01 September 2010

53 tahun selepas merdeka - memahami sejarah perjuangan dan susur galur kemerdekaan



1957 Hati Malaya - real reflection about Merdeka?

Banyak kali ulang dah filem tu, tapi aku tengok jugak balik masa ditayangkan di tv beberapa hari lepas untuk refresh balik apa sebenarnya mesej dalam filem tu.

Pada aku filem tu bagus untuk pelajar sekolah yang masih belajar sejarah daripada buku teks sebab produksi filem tu kelihatan mengambil pendekatan mencungkil sejarah secara sedikit dalam berbanding dengan apa yang boleh diperoleh daripada buku teks KBSM - senang cerita filem tu merupakan intepretasi sejarah kemerdekaan versi buku KBSM dalam bentuk yang sedikit detail. Perjuangan UMNO, orang Melayu, pembabitan MCA, MIC, respon orang British terhadap parti-parti politik ni dan penglibatan tokoh2 veteran dalam UMNO.

Bagi yang betul2 nak mendapatkan maklumat tentang perjuangan kemerdekaan, fakta2 dalam filem tu cuma sekadar tips of iceberg, banyak lagi fakta yang bukan saja tak ditulis dalam buku2 sejarah malah cerita sebenar tentang perjalanan kemerdekaan negara bercanggah 180 darjah daripada pemahaman kebanyakan generasi Y sekarang ni. Gerakan menuntut kemerdekaan sebenarnya dah wujud sejak lewat 1930-an, dari segi rekod Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Yaacob antara penggerak awal gerakan menuntut kemerdekaan ni. Golongan ni merupakan graduates daripada Maktab Perguruan Sultan Idris, menerusi pembacaan mereka terhadap idealisme pergerakan anti-Belanda di Indonesia, maka dari situlah tercetus semangat anti-establishment - kalau zaman tu, merujuk kepada gerakan anti kerajaan British.

Jadi kenapa berlaku penentangan terhadap British ni? Sebabnya senang je, mereka merupakan penjajah. Prof Dr Khoo Kay Kim pernah bercakap dalam satu talk masa aku belajar dulu, British bukan penjajah, cuma sekadar menjalankan pentadbiran sebab negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tak Bersekutu dulu masih lagi di bawah Sultan, rakyat2 negeri tersebut bukan warganegara British macam yang berlaku di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang, tapi pada aku pulak campur tangan British dari segi pentadbiran, ekonomi dan ketenteraan - kalau bukan penjajahan, jadi nak panggil apa pulak? Tanah Melayu waktu tu tak ubah macam Afghanistan atau Iraq pada masa sekarang, bezanya pada waktu tu Sultan dikekalkan sebab kalau tak, mengamuk orang Melayu (daripada sini dah menunjukkan orang Melayu merupakan indigenous Tanah Melayu, kalau tak masakan semasa awal kedatangan mereka British berhati-hati bila nak mengendalikan perkara2 yang membabitkan sentimen orang Melayu. Lagipun, semua Sultan merupakan Sultan Melayu bukan, tak ada Sultan daripada kaum lain), bila orang Melayu mengamuk, susah nak dikaut segala hasil mahsul di Tanah Melayu ni.

Pergerakan yang menentang British seperti Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya.

Kesatuan Melayu Muda berinspirasikan gerakan nasionalisme di Indonesia. Pimpinan Ibrahim Yaacob, pernah bekerjasama dengan Jepun setelah pihak Jepun berkata mereka akan menghalau British daripada Tanah Melayu. Halau lintah pastu panggil pacat. Tak tau la apa yang dijanjikan Jepun kepada Ibrahim yaacob ni, cuma setelah Jepun kalah, beliau lari pulak ke Indonesia. Kemudian serpihan-serpihan Kesatuan Melayu muda yang masih ada di Tanah Melayu membentuk Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar dan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya.

Bila pergerakan nasionalisme jadi idola kepada mereka semua ni, maka nak tak nak pengaruh komunisme pun akan terserap ke dalam pergerakan-pergerakan ni. Bukanlah bermaksud orang2 dalam pergerakan ni menganut fahaman komunis secara total, malahan di Indonesia sendiri ramai di kalangan nasionalis yang berfahaman Islam daripada golongan ulama menyokong gerakan komunisme yang menentang penjajah Belanda, niat mereka secara terang-terang untuk mencapai kemerdekaan. Cuma niat mereka tu membolehkan mereka untuk dimanipulasi oleh gerakan komunisme untuk mencari pengaruh di kalangan masyarakat, dalam masa yang sama cita-cita gerakan tersebut ialah untuk mendaulatkan komunisme. Parti Komunis Malaya misalnya, turut dianggotai oleh golongan yang memperjuangkan kemerdekaan tapi pastinya mereka turut tunduk kehendak pergerakan Komunis antarabangsa - untuk mewujudkan sebuah negara Komunis.

Gerakan yang dipengaruhi aliran komunisme ni bercorak lantang dan tegas dalam menyatakan pendirian mereka untuk merdeka daripada tangan penjajah British - tentulah British tak bersedia nak memberikan kemerdekaan kepada jajahan takluk mereka di Asia Tenggara - Tanah Melayu kaya dengan bijih, getah, Borneo pulak kaya dengan minyak. Jadi pergerakan seperti ni, yang memperjuangkan kemerdekaan total daripada penjajah dianggap bakal menyusahkan pihak British.

Kisah perjuangan menuntut kemerdekaan golongan ni dapat diketahui sedikit sebanyak melalui dokumentari pendek 10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza. Dokumentari yang bias kalau dijadikan asas untuk mengenal susur galur kemerdekaan sebab cuma mengambil pandangan veteran2 politik radikal tersebut, tapi bagi tujuan mengetahui apa yang diperjuangkan dan apa yang dilakukan oleh mereka, dokumentari tersebut boleh dijadikan rujukan.

Zaman pasca Perang Dunia Kedua. Disebabkan aku tak hidup masa tu dan juga sumber-sumber yang bercanggah, susahlah nak dibincangkan - macam mana sentimen kaum masa tu, adakah pro-perkauman, atau dah wujud semangat untuk hidup sebagai satu negara bangsa (negara bangsa - kewujudan sebuah negara, dengan cuma menggunakan satu identiti sahaja, contoh di Britain, setiap rakyat Britain tak kira lah Caucasian(kulit putih), African, Asia dikenali sebagai British, berbanding di Malaysia sekarang kita dikenali mengikut etnik masing-masing - Melayu, Cina, India). Menurut dokumentari yang aku cakap kat atas tu, semangat untuk mewujudkan negara bangsa dah ada, di kalangan ahli politik, malahan Perlembagaan Rakyat 1947 yang diusulkan oleh mereka juga mendapat sokongan umum. Malah hartal yang dianjurkan mereka didakwa berjaya walaupun tak dapat menghalang pelaksanaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dan dikatakan juga punca kekalahan mereka kerana pihak British bertindak keras menangkap semua penentang2 penjajah ni. Kalau diikutkan mainstream resources, parti2 berteraskan perkauman seperti UMNO, MIC, MCA mendapat tempat di kalangan masyarakat. Mungkin juga betul, sebab masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu dulu bukanlah hidup bersama-sama sejak azali lagi, introduction kelompok besar-besaran kaum Cina & India berlaku sekitar 200 tahun dulu. Tak dinafikan semenjak zaman Melayu abad ke-15 dan 16 pasti wujud kelompok Cina & India, cuma mungkin tak seramai waktu British mula menjalankan kolonisasi ke atas negeri-negeri di Tanah Melayu.

UMNO, MCA, MIC dan perjalanan ke arah menuntut kemerdekaan

Dah banyak dibincangkan dan diulang-ulang peranan parti-parti ni dalam menuntut kemerdekaan. Bermula daripada zaman UMNO dipimpin Onn Jaafar, sehinggalah kepimpinan digantikan dengan Tunku Abdul Rahman. British memilih untuk berunding dengan wakil-wakil parti ini, khususnya UMNO kerana kebanyakan kepimpinan UMNO berpendidikan Barat, dan mereka semua telah maklum tentang sifat British. Perundingan ke arah kemerdekaan, rombongan ke London, perjanjian kemerdekaan, tak perlu lah nak disebutkan secara detail - semua perkara ni boleh didapati dalam semua buku sejarah KBSM.

Cuma satu perkara yang aku nak ulas tentang tindakan British berunding dengan parti-parti ni berkenaan kemerdekaan. Sebenarnya alasan British yang mahu perpaduan antara kaum sebelum memberikan kemerdekaan - fakta ni adalah salah sama sekali. Sekalipun perundingan kemerdekaan melibatkan wakil tiga kaum utama di Tanah Melayu ketika tu, UMNO, MCA dan MIC, dengan jelas kita boleh lihat kewujudan parti politik berasaskan ideologi perkauman ni menunjukkan polarisasi perkauman turut akan wujud dalam politik Tanah Melayu. Sekalipun British meninggalkan Tanah Melayu, dasar pecah dan perintah tu tetap akan wujud di Tanah Melayu melalui kewujudan parti berasaskan kaum, kalau tak di peringkat rakyat sekalipun, wujud pada peringkat politik & pentadbiran. Polarisasi kaum di Malaysia, sebenarnya telah beransur-ansur berkurangan semenjak merdeka, sikap perkauman antara kaum2 di Malaysia walaupun masih wujud, tapi tak dinafikan dah menipis berbanding dulu. Tapi di peringkat politik, perjuangan untuk membela bangsa masing2 masih lagi menjadi agenda di kalangan ahli politik.

Apa untungnya memberikan kemerdekaan dalam bentuk macam ni? Jawapannya, sebagai pelan jangka panjang. Rakyat yang dipecah-pecahkan akan memudahkan British (atau mana2 pihak yang berkepentingan, mungkin Freemason, Illuminati dsbnya, berdasarkan kepercayaan korang la) mengawal bekas tanah jajahannya secara remote. Provokasi mudah dilakukan oleh pihak risikan, kalau mereka nak menjatuhkan negara ni. Dan dalam masa yang sama, British masih mempunyai kepentingan di negara ni selepas merdeka - sebagai contoh, pengunduran tentera British daripada Malaysia dan Singapura cuma berlaku selepas awal tahun 70-an.

Jadi, adakah kita tak merdeka? Apa jenis kemerdekaan yang kita rasa sekarang?

Kita tetap dah wujud sebagai sebuah negara - walau apa pun cerita di sebalik pembentukan negara ni. Apa yang dah berlaku pada masa lepas - there is no way to change it, or to make it better.

Sekiranya pihak yang menentang British berjaya menghalau British dan mendirikan Tanah Melayu sebagai sebuah negara, ada kemungkinan Tanah Melayu dan Indonesia wujud sebagai Melayu Raya. Pengaruh nasionalis Indonesia terhadap golongan penentang British terlalu kuat. Adakah negara kita akan menjadi lebih makmur dalam keadaan sedemikian? Aku takde jawapannya, mungkin lebih baik, dan mungkin tidak. Pihak berhaluan kanan iaitu UMNO berjaya melepaskan Tanah Melayu daripada pentadbiran British, dan pastinya pihak yang kalah menuduh mereka yang berunding untuk menuntut kemerdekaan sebagai penakut dan tali barut British, tapi hakikatnya, situasi dan atmosfera politik pada masa tu mungkin memerlukan usaha perundingan dalam bentuk yang sebegitu. Penentangan menuntut kemerdekaan melalui senjata, gerakan gerila oleh PKM diakui oleh pihak UMNO dan British sebagai turut mempercepatkan proses kemerdekaan, tapi sekarang sudah pun 53 tahun, dan kita telah melalui satu titik perjalanan masa yang telah ditakdirkan. Takdir yang harus diterima terutamanya buat generasi pada masa kini. Juga, sekiranya PKM berjaya memerdekakan Tanah Melayu melalui muncung senjata, pastinya arena politik negara ni dah berlainan. Banyak kemungkinan boleh muncul, tapi tu semua tak berlaku sebab takdir telah memilih kita merdeka melalui cara yang telah berlaku 53 tahun dulu.

Tak perlu la kita menghukum sesiapa pun, sebab yang paling utama sekarang, apa yang dah berlalu tetap berlalu, yang tinggal kini adalah masa depan yang menunggu kita untuk mencorakkannya.

No comments: