08 August 2010

Revolusi Iran - perubahan politik melalui gelombang kebangkitan anak muda

Revolusi Iran 1979 merupakan rentetan peristiwa bersejarah yang mengubah landskap pemerintahan dan sosial negara Iran. Pemerintahan monarki Shah Mohammed Reza Pahlavi digantikan dengan sistem pemerintahan republik yang bertahan sehingga ke hari ini.

Iran sebelum revolusi

Ulama aliran Syiah memainkan peranan penting dalam struktur sosial masyarakat di Iran, mereka berfahaman menolak proses pencedokan nilai-nilai Barat dan berusaha mengekalkan tradisi kehidupan beragama di dalam masyarakat. Pengaruh mereka terhadap politik dapat dilihat melalui peranan mereka yang membawa kepada kejayaan protes pada tahun 1891 terhadap pengeluaran lesen penjualan tembakau kepada pemodal British.

Sedekad kemudian, Reza Pahlavi, monarki yang berkuasa memansuhkan undang-undang Islam dan menjalankan undang-undang Barat. Pada 1953, Shah Mohammed Reza Pahlavi, anak kepada Reza Pahlavi diaturkan oleh CIA dan MI6 untuk menggantikan Reza Pahlavi, sebuah rampasan kuasa yang didalangi oleh kedua-dua agensi perisikan tersebut berjaya menyingkirkan Perdana Menteri Mohammad Mossadegh yang dipilih secara demokratik. Shah Pahlavi menjalinkan hubungan rapat dengan Amerika,  memulakan proses Westernization dan modenisasi terhadap negaranya. Rasuah, penyelewengan kuasa dan tekanan terhadap seteru politik berleluasa pada zaman pemerintahannya.

Kebangkitan tokoh-tokoh revolusi Iran


Ayatollah Khomeini antara key figure yang penting dalam proses revolusi tersebut. Beliau pada awalnya merupakan tokoh penentangan terhadap Revolusi Putih - program reformasi masyarakat yang dijalankan oleh Shah Pahlavi. Ayatollah Khomeini kemudian ditahan pada 1963, menyebabkan rusuhan besar-besaran sehingga mengakibatkan kematian lebih 15 000 penyokong beliau akibat tindakan ganas pihak polis. Beliau kemudian dibuang ke Iraq pada tahun 1964, dan kemudian ke Perancis. Walaubagaimanapun, idea dan pemikiran beliau berkenaan jihad melawan ketidakadilan dan kezaliman pemerintah, disebarkan kepada para pemuda di Iran melalui buku-buku dan kaset yang diseludup masuk ke dalam negara tersebut. Selain beliau, tokoh-tokoh seperti Jalal-Al-E-Ahmad, Ali Shariati dan Morteza Motahhari turut memainkan peranan dalam merangsang semangat para pemuda Iran dalam menggerakkan penentangan terhadap nilai-nilai selain daripada nilai Islam Syiah di Iran.

Demonstrasi

Kematian Ali Shariati dan Mostafa (anak kepada Ayatollah Khomeini) membangkitkan kemarahan para penyokong revolusi. Kematian mereka dikaitkan sebagai tindakan rejim untuk melumpuhkan semangat kebangkitan Islam Syiah di Iran. 1977, permulaan demonstrasi besar-besaran di bandar-bandar raya utama di Iran. Demonstrasi tersebut berlarutan sehingga tahun 1978, sehingga menyaksikan pertumpahan darah. Sumber revolusi menyatakan, beratus penunjuk perasaan dibunuh, manakala sumber kerajaaan menyatakan tidak sampai puluhan orang. Sepanjang proses demonstrasi berlangsung, hotel mewah, panggung wayang, pejabat kerajaan dan prasarana yang mewakili simbol rejim Shah Pahlavi dimusnahkan oleh para penunjuk perasaan. Setiap kali ada penunjuk perasaan terbunuh, demonstrasi akan berulang pada hari ke 40 kematian individu tersebut, menyebabkan Iran sentiasa diwarnai dengan aksi tunjuk perasaan. Demonstrasi yang berlanjutan sehingga penghujung tahun 1978, memberikan tekanan terhadap Shah Pahlavi. Akhirnya pada 16 Januari 1979, Shah Pahlavi dan keluarganya meninggalkan Iran.

Kepulangan Ayatollah Khomeini

Tanggal 1 Febuari 1979 - Ayatollah kembali menjejakkan kaki ke Iran selepas 14 tahun dalam buangan. Pada 9 Febuari, pertempuran berlaku di antara kelompok tentera yang setia kepada Shah Pahlavi dan pemberontak pro-Khomeini. Pada 11 Febuari, Majlis Tertinggi Tentera mengambil keputusan untuk bersikap berkecuali terhadap mana-mana kuasa politik bagi mengelakkan pertumpahan darah yang berterusan. Tarikh tersebut juga akhirnya dipilih sebagai Hari Kejayaan Revolusi Islam - hari kebangsaan yang disambut di Iran sehingga ke hari ini. Republik Iran yang ditubuhkan, mengalami beberapa lagi dugaan seperti pertikaian kuasa antara revolusioner dan Perang Iran-Iraq, namun semua keadaan tersebut berjaya diatasi dan Iran muncul sebagai sebuah negara republik yang berlandaskan Islam Syiah, hasil daripada gerakan revolusi.

No comments: