03 August 2010

Kisah seorang hakim dan seorang penoreh getah.

Dialih bahasa daripada laman web Indian Malaysian

Oleh: Baradan Kuppusamy

Merujuk kepada artikel penghargaan Kit Siang kepada Allahyarham Harun Hashim bertarikh Nov 6, 2003.

Izinkan saya untuk menceritakan kepada para pembaca kisah penoreh getah, Govinda Pillai dan pertemuannya dengan Hakim Harun Hashim yang telah ditakdirkan berlaku kira-kira 30 tahun lalu.

Pertama sekali, sedikit latarbelakang.

Seperti yang anda semua maklum, penoreh getah tidak bekerja ketika hujan. Ini kerana bukan disebabkan mereka tak mahu bekerja atau takut basah, tapi disebabkan batang pokok getah mengeluarkan susu getah yang sedikit apabila basah dan torehan baru terhadap batang pokok getah yang basah akan merosakkan pokok. Atas sebab ini, pihak estet lebih suka untuk merehatkan pekerja mereka di berek semasa hujan.

Anda mungkin berfikir bahawa ia merupakan hari bercuti setiap kali hujan, tapi sebenarnya tidak. Penoreh getah dibayar gaji secara harian dan mereka tidak dibayar sekiranya tidak bekerja semasa hari hujan.

Semasa musim hujan ketika hujan turun hampir setiap hari, penoreh getah mengalami kemerosotan gaji yang drastik. Kelaparan mencengkam perut mereka dan mereka meminjam untuk membeli makanan and akhirnya mereka terpaksa berhutang - sama ada kepada kedai atau lintah darat. Tidak lama kemudian mereka terperangkap di dalam kitaran kejam kemiskinan, hutang dan terus berhutang.

Untuk mengurangkan beban mereka, kerajaan penjajah memperkenalkan konsep "gaji hidup"untuk penoreh getah. Ini bermaksud penoreh seharusnya dibayar gaji secara harian untuk membolehkan mereka hidup jadi mereka mampu meneruskan kehidupan dan bekerja.
.
Konsep gaji harian ini dijamin di dalam Seksyen 16 Akta Kerja 1955. Seksyen tersebut menjamin bahawa penoreh getah akan mendapat gaji untuk 24 hari sebulan sama ada hari hujan atau panas. Ia merupakan jaring keselamatan yang melindungiorang-orang miskin daripada ketidaktentuan cuaca.

Sebagai contoh, sekiranya untuk tiga hari di dalam sesuatu bulan penoreh tidak bekerja akibat hujan, pihak estet mesti membayar gaji untuk tiga hari tersebut. Tetapi pemilik estet dengan jarang mematuhi seksyen 16 dan sering mencari jalan untuk melaksanakan kewajipan terhadap undang-undang. Mereka tetap berpegang kepada undang-undang yang tidak fleksibel terhadap penoreh getah: tak bekerja, tak ada upah.

Pada Jun 1973, hujan turun dengan kerap dan Govinda Pillai, seorang bekas penoreh getah di sebuah estet di Kinrara, Puchong cuma mampu bekerja selama 17 hari pada bulan tersebut. Dia cuma dibayar upah untuk 17 hari dan bukannya minimum 24 hari, seperti mana yang dijamin dalam Seksyen 16. Pihak estet berhutang sebanyak 7 hari gaji.

Govinda Pillai membuat keputusan memfailkan tuntutan kepada mahkamah buruh di kajang untuk mendapatkan baki gaji 7 hari sebanyak RM 22.40. Dia tidak menyangka tuntutan tersebut akan membuatkan kesemua pengusaha dalam industri perladangan terkejut.

Sudah tentu, mahkamah buruh membantu beliau dan mengarahkan pihak estet Kinrara membayar sebanyak RM 22.40 kepada Govinda Pillai. Perkara selesai? Tidak sama sekali.

Setelah menyedari tuntutan tersebut berjaya, walau sekecil manapun tuntutan tersebut, akan membawa kepada tuntutan undang-undang yang lebih serius, estet Kinrara, dibantu oleh kelab peladang, mengupah peguam terbaik di dalam negara dan memfailkan rayuan terhadap tuntutan ganti rugi di mahkamah tinggi Kuala Lumpur.

Risikonya terlalu besar. Jika setiap penoreh getah dibayar RM 10 setiap bulan disebabkan hujan, jumlah yang ditanggung ialah RM 120 setahun. Untuk 100 000 penoreh, jumlah tersebut akan menarik keluar RM 12 juta ringgit daripada poket pemilik estet.

Keadaan menjadi semakin keruh.

Tidak dapat dipastikan sama ada Hakim Harun hashim mendengar kes tersebut dan menangguhkan penghakiman atau file tersebut "hilang" atau "dilupakan". Tetapi penghakiman ditangguhkan selama 21 tahun.

Pada 29 Jun, 1994 - 21 tahun selepas kes tersebut difailkan, sehari sebelum hari persaraan beliau, Harun Hashim menyampaikan penghakiman yang memihak Govinda Pillai. Estet Kinrara perlu membayar RM 22.40 kepada Govinda Pillai. Pada masa yang sama, Govinda Pillai dan peguamnya DP Xavier telah lama meninggal dunia. Estet tersebut telah dijual dan dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Pemilik estet tersebut berkemungkinan telah pun meninggal dunia.

Saya menulis tentang penangguhan yang pelik ini dalam The Star edisi Julai 1994. Sehari atau dua hari kemudian Hakim Harun Hashim memberitahu wartawan The Star yang lain, tanpa ragu-ragu, menyatakan bahawa fail tersebut tersalah letak dan staf mahkamah terjumpa kembali 21 tahun kemudian dan memberikannya kepada beliau untuk diselesaikan - sehari sebelum dia bersara.

Pada bulan yang sama, saya menjejaki isteri Govinda Pillai dan cucu mereka yang hidup dalam serba kedaifan di sebuah pondok yang uzur di kawasan petempatan yang bertebaran di landasan kereta api berdekatan Jalan Ipoh.

Dia telah pun hampir hilang penglihatan. Saya memberitahunya, "Govinda Pillai telah menang kes!"

"Dia pasti gembira sekiranya dia masih hidup," isteri beliau memberitahu. Semasa saya melawatnya kemudian sekali lagi, beliau memberitahu kos guaman adalah sebanyak RM 500 untuk menuntut tuntutan yang berjumlah RM 22.40 tersebut.

Dia tidak menuntut lagi tuntutan tersebut. Hujan masih turun, dan penoreh getah tersebut masih tidak mendapat gaji minimum 24 hari.

3 comments:

El Ferdowsi said...

keadilan.


manusia sungguh menyedihkan.

karl said...

manusia takkan boleh berlaku adil hanya dengan menggunakan akal mereka. sebab tu diturunkan kitab dan rasul

El Ferdowsi said...

@ karl : mungkin.
tapi dengan adanya kitab dan rasul, apakah masih boleh manusia berlaku adil ?

mungkin tidak.