubagaimanapun tali yang di julurkan ke bawah untuk teknik penurunan rapelling tersangkut di pokok, jadi anggota komando menggunakan kaedah winching (menggunakan tali yang dijana kepada mesin) untuk turun ke bawah. Tembakan pelancar grenad M79 oleh pengganas komunis disasarkan kepada helikopter, namun tersasar ke dahan pokok (mungkin akibat panik melihat serangan mengejut yang dilakukan oleh pihak komando). Setelah berjaya turun daripada helikopter, anggota komando daripada Nuri B kemudian melakukan pembersihan (menghapuskan ancaman aktif/pengganas yang boleh mendatangkan ancaman kepada anggota yang bakal turun daripada helikopter Nuri A dan C) . Kemudian, anggota komando melakukan aktiviti pembersihan laluan daripada jerangkap samar. 2 orang anggota komando mengalami kecelakaan akibat jerangkap samar dan terpaksa dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan. Selain membersihkan laluan daripada jerangkap samar, anggota komando turut menyediakan landing point untuk pesawat yang membawa anggota Jurutera yang merupakan pakar pemusnah jerangkap samar. Anggota Jurutera bakal bertanggungjawab memusnahkan jerangkap-jerangkap samar di dalam terowong dan di sekitar kem musuh (anggota komando tidak dilengkapi dengan peralatan lengkap untuk memusnahkan jerangkap samar).

 Anggota yang terkena jerangkap samar pada hari pertama:
  1. Sjn Ahmad Jantan
  2. Trp Yaacob Hassan
  3. Tpr Hussin Mahbeb

Pembersihan jerangkap samar

Kerja-kerja pembersihan jerangkap samar di kawasan kem diteruskan. Semasa proses pembersihan, seorang lagi anggota tentera terbunuh semasa proses pembersihan, manakala seorang pegawai cedera. Insiden berlaku pada 25 April 1976. Kerja-kerja pembersihan dalam terowong diteruskan, dan laluan terowong yang telah dibersihkan daripada jerangkap samar kemudian diletupkan.

Tragedi 26 April 1976

Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (bagi tujuan meletupkan terowong) dan juga 11 anak kapal dan penumpang ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Bekalan peluru dan bahan letupan walaubagaimanapun dapat dihantar kemudiannya walaupun dengan jumlah yang tidak sama seperti dalam helikopter yang ditembak jatuh.

Berikut merupakan senarai anggota yang terkorban dalam nahas tersebut
  • Lt (U) Chung Ming Teck PTU, #10 Skn, Kapten pesawat
  • Lt (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, #10 Skn, Co-pilot
  • Sjn Leong Yee Heng PTU, #10 Skn, AQM
  • Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB, #7 Skn (Kapten)
  • Kapt (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, #7 Skn (Co-pilot)
  • Mej Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
  • Kapt Sulaiman bin Abdullah, 6 Bde
  • Lt Ibrahim bin Zakaria, 3 RAMD
  • Sjn Kamis bin Dolmat, 3 RAMD
  • L/Kpl Kamarulzaman bin Zakaria, X Sqn RGK
  • L/Kpl Suandi bin Saim, X Sqn RGK 
18 vs 300

Pada 27 April, elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan daripada kem pengganas setelah operasi memusnahkan terowong dan bunker berjaya dilakukan. Ketika helikopter menghampiri extraction point untuk mengeluarkan baki 18 anggota komando, helikopter tersebut ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis. Akibatnya, extraction tidak dapat dilakukan dan anggota komando yang tertinggal terpaksa melakukan rendezvous (bertemu dengan sekumpulan komando berdekatan dengan landing point) untuk membolehkan mereka dibawa keluar daripada kawasan musuh.

Berikut sebagaimana entri di dalam blog Jottings of an xnuripilot

Saya terbaca satu artikel dalam kolum 'Perajurit', Utusan Malaysia bertarikh 12 Oktober 2002 melalui satu 'forum'. Ianya mengisahkan bagaimana sekumpulan 9 warga komando  yang dapat memboloskan diri dari kepungan sejumlah 300 pengganas komunis.  Kejadian berlaku pada April 1976 ketika Ops Gubir. Saya memang teruja untuk menyiarkan artikel tersebut. Kalah cerita 'Rambo'!Tetapi sebelum itu, saya perlu memastikan kesahihannya.

Saya dicadangkan untuk menghubungi Lt Kol Aziz Rashid (B) (gambar) untuk mendapatkan kepastian cerita tersebut. Setelah beberapa bulan mencuba, akhirnya, pada 23 Ogos 2010 jam 2130, saya telah bertemu dengan beliau di Hotel Samila, Alor Setar. Saya sebenarnya tidak mengenali beliau. Saya memberitahu beliau cerita saya tentang 'Tragedi Gubir' tergantung kerana tidak mengetahui bagaimana 18 (bukannya 9) mereka yang 'tertinggal' selepas Ops Gubir (menawan kem pengganas komunis) selamat kembali ke Gubir. Menurut Lt (U) Murad, beliau tidak berkesempatan untuk mebawa keluar baki  18 warga komando tersebut disebabkan hari sudah gelap. Malah, ketika 'approach' ke lokasi itu, Nuri beliau telah ditembak. Penerbangan tersebut pada 1 Mei 1976, jam lebih kurang 1830. Mereka selamat mendarat di Gubir.

1 Mei 1976...Malam Pertama. Tinggallah 18 anggota komando yang diketuai oleh Lt M Aziz Rashid. Menurut beliau, dianggarkan sejumlah 60 pengganas komunis (PK) telah mengepung kawasan yang mereka berada. Lokasi ini ditanam dengan anak pokok getah. PK  datang menaiki lori dan menjadikan malam itu macam satu pesta...mungkin meraikan Hari  Pekerja agaknya...He...He...He. Keriangan PK jelas kelihatan kerana mereka (PK) mengguna lampu picit. Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan dan diarah menduduki 3 lokasi (lihat lakaran). Seorang sentri ditempatkan di antara lokasi 3 dan 1&2. Arahan beliau ialah mereka jangan menembak melainkan kehadiran PK sangat jelas. Ini kerana mereka kekurangan peluru. Malam itu besengkang mata mereka semua. Anehnya...PK tidak menyerang mereka! Beliau sempat menghubungi 'Z' skuadron yang beroperasi di kawasan Gubir untuk memaklumkan keadaan di lokasi. Beliau dimaklum Nuri tidak akan mengambil mereka keesokan hari kerana lokasinya tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV (rendezvous) dengan satu kumpulan komando yang ditugaskan untuk 'menyelamatkan' mereka di satu lokasi di kawasan Malaysia, berhampiran dengan satu LP.

2 Mei...Hari ke2.  Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2  Alouette 'gunships' ke lokasi Aziz pagi itu. Sebelum bateri set radio 'mati', mengenali pilot gunship, beliau telah mengarah Lt (U) Khalid Ali untuk '..hang bantai' kawasan tertentu. Apa lagi...Khalid pun habiskan kesemua lebih dari 200 butir 20mm HE. Setelah gunships beredar, Aziz dan anak buahnya meninggalkan lokasi tanpa sebarang sarapan kerana kehabisan makanan. Sudah pasti mereka tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut 'track' yang sedia ada kerana kemungkinan besar sudah dipasang dengan jerangkap samar dan mungkin juga akan diserang hendap. Mereka bergerak berpandukan arah kompas. Dalam perjalanan, mereka terjumpa 'kem' PK yang ditinggal secara tergesa-gesa. Masih ada periuk, makanan, sebilah pisau dan dokumen yang disahkan  kepunyaan Ketua Pasukan Penyerang (Assault Force). Kemungkinan PK melarikan diri akibat tembakan gunships. 


Sama seperti malam terdahulu, mereka sedar PK sentiasa mengekori mereka tetapi tidak menyerang atau  membuat serang hendap terhadap mereka. Bila malam menjelma, Aziz memerintahkan anggotanya membuat 'rumah batu' (membuat 'hammock'). Memang terkejut mereka mendengar arahan ini...dalam keadaan getir sebegini masih fikirkan keselesaan untuk tidur!  Ini kerana sebarang pergerakan ketika berada di atas hammock akan mengeluarkan bunyi. Sudah pasti keadaan ini memudahkan PK mengesan kedudukan mereka. Kebiasaannya, warga komando hanya tidur berhamparkan ponco atas tanah.


Ini hanya 'umpan'. Aziz meninggalkan 'Jungtel' (jungle hotel) ke lokasi di atas bukit berhampiran untuk mengatur serang hendap. Seperti terdahulu, arahan beliau jangan tembak melainkan kewujudan PK dipastikan. Menurutnya, PK akan pasang lampu picit yang diikat di penghujung kayu. Mereka (PK) akan menyuluh ke arah atas dengan andaian anggota komando akan makan umpan dan seterusnya akan menembak ke arah cahaya tersebut. Pada malam itu, memang seperti yang dijangkakan ...komando kita melihat cahaya ke arah 'atas'.  Alhamdulillah, mereka patuh pada arahan dan tidak termakan umpan  tersebut. Sekiranya tidak, PK akan dapat mengesan kedudukan serang hendap. Apa akan terjadi...Wallahualam!


3 Mei...Hari ke3. Menjelang pagi, Aziz dan anak buahnya turun ke Jungtel. Betul jangkaan Aziz...kem mereka telah dicerobohi oleh PK! Terdapat begitu banyak kesan tapak kaki di kawasan kem...dianggarkan lebih kurang 40 PK. Mereka meneruskan perjalanan menuju ke RV. Apabila tiba di sempadan Malaysia/Thailand, terdapat lakaran JS yang dilekat di batang 2-3 pokok. Mungkin untuk menakutkan wira-wira yang kelaparan ini. Bagi mengelak dari terkena JS, Aziz  mengarahkan tiga 'haversack' diikat dengan tali dan dilontar kearah yang akan dilalui. Kemudian haversack tersebut ditarik. Sekiranya terdapat JS, ianya akan meletup tetapi tidak akan mengena mereka. Ini diikuti pula sebatang kayu untuk 'prod' bagi menentukan laluan tersebut selamat. 


Proses ini berterusan dan akhirnya mereka tiba di lokasi RV. Di sana, satu pasukan warga komando dari 'Y' skuadron yang diketuai oleh Lt M Rajasegaran sedia menunggu mereka...dengan makanan! Menurut Aziz, buat pertama kali beliau habis makan 1 'mess tin' nasi kerana terlalu lapar. Seterusnya, kesemua mereka bergerak ke LP. Wira-wira ini diterbangkan oleh Nuri dari LP ke Kem Gubir. 


Aziz dimaklumkan pihak atasan sudah mengarahkan untuk menyediakan 18 keranda untuk mereka semua.  Beliau memohon cuti 3 hari dari Pegawai Memerintah, arwah Lt Kol Hasbullah, untuk berjumpa dengan ibu-bapanya.


Lengkaplah coretan 'Tragedi 26 April 1976'.

4 comments:

Abah said...

Sdra Karl,

Setelah saya meneliti cerita diatas, sebagai operator yang terlibat dengan operasi itu saya menasihatkan supaya keratan akhbar yang melibatkan Mat Amin tu dikelaurkan memandangkan cerita beliau agak bercanggah dengan apa yang diceritakan oleh Pegawai yang mengetuai 'The Great Escape' tersebut iaitu LTM Aziz (Bersara Lt Kol)
Bagi saya cerita yang diceritakan oleh Lt Kol Bersara Aziz lebih menepati jalan cerita sebenar. Saya bimbang kalau ada mereka diluar sana yang betul menghayati kisah itu akan tertanya-tanya tentang kisah itu bab kata 'Indah khabar dari berita'. Tidak dinafikan mungkin beliau terlibat dengan TGE tersebut atau sebaliknya. Saya tidak dapat memastikan hal tersebut, oleh kerana saya telah berjaya dikeluarkan oleh satu-satu sortie yang berjaya dikeluarkan dari kawasan tersebut oleh NURI pada petang tersebut.

Waallahwallam

karl said...

Waalaikumussalam,

Terima kasih abah, baiklah.

onion-chips said...

Salam. Abah ada FB tak.?

onion-chips said...

Salam. Abah ada FB tak.?