14 August 2010

Wan


Wan. Tu la panggilan aku pada nenek sebelah mak, Aminah Abd Ghani.

Awal tahun kelima sehingga permulaan tahun kesembilan aku hidup kat atas muka bumi ni, Allahyarham aki aku dan wan aku la yang menjaga aku dan adik-adik (masa tu aku masih lagi tiga beradik) kat kampung. Kedua mak dan abah sambung belajar - abah di Universiti Pertanian (sekarang UPM), mak pulak di maktab perguruan Tengku Ampuan (masa tu MPTAA masih di Semambu, Kuantan). Zaman tadika, zaman awal sekolah rendah, kehidupan aku berlegar di kampung hidup bersama kedua-dua orang tua mak aku.

Waktu aku balik daripada sekolah, makan tengah hari dah tersedia - selalunya nasi, ikan goreng - ada sayur kot, tapi yang aku makan selalunya nasi berlauk ikan goreng berkicap. Tutur kata wan kurang jelas kedengaran, akibat serangan strok. Tapi masa tu tak jadi masalah, sebab Allahyarham aki ada, dan memang aku banyak berkomunikasi dengan aki berbanding dengan wan.

Tahun 1995 - aki jatuh sakit. Lama terlantar dan berubat, akhirnya meninggal dunia. Tak lama selepas abah habis belajar, aku dan adik-adik dibawa berpindah ke bandar yang sejauh kira-kira 30 km daripada kampung. Dan selepas tu oleh kerana kesibukan kerja dan menguruskan rumah tangga, selalunya jarang wan yang keseorangan dijenguk di kampung.

Tahun ni selepas tamat pengajian - wan jatuh sakit. Tulang pinggul retak akibat terjatuh, dan disebabkan kondisi wan yang dah berumur, hampir 3 minggu terlantar di hospital. Waktu tu mak teh, mak itam, pak busu dan mak aku bergilir-gilir menjaga wan di hospital. Seminggu selepas sembuh, wan kemudian bergilir-gilir menetap di rumah anak-anak beliau. Aku pun sempat menjaga wan, walaupun tak sampai seminggu.

Pagi tadi pukul 5, pak busu call. Wan dah meninggalkan kami. Lepas beliau kembali tinggal di kampung dan tinggal bersama mak cik, tak sempat aku nak menziarah wan.Aku tak sempat nak beritau wan, lepas raya ni aku akan ke Sarawak untuk memulakan kerja. Takdir Allah telah menetapkan Ramadhan kali ni merupakan yang terakhir buat wan, dan tak lama lagi mak dan adik beradik mak bakal beraya tanpa wan.

Al-Fatihah buat wan. Semoga Allah mencucuri rahmah & mengampuni segala dosa-dosa beliau. Amin.

No comments: