02 September 2010

Entri sudut gelap: Carlos

Apa yang aku tulis ni bukanlah dengan niat nak mengajak kamu semua berfikir macam Carlos. Sebaliknya sekadar lintasan2 sudut gelap yang mungkin terlintas dalam benak sesiapa saja, yang aku ketetengahkan supaya terjawab (kalau tak semua,sebahagian pun jadilah) sebelum aku bertukar jadi mayat.

Carlos meneguk sisa air anggur peram yang masih bersisa dalam gelas di depan beliau. Laju diteguk minuman beralkohol itu, langsung turun melalui esophagus terus meluncur ke perut. Bahang ruapan ethanol terasa di sepanjang laluan makanannya.

Cukuplah. Kau hanya merosakkan diri kau sendiri, terngiang suara berkata di telinga Carlos.

Apa yang rosaknya, hah? Dalam badan aku wujud alcohol dehydrogenase, yang bakal mencerna ethanol yg dah aku teguk. Cirrhosis? Pergi jahanam dunia perubatan! Kau ingat kaki botol macam aku je yang mati? Semua orang akan mati, hahaha. Carlos menjawab.

Kau takkan merasa lagi arak dalam syurga.

Dalam syurga ada arak sajakah? Banyak lagi minuman lain kan? Kalau tak dapat minum arak dalam syurga, apa aku dah tak ada pilihan lain? Hahaha.

Syurga? Orang macam aku boleh masuk syurga? Orang macam kau percaya bukan, ada syurga dan ada neraka? Bila kita akan berjumpa syurga dan neraka? Carlos menyoal suara itu.

Selepas timbangan di neraca pada perhimpunan agung di Mahsyar.

Kau tahu tamadun Babylon? Orang Babylon berkata setelah mati, roh kau sekadar akan jatuh ke lubang kosong yang tak bercahaya. Hahaha. Memang sinikal, aku tabik mereka. Macam mana nak tau adanya hari pembalasan, adanya syurga,adanya neraka.

Memang kau takkan tahu. Kau tahu esok kau masih hidup atau kau bakal jadi mayat? Kau tahu adakah lepas keluar dari tempat minum ni, mungkinkah kau selamat pulang ke rumah, ataupun perut kau bakal diburaikan penyamun sebelum dompet kau dikebas? Kau cuma akan tahu bila kau menghadapi keadaan tu. Betul atau salah, peluang sama rata bukan, 0.5 - 0.5. Kalau salah, maka takde apa yang nak dirisaukan, kalau betul, bagaimana, adakah kau bersedia nak berdepan dengan perkara yang telah diberitahu pada kau?

Carlos menuang air anggur peram dari dalam botol ke dalam gelas. Diteguk lagi.

Betul, 50%. Hahahahaha. Aku tak tau sebanyak mana tuah yang aku ada.

50% kemungkinan Tuhan wujud. 50% kemungkinan malaikat, syaitan, dan segala perkara ghaib tu wujud. 50..hahahaha

Nikmat Tuhan yang mana mahu kau dustakan.

Hahaha..mana ada nikmat. Oh ya, nikmat 50%..hahaha

Hei suara, ada 50%. Kalau kau sanggup hapuskan kebarangkalian tiada sebanyak 50% tu, mungkin ni kali terakhir aku togok air peram ni.

Tanyakan kepada Tuhan kau, mengapa aku jadi ketagih kepada air peram ni. Kenapa di luar sana ada perempuan yang menggadai tubuh supaya aku boleh memberikan wang buat belanja sara mereka. Mengapa darah sentiasa tumpah atas nama anutan, kau lihat berapa lama Perang Salib berlanjutan. Lihatlah, kenapa manusia hidup dengan hukum survival of the fittest, apa tujuan dijadikan dunia ni sedangkan Tuhan kau boleh mengubah segala kesemua kesengsaraan ni menjadi utopia sekadar dengan menyebut kun fayakun. Carlos langsung menyumbat mucung botol terus ke mulutnya.

Tuhan yang menjadikan aku, kau dan segalanya dah memberikan panduan. Panduan yang membawa kesejahteraan jika diikuti.

Ya, membawa kesejahteraan..sekali lagi 50%. Hahaha.

Kau boleh lihat baki 50% lagi terhapus dengan mencuba panduan yang dah diberikan, suara itu menjawab.

Kau fikir aku tak pernah bikin kebaikan? Apa kau sangka hidup aku selama ni sekadar menogok minuman ini, hah? Carlos bangun, badannya huyung hayang sambil memegang botol. Gagal untuk berdiri, dia kembali terduduk, kepalanya tersembam ke meja bar.

Mengapa setelah apa yang aku buat, yang aku korbankan selama ni..akhirnya aku tetap derita dan jadi penagih. Aku jadi penagih, lama aku jadi penagih. Kenapa sekian waktu aku terbeban? Kenapa ada yang hidup bahagia, sedang aku berterusan menderita? Kau tau kan, kau nampak apa yang aku tanggung? Cubaan? Dugaan Tuhan? Oh..terima kasih kerana menguji aku! Balasannya syurga bukan, pahala bukan? Sebagai kafarah kejahatan aku, bukan? Hahaha.

Kau pernah tak terus-menerus mencuba, tapi gagal. Carlos kemudian menepuk dadanya. Cuba kau tanya soalan tu pada aku. Aku sentiasa macam tu. Kenapa Tuhan kau berterusan menggagalkan aku? Cukuplah dengan segala hikmah dan psychology approach, aku dah letih dan longlai. Jadi, salahkah aku jadi pemabuk? Aku tak buat jahat pada sesiapa, tapi sekalian alam ni berterusan menzalimi aku. Apakah Tuhan kau menjadikan manusia, ada yang untuk dirahmati, dan ada yang untuk dizalimi?

Tuhan sentiasa berniat baik terhadap ciptaanNya, walau apa pun azab dugaan yang diberikan pada mereka.

Niat baik Tuhan mu menjadikan aku berterusan derita, hingga sekarang aku hampir sasau. Carlos termuntah, isi perutnya tak dapat lagi menahan rengsa minuman alkohol yang diminumnya.

Aku sakit. Benar-benar sakit. Apa ada lagi jawapan lain selain hikmah, kafarah, pahala, dosa, syurga dan neraka? Ya, hidup ni sekadar sementara, nyawa manusia tak punya advantages melebihi nyawa ayam, ikan dan lembu. Mereka mati, manusia juga mati. 

Jawablah wahai suara. Jawab.

Adakah kau mahu kata akibat salah ku sendiri maka aku begini. Kalau benar apa yang harus aku lakukan untuk membaiki kesalahan aku?

Sang suara senyap. Kaku dan bisu. Carlos yang letih, tertidur di atas meja bar. Malam semakin larut. Dan suara itu terus menerus senyap.

Carlos. Bingkas Carlos terjaga.

Sakit dan lega. Panas dan sejuk. Lembut dan kasar. Gembira dan duka. Setiap perkara punya dua spektrum yang bertentangan bukan. Silih berganti.

Benarkah kau sentiasa derita, tak pernah sekali pun merasa kebahagiaan. Jawablah dengan jujur. Adakah segala rasa yang kau alami silih berganti antara spektrum yang berbeza? Kau sendiri pasti maklum bukan? Adakah kau merungut sebegini sepanjang kehidupan kau?

Hampir sepanjang hidup aku.

Benarkah? Kau ahli logik bukan? Adakah kau sekadar mengikut emosi atau benar telah rapi perhitungan kau tentang untung rugi, bahagia sengsara yang kau alami selama ni?

Mengapa aku perlu menderita?

Jika kau pernah bahagia, tanya pula soalan ini: mengapa kau perlu bahagia?

Carlos terlelap kembali. Malam masih lagi merangkak.

No comments: